SEABED: Projek Pemetaan Seluruh Permukaan Laut

SEABED: Projek Pemetaan Seluruh Permukaan Laut

Tahukah anda apa itu seabed 2030?

Seabed 2030 adalah projek pemetaan seluruh permukaan laut di muka bumi ini.

Projek besar-besaran kerjasama antara Nippon Foundation of Japan dan the General Bathymetric Chart of the Oceans (GEBCO) telah dilancarkan secara rasmi pada Jun 2017 di United Nations (UN) Ocean Conference.

Projek ini menyasarkan semua data batimetri dapat dikumpulkan dengan lengkap untuk menghasilkan peta definitif dasar lautan dunia menjelang 2030.

Walaupun lautan meliputi lebih 70% daripada permukaan bumi, hanya 5% daripadanya sahaja yang telah berjaya diteroka oleh manusia.

Malah, dikatakan kita lebih mengetahui tentang permukaan bulan dan permukaan planet Marikh berbanding apa yang kita tahu tentang dasar lautan.

Lautan terbesar di dunia iaitu Lautan Pasifik yang meliputi kira-kira 30% daripada seluruh keluasan bumi mampu menampung setiap benua yang ada di muka bumi ini.

Dan di dasar lautan pasifik jugalah terletaknya gunung tertinggi di bumi, iaitu Gunung Mauna Kea yang berketinggian 10,210 meter, mengalahkan Gunung Everest 8,850 meter.

Ketinggian Gunung Mauna Kea ini adalah diukur daripada kaki gunung yang terletak jauh di dasar lautan pasifik. Jika ketinggian gunung ini diukur daripada aras laut, ketinggiannya adalah 4,205 meter sahaja.

Keluasan lautan dunia hanya mampu kita lihat pada permukaan lautan sahaja. Dasar lautan yang memuatkan gunung-ganang tidak dapat dilihat bahkan sulit untuk kita ketahui tentangnya dengan lebih terperinci kerana keterbatasan dalam kemampuan manusia dan teknologi.

Tekanan yang terlalu tinggi di dasar laut dalam serta keadaan yang sangat gelap menyukarkan kita untuk mempunyai peta dasar laut yang menyeluruh dan tepat.

Pemetaan seluruh lantai laut dunia adalah penting untuk memahami peredaran laut, pasang surut, ramalan tsunami, sumber perikanan, pengangkutan sedimen, perubahan alam sekitar, geo-hazard bawah air, pembinaan dan penyelenggaraan infrastruktur, penghalaan kabel, saluran paip dan banyak lagi.

Pengetahuan tentang kedalaman dan peta dasar laut boleh memberikan pandangan tentang pengurusan perikanan yang mampan. Pengasidan lautan juga dikaitkan secara langsung dengan kedalaman. Sesetengah kawasan mungkin mengalami lebih banyak perubahan kimia dan kurang berupaya mengekalkan ekosistem yang sihat berbanding yang lain.

Kesan perubahan iklim juga boleh berbeza-beza bergantung pada kedalaman. Mengenal pasti dan memantau gunung berapi bawah air juga membantu saintis meramalkan tsunami dengan lebih berkesan yang berpotensi membantu menyelamatkan nyawa merentasi kawasan pantai yang besar di seluruh dunia.

Dengan pemetaan lengkap seluruh lantai lautan dunia juga, kita dapat merungkai misteri seperti kehilangan pesawat MH370 dan lain-lain lagi yang sebelum ini tidak dapat dirungkaikan oleh sesiapa.

Pemetaan lantai lautan dunia juga merupakan inisiatif yang sangat baik bagi mengetahui dengan terperinci setiap pelosok bumi yang menjadi tempat tinggal kita ini.

Semakin banyak data yang diperolehi tentang bentuk muka bumi di dasar laut, semakin akan kita menyedari bahawa lautan dan lantainya lebih dinamik.

Visi Seabed 2030 iaitu “100% of the world ocean floor mapped by 2030” boleh dicapai melalui penyelarasan dan kerjasama antarabangsa untuk mendapatkan data, asimilasi dan penyusunan data batimetri sedia ada.

Dalam projek ini, keluasan laut telah dibahagikan mengikut kawasan dan keluasan tertentu dan diberi tugas kepada beberapa kumpulan.

Setiap kumpulan mempunyai dua tugas utama iaitu mengenal pasti jika ada data batimeri sedia ada dan jika tidak, bertanggungjawab menyelaras tinjauan untuk mendapatkan data batimetri baru.

Penggunaan teknologi terkini untuk pemetaan dasar laut merupakan salah satu kekuatan projek Seabed 2030.

Dengan konsep kapal atau “barge” tanpa pemandu, dipantau oleh komunikasi satelit dan dilengkapi dengan perkakasan moden adalah merupakan antara kaedah yang akan digunakan untuk mendapatkan data batimetri baru.

Sehingga tahun 2022, 23.4% daripada seluruh dasar lautan dunia telah berjaya dipetakan. Menjelang akhir dekad ini, kita akan mengetahui peta seluruh dasar lautan dunia.

Syarmila Ishak merupakan anak Kedah yang mahu rantau seluruh dunia dan minat membaca novel tentang kehidupan atau apa-apa sahaja bacaan yang memberi inspirasi.

Rujukan:

https://www.gebco.net/documents/seabed2030_brochure.pdf

https://oceanservice.noaa.gov/news/jun22/seabed-2030.html

Share this Post: