Secangkir Kopi Hujung Minggu

Secangkir Kopi Hujung Minggu

Secangkir kopi, peneman pada setiap pagiku tidak kiralah hari minggu ataupun hari bekerja. Hari ini hari minggu, aku tidak perlu bekerja. Kelebihanku sebagai penjawat awam. Syukur.

Di celah munculnya pagi, terdengar keriuhan warga keliling yang sibuk menderam enjin kenderaan masing-masing. Mungkin ke tempat kerja, atau keluar bersarapan, entah bersenam, atau menghantar anak ke rumah pengasuh, tidaklah aku tahu. Siapa kisah?

Aku menyisir rambutku kemas, biar pun dengan air liur masih di pipi. Katil tempatku beradu telah aku siapkan. Langsir aku singkap, biar sinaran mentari pagi menghiasi kamar. Aku menghela segarnya udara pagi yang tak ramai hargai. Ramai yang mengejar masa, tiada ruang untuk menghargai keindahan ini, tetapi tidak bagi aku. Aku masih di sini, setia di kamarku menikmati pagi hujung minggu.

Bingkai kaca kamar dikopak luas. Berteman udara segar aku meregangkan badan, sudah menjadi kebiasaanku sekarang. Aku ke kamar mandi dan membasahkan wajah dengan air sedingin subuh. Berus gigi segera aku capai, aku sudah tidak sabar untuk menghirup peneman pagiku, secangkir kopi.

Ah, hampir terlupa! Kopi perlu tunggu dahulu. Ada yang perlu diselesaikan lagi.

Di ruang basuhan, segera aku hidupkan mesin basuh. Aku tuangkan cecair cucian pakaian pilihanku sejak sekian lama ke dalam mesin tersebut. Butang-butang di atasnya aku tekan, dan siap. Hanya tinggal menunggu mesin itu menyiapkan pekerjaannya. Ciptaan moden serba hebat oleh manusia hebat.

Kipas siling di ruang tamu dihidupkan, lantas kakiku melangkah ke dapur untuk menjerang air. Langkah pertama untuk menyediakan peneman pagi kegemaranku, secangkir kopi. Sementara menunggu siulan dari cerek yang sedang dibakar api manja, aku hidupkan radio usang peninggalan arwah nenek, memainkan punat-punat yang ada sambil mencari-cari lagu yang kena dengan jiwa pagi ini.

Aduhai. Aku seorang sahajakah yang merasakan, kalau bunyi-bunyi dari siaran radio di pagi hari sebenarnya amat membingitkan? Jenaka yang tidak kena dengan jiwaku. Berkali-kali aku memutar punat, tiada satu pun yang kena. Malas. Aku tidak gemar mendengar sindiran mahupun kecaman yang dilemparkan oleh hos-hos radio pagi hari.

Aku ingin bertenang, menikmati pagi mendengar lagu, tidak kisahlah Melayu mahupun Inggeris, asalkan ada melodi yang sedap didengar. Malangnya, hos-hos radio pagi hanya sibuk mengenakan orang dan berulang-ulang menyiarkannya semula. Muak. Aku matikan dan simpan semula radio usang tinggalan nenekku ke tempat asalnya.

Kalau telingaku tidak mendapat halwanya, biarlah mataku dapat penjamunya. Rak buku sepertinya sedang melambai-lambai meminta untuk dibelek. Dengan langkah berat kuambil satu buku daripada berpuluh pilihan lain. Yang kupilih adalah hadiah daripada kenalan yang belum sempat aku habiskan. Terlalu sibuk dengan bacaan lain. Aku letakkan dahulu buku itu di atas sofa empukku.

Cerek di atas api mula bersiul nyaring, tanda air sudah cukup menggelegak. Tiba masanya untuk aku menyediakan peneman pagiku, secangkir kopi. Dengan laju aku melangkah ke dapur menutup api. Kucapai cawan kegemaranku yang sudah siap aku isi dengan serbuk kopi dari jenama terkenal dunia.

Air mendidih dari cerek perlahan aku curahkan ke dalam cawan yang sepertinya sudah lama bersedia menakung air. Cawan berisi serbuk kopi itu menahan kepanasan air yang dididih. Serbuk kopi jenama terkenal dunia yang halus dan hitam itu mula melarut, menerbitkan aroma mahal yang mengisi ruangan dapurku. 

Perlahan, aku kacau cawan yang sudah berisi kopi kegemaranku itu dengan sudu pendek yang dipanggil manusia sebagai sudu teh. Sudu pendek itu tetap akan dipanggil sudu teh, walaupun yang dikacauku itu adalah kopi. Lucu.

Dengan berhati-hati cawan kuangkat ke ruang tamu, bakal diminum sambil menjamu mata dengan bait-bait dari buku pilihanku tadi yang setia menunggu di atas sofa empuk. Aroma mahal kopiku kini tersebar ke segenap ruang rumah.

Aku letakkan cawan itu di atas meja kecil bersebelahan sofa. Kucapai buku tadi, dan helaian demi helaian kutatap sambil bibir tak jemu menghirup kopi kegemaran yang masih hangat.

Aku masih cuba untuk memahami cerita yang disampaikan penulis. Saat tenggelam di dalam buku yang sekurang-kurangnya tidak segagal radio tadi, tak sedar, kopi di dalam cawan sudah kehabisan. Keasyikan secangkir kopi bersama lirikan ayat-ayat di dalam buku melalikan aku.

Spontan, buku kututup dan disimpan kembali ke atas raknya. Nanti aku sambung lagi, bertemankan secangkir kopi hujung minggu yang akan datang pula. 

Perlahan aku kembali ke dapur, mencurahkan air bersih pada cawan kegemaranku. Cawan kembali bersih, aroma kopi kini berganti haruman sabun cucian pinggan yang sentiasa wangi. Cawan kususun kembali ke atas rak, biar kering dengan sendiri. Selesai sudah nikmat pagi hujung minggu bersama peneman kegemaranku, secangkir kopi.

Ah, hampir terlupa! Baju yang dibasuh tadi sudah selesai dikerjakan mesin, masih perlu disidai di ruang mengering. Begitulah kehidupan seharian, biarpun di hujung minggu.

Nursyazana Khidir Neoh adalah seorang graduan bidang perhutanan dari Universiti Malaysia Sabah. Kini bertugas sebagai Pembantu Pentadbiran di Penang Institute. Beliau juga aktif menulis artikel untuk terbitan Penang Monthly

Foto hiasan ihsan Pinterest

Share this Post: