Siapa Melayu? (Bhg Akhir)

Siapa Melayu? (Bhg Akhir)

Sambungan dari Bahagian 2

Inilah orang ataupun kaum Melayu. Walaupun berkongsi pengertian ras dan serumpun, namun Melayu ini bukanlah Bugis, Melayu ini bukanlah Jawa, Melayu ini bukanlah Acheh, Melayu ini bukanlah Banjar dan sebagainya.

Melayu Sebagai Etnik

Namun di dalam takrifan etnik ataupun sekumpulan manusia yang berkongsi budaya, bahasa, resam dan banyak lagi aspek kehidupan, pengertian Melayu di Malaysia lebih meluas. Ianya dapat kita rumuskan melalui puisi Usman Awang bertajuk ‘Melayu, Bangsaku tercinta’;

“…Melayu di tanah Semenanjung luas maknanya:

Jawa itu Melayu, Bugis itu Melayu

Banjar juga disebut Melayu,

Minangkabau memang Melayu,

Keturunan Acheh adalah Melayu,

Jakun dan Sakai asli Melayu,

Arab dan Pakistani, semua Melayu

Mamak dan Malbari serap ke Melayu

Malah mua'alaf bertakrif Melayu”

Ini kerana Melayu di Malaysia tidak ditakrifkan melalui kaca mata keturunan, tetapi ditakrif dalam pengertian etnik. Mereka yang telah berasimilasi dengan cara hidup Melayu semenjak sebelum zaman Merdeka maka mereka ditakrif sebagai Melayu. Perkara ini dipertegaskan lagi di dalam Perlembagaan Persekutuan di dalam fasal 160(2):

“Orang Melayu” ertinya seseorang yang menganuti agama Islam, lazim bercakap bahasa Melayu, menurut adat Melayu dan -

(a) yang lahir sebelum Hari Merdeka di Persekutuan atau Singapura atau yang lahir sebelum Hari Merdeka dan ibu atau bapanya telah lahir di Persekutuan atau di Singapura, atau yang pada Hari Merdeka berdomisil di Persekutuan atau di Singapura; atau

(b) ialah zuriat seseorang yang sedemikian;

Melayu Sebagai Bangsa

Maka oleh kerana maksud Melayu telah dipertegaskan melalui Perlembagaan dan bersifat undang-undang serta ketatanegaraan, maka Melayu ini membawa konotasi bangsa. Bangsa di dalam Inggeris bermaksud ‘nation’.

‘Nation’ merujuk kepada sekumpulan manusia yang berkongsi bahasa, wilayah dan sejarah lalu bersama-sama membentuk sebuah negara serta tatanan ketatanegaraan. Inilah konsep ‘nation state’ ataupun negara bangsa. Bangsa itu ialah masyarakat yang menjadi warga di dalam sebuah negara.

Lihat sahaja kepada Bangsa Indonesia. Mereka meletakkan Indonesia dalam fungsi negara dan bangsa yang memayungi kaum atau etnik seperti Jawa, Melayu, Banjar malah Tionghua.

Namun situasi di Malaysia adalah berbeza. Negara ini mempunyai beberapa bangsa. Melayu dan kaum-kaum lain dianggap sebagai bangsa yang berbeza.

Maka konsep ‘Bangsa Malaysia’ masih menjadi harapan dan cita-cita kerana konsep ini masih asing bagi sesetengah rakyat Malaysia dan tidak tercatat di dalam mana-mana dokumen perundangan rasmi kecuali sekadar berstatus slogan politik dan polisi kerajaan. Kita cuma mengenali konsep ‘warganegara Malaysia’ dan bukannya konsep ‘Bangsa Malaysia’.

Namun keadaan ini sedikit berbeza daripada Sabah dan Sarawak. Kerana Sabah dan Sarawak meletakkan status ‘Anak Negeri’ sebagai bangsa dan Melayu cumalah salah satu kaum/etnik di dalam kategori ‘Anak Negeri’. Maka status Melayu di Sarawak dan Sabah secara Perlembagaannya bukanlah bangsa, tetapi ia lebih ditafsirkan sebagai kaum. Perkara ini boleh dirujuk kepada Perlembagaan Persekutuan Fasal 161(6) dan 161(7);

Dalam Perkara ini “anak negeri” ertinya -

(a) berhubung dengan Sarawak, seseorang yang merupakan warganegara dan sama ada yang tergolong dalam salah satu daripada ras yang dinyatakan dalam Fasal (7) sebagai ras asli bagi Negeri itu atau yang berketurunan campuran yang berasal semata-mata daripada ras-ras itu; dan

(b) berhubung dengan Sabah, seseorang yang merupakan warganegara, ialah anak atau cucu kepada seorang daripada suatu ras asli bagi Sabah, dan telah lahir (sama ada atau tidak pada atau selepas Hari Malaysia) sama ada di Sabah atau dengan bapanya berdomisil di Sabah pada masa kelahiran itu.

(7) Ras-ras yang dikira sebagai ras asli bagi Sarawak bagi maksud takrif “anak negeri” dalam Fasal (6) ialah Bukitan, Bisayah, Dusun, Dayak Laut, Dayak Darat, Kadayan, Kalabit, Kayan, Kenyah (termasuk Sabup dan Sipeng), Kajang (termasuk Sekapan, Kejaman, Lahanan, Punan, Tanjong dan Kanowit), Lugat, Lisum, Melayu, Melano, Murut, Penan, Sian, Tagal, Tabun dan Ukit.”

Maka itulah Melayu jika ditakrif dari kategori kaum serta ras, etnik dan bangsa.

Dengan izin sidang pembaca, ‘I rest my case’.

Rizuan Abdul Hamid adalah seorang yang berasal dari Ipoh dan telah lama berhijrah mencari rezeki dan pengetahuan di Lembah Klang. Beliau adalah homo sapiens yang cuba menjadi insan.

Foto ihsan Pinterest

Share this Post: