Nak kurus dengan jalan pintas?
Tidak lain dan tidak bukan, pil kuruslah jawapannya.
Jangan terkejut jika ramai yang memilih untuk mengambil pil kurus sebagai jalan pintas kerana tidak mahu bersusah payah menjaga diet dan bersenam.
Pil kurus adalah ubat yang boleh didapati dari kaunter (OTC) tanpa preskripsi doktor.
Lambakan pil-pil kurus semakin berleluasa. Lebih membimbangkan ubat-ubatan ini boleh dijual oleh sesiapa sahaja, di mana-mana sahaja sama ada di kedai-kedai kecil mahupun diiklankan secara meluas di media sosial.
Pil kurus berfungsi dengan 3 cara berbeza mengikut formulasinya.
- Mengurangkan selera makan untuk mengurangkan rasa lapar.
- Meningkatkan metabolism untuk membantu membakar lebih banyak kalori.
- Mengurangkan penyerapan lemak daripada makanan di dalam usus.
Pil kurus yang diperolehi di kedai-kedai biasa, iaitu bukan farmasi atau pil kurus yang didapati di dalam talian tanpa penilaian doktor boleh membahayakan kesihatan dan menyebabkan komplikasi serius jika diambil.
Produk menguruskan badan bukan hanya dijual dalam bentuk pil atau kapsul, tetapi juga dalam bentuk minuman yang dipanggil “minuman kesihatan”. Produk-produk begini dikategorikan sebagai produk OTC, tradisional dan kosmetik.
Jika anda sudah terbeli produk-produk begini, anda dinasihati memeriksa terlebih dahulu jika produk tersebut mendapat kelulusan pihak berkuasa.
Produk-produk begini tidak dibenarkan menggunakan kenyataan “mempercepatkan metabolism” atau “menghalang lemak daripada diserap”. Jika terdapat kenyataan-kenyataan ini dipromosikan pada produk tersebut, laporan boleh dibuat kepada pihak penguasa.
The Food and Drug Administration menyatakan pil yang tertulis 100% bahan semula jadi kebiasaannya ditambah juga bahan kimia lain.
Kebanyakan produk penurunan berat badan ditambah bahan terlarang yang boleh mendatangkan kesan sampingan berbahaya seperti degupan jantung laju, tekanan darah tinggi, cirit-birit, gelisah, sukar tidur, masalah buah pinggang, masalah hati dan lain-lain komplikasi yang serius lagi.
Kategori pil kurus yang diformulasikan untuk mengurangkan selera makan selalunya dikaitkan dengan risiko tekanan darah tinggi, serangan jantung dan lain-lain masalah kardiovaskular.
Pil kurus dalam kategori untuk meningkatkan metabolisme berpotensi menyebabkan risiko yang sama seperti pil kurus dalam kategori mengurangkan selera makan.
Manakala, pil yang mengurangkan penyerapan lemak pula mempunyai risiko menyebabkan kerosakan hati. Tanda hati yang rosak adalah kurang selera makan, mata dan kulit yang kelihatan kuning, warna najis pucat, gatal-gatal dan air kencing berubah ke warna coklat pekat.
Malang sekali hari ini, ramai yang terpedaya dengan janji yang dipromosikan untuk melariskan jualan produk kurus di pasaran.
Produk-produk yang menjanjikan penurunan berat badan dengan mendadak, terlalu cepat dan tidak menyarankan untuk menjaga pemakanan serta senaman patut dielakkan.
Pengguna disarankan untuk sentiasa berwaspada untuk mampu mengenal pasti dan mengelak ubat-ubatan dengan janji-janji yang “too good to be true”.
Tahukah anda, terdapat 2 jenis pil kurus yang boleh mendapat preskripsi oleh doktor. Pil kurus ini diberikan dengan preskripsi doktor, jika perlu, untuk mengawal obesiti.
Pertama, pil kurus atau ubat antiobesiti (AOM) yang bertindak pada saluran gastro usus (GIT) dan yang kedua, ubat untuk mengurangkan selera makan.
Ubat untuk menurunkan berat badan boleh diambil dengan preskripsi doktor untuk orang yang mempunyai masalah kesihatan tertentu yang menyumbang kepada berat badan berlebihan mereka.
Walau bagaimanapun, ubat-ubatan ini juga mempunyai kesan sampingan seperti sembelit, gelisah, pening, sakit dada, berdebar, perubahan selera makan dan lain-lain lagi.
Jalan terbaik untuk menurunkan berat badan adalah dengan menjaga pemakanan dan senaman.
Jika anda berhajat untuk menurunkan berat badan dengan pil kurus, fikirkan semula.
Syarmila Ishak merupakan anak Kedah yang mahu rantau seluruh dunia dan minat membaca novel tentang kehidupan atau apa-apa sahaja bacaan yang memberi inspirasi.
Rujukan:
http://www.myhealth.gov.my/pil-pelangsing/
https://www.healthxchange.sg/food-nutrition/weight-management/weight-loss-are-slimming-pills-safe
Kredit foto: yoair.com
Waadat, Daulat, dan Keramat Rakyat
Di dalam konsep monarki Melayu, Raja itu pemegang dan pewaris Kedaulatan. Raja akan mangkat tetapi tidak bagi Daulat. ‘The Sovereign never dies’.