Saya yakin ramai diantara kita mempunyai pengalaman pahit dan manis dengan pihak polis. Sudah pasti ada diantara kita pernah disaman, pernah ditahan semasa sekatan jalanraya oleh pihak polis dan sebagainya. Namun selain itu saya yakin ramai juga antara kita yang mempunyai kenangan manis dengan pihak polis. Ada yang pernah menerima pertolongan pihak polis pada saat-saat getir malah polis juga membantu melicinkan aliran trafik di kala sesak dan macam-macam lagi.
Apapun, selayaknya profesion kepolisan harus dihormati dan diletakkan pada martabat yang tinggi. Jasa dan usaha mereka harus dihargai. Umum mengetahui bahawa Polis Diraja Malaysia (PDRM) menyambut Hari Polis ke 214 pada 25 Mac 2021. Setiap negara mempunyai Hari Polis yang berbeza-beza tarikhnya.
Hari Polis di Malaysia disambut sempena penubuhan organisasi moden tersebut pada tanggal 25 Mac 1807 di Pulau Pinang yang berpunca kuasa daripada penerapan Undang-undang Inggeris melalui Piagam Keadilan (Charter of Justice) yang pertama. Lalu organisasi tersebut telah berkembang ke seluruh Negeri-negeri Selat, Negeri-negeri Melayu Bersekutu dan kemudiannya ke seluruh Tanah Melayu (Malaya).
Selepas merdeka Yang DiPertuan Agong pertama iaitu Tuanku Abdul Rahman telah mempekenankan pengurniaan gelar ‘Diraja’ kepada organisasi Polis. Kemudian sejarah kepolisan di negara kita terus berkembang setelah penubuhan Malaysia. The North Borneo Armed Constabulary dan Sarawak Constabulary telah diserap masuk ke dalam organisasi Polis Diraja Malaysia.
Namun begitu sejarah kepolisan mempunyai susur galur yang sangat panjang di dalam sejarah dunia. Sejarah tugas yang mirip kepolisan telah di kesan di empayar-empayar kuno seperti Tamadun China, Babylon, Mesir kuno dan sebagainya. Di tanah air kita sendiri, sejarah kepolisan dapat dapat dikesan semenjak zaman Kesultanan Melayu Melaka lagi. Ketika itu Temenggung bolehlah dikatakan seumpama Menteri Dalam Negeri yang bertanggungjawab terhadap perlaksanaan tugas-tugas kepolisan bagi memastikan keamanan awam.
Sejarah kepolisan yang lebih moden dan tersusun dapat dikesan bermula pada 1667 di Paris, Perancis di bawah kerajaan Raja Louis XIV bagi memastikan keamanan kota tersebut. Sejarah moden kepolisan kemudiannya berkembang ke Glasgow di Scotland, Ireland dan kemudiannya di London, England. Jika ibu pejabat polis metropolis London dahulunya terkenal dengan metonimi ‘Scotland Yard’ (sekarang New Scotland Yard) bersempena nama sebatang jalan yang terletaknya ibu pejabat mereka, PDRM di negara kita sudah pastinya amat sinonim dengan perkataan ‘Bukit Aman’ yang menjadi lokasi ibu pejabat PDRM.
Tugas pihak polis amat berat dan mencabar, mereka bukan sekadar menjaga aliran trafik di jalanraya. Mereka bertanggungjawab memelihara keselamatan, menjaga keteraturan awam, melindungi harta serta nyawa rakyat dan sebagainya. Kini kesemua tugas, skop, punca kuasa dan definisi perundangan serta kuasa PDRM dikuatkuasa melalui Akta Polis 1967.
Pihak polis sangat berjasa kepada negara. Mereka bertempur melawan penjenayah, pengganas seperti komunis malah menjadi benteng hadapan menghadapi Konfrontasi Indonesia dan pencerobohan Lahad Datu. Mereka juga berhadapan dengan jenayah kolar putih dan jenayah korporat yang cenderung melibatkan penggelapan wang, jenayah perkomputeran, penipuan dan pelbagai jenis jenayah lain lagi.
Jenayah masa kini juga kian mencabar. Pada zaman dahulu kita tidak pernah mendengar pihak komunis cuba merasuah polis. Namun kini penjenayah begitu berani untuk cuba ‘menguasai’ pihak polis dengan huluran rasuah. Malah ada pegawai atasan polis serta bekas pegawai atasan polis sendiri yang terlibat meminta wang seperti yang dinyatakan sendiri oleh Ketua Polis Negara iaitu Tan Sri Abdul Hamid Bador baru-baru ini. Bukan sekadar itu, integriti pihak polis juga seringkali dicalarkan dengan isu-isu politik dan politikus-politikus yang cuba-cuba menguasai organisasi tersebut.
Dalam menghadapi semua cabaran ini, semoga PDRM dapat menerima atau mempertimbangkan cadangan-cadangan penambahbaikan yang dicadangkan oleh masyarakat awam dan rakyat. Ini sesuai dengan nama polis itu sendiri yang berasal-usul daripada perkataan polisi. Polisi sudah tentunya melibatkan politik kenegaraan (namun bukan politik kepartian) yang bertunjangkan demokrasi.
Moga Polis Diraja Malaysia terus gagah perkasa dan berintegriti laksana megahnya kibaran Sang Saka Biru.
Selamat Hari Polis.
Rizuan Abdul Hamid berasal dari Ipoh dan telah lama berhijrah mencari rezeki dan pengetahuan di Lembah Klang. Beliau adalah homo sapiens yang cuba menjadi insan.
Foto: The National Archives, UK
Waadat, Daulat, dan Keramat Rakyat
Di dalam konsep monarki Melayu, Raja itu pemegang dan pewaris Kedaulatan. Raja akan mangkat tetapi tidak bagi Daulat. ‘The Sovereign never dies’.