Saya, selepas serangan strok . . .

Saya, selepas serangan strok . . .

Ini adalah tulisan saya yang ketiga untuk Alternatif Press. Jika para pembaca perasan, kerap saya kongsikan kisah saya ketika zaman kanak-kanak dan remaja, waktu mula berniaga, pengalaman buka kebun dan banyak lagi.  Memori-memori ini saya susun menjadi sebuah cerita sebagai kenangan (bahkan menjadi coretan sejarah diri), sebagai pengajaran juga bagi rakan-rakan pembaca yang mungkin memerlukan.

Selain menulis di Alternatif Press, saya juga selalu berkongsi cerita di Facebook saya - Nazrul Azam. Tulisan saya di Facebook pernah mendapat perkongsian hampir 1000 kali melalui cerita yang saya boleh simpulkan dalam satu ayat iaitu “7 hari sebelum serangan strok”.

Suatu hari saya mendapat satu pertanyaan melalui Facebook :

Bagaimana saudara boleh ingat segala kejadian lebih 20 tahun lalu dengan jelas walaupun baru saja survive dari strok, satu kondisi yang berpunca dari kecederaan di dalam otak? 

Jawapan saya :

Senaman

Cliche. Muak. Saya pun muak dengan nasihat senaman, senaman, & senaman!

Secara ringkas, menurut ahli fisioterapi yang merawat saya, perkara pertama yang terjadi selepas strok menyerang ialah otot-otot dan sendi menjadi lemah.  Malah ada kes yang lebih serius, sendi bahu atau peha boleh terkeluar daripada soket. Oleh sebab itu, senaman dan menjalani terapi adalah sangat penting untuk menguatkan dan memulihkan otot yang terkesan. Untuk pengetahuan rakan-rakan pembaca sekalian, segala senaman yang diajar oleh ahli fisioterapi telah direncana khas untuk melatih bahagian otak yang lain untuk mengambil alih fungsi kawalan anggota-anggota yang lumpuh. 

Selain senaman fizikal, senaman minda atau terapi minda amat ditekankan oleh ahli fisioterapi dan kini sentiasa menjadi amalan saya.  

Saya lebih suka menyebut senaman minda ini sebagai terapi minda. Terapi minda adalah aktiviti-aktiviti yang dilakukan untuk mengaktifkan dan menajamkan semula fikiran. Situasi ini sebenarnya sama pentingnya dengan senaman fizikal kerana apabila strok terjadi, ada satu atau lebih bahagian di dalam otak yang telah tercedera dan rosak. Bahagian ini tidak boleh diperbaiki tetapi kita dikurniakan kebolehan untuk melatih bahagian otak yang lain untuk mengambil alih tugas-tugas bahagian yang telah rosak. 

Mungkin rakan-rakan pembaca sekalian pernah mendengar satu fakta bahawa secara asasnya manusia tidak menggunakan sepenuhnya keseluruhan otak, maka, saya ingin mengambil kesempatan ini untuk berkongsi aktiviti-aktiviti yang saya lakukan untuk mengaktifkan semula otak saya.

Memilih Ketenangan & Mencabar fikiran

12 tahun saya mengusahakan kebun sayuran organik tetapi selama itu saya menganggap aktiviti ini sebagai punca rezeki semata-mata. Hal ini menyebabkan tekanan yang berkaitan dengan perniagaan dan kewangan itu sentiasa ada. Kini, saya menjadikan aktiviti berkebun  sebagai satu hobi yang menyeronokkan, aktiviti harian bersama anak-anak setiap petang di laman rumah.

Saya juga lebih banyak membaca. Surat khabar, majalah, buku dan bahan-bahan bacaan lain yang menambahkan pengetahuan. Menonton dokumentari juga amat membantu, saya tonton apa saja dokumentari yang ada. Saya juga mencari informasi-informasi baru yang boleh merangsang fikiran.  Contohnya, baru-baru ini saya menonton video-video di Youtube mengenai kaedah menghasilkan gula-gula, ais krim, tekstil dan macam-macam lagi.  Saya turut bermain teka silang kata, kuiz, dan puzzles yang  mencabar fikiran. 

Seterusnya, saya mencari semula lagu, filem serta siri televisyen yang saya pernah ikuti dahulu, termasuklah siri-siri yang abah tak benarkan saya tonton semasa kecil! Jadi, pada setiap malam saya ambil masa dalam 1 jam sebelum tidur untuk menonton siri-siri ini. Apabila kita ternampak atau terjumpa semula sesuatu yang pernah kita lalui bertahun-tahun yang lalu, kita akan merasai satu perasaan seronok yang sukar untuk digambarkan. Apa yang lebih menarik ialah secara automatik segala memori seputar garis masa tersebut akan datang kembali. 

Contohnya, sambil saya menonton Siri TV "The A Team", memori dimarahi abah kerana curi-curi menonton siri ini (terlalu ganas katanya) tiba-tiba datang kembali dengan sangat jelas sampaikan terasa kembali bahagian punggung yang sakit dirotan. Apabila saya boleh mengingatkan kembali kejadian puluhan tahun yang lalu, maknanya saya telah berjaya merangsang (menghidupkan) bahagian otak yang sudah lama ditinggalkan.  Mudah kan?

Ketawalah

Kurangkan tekanan dan gantikannya dengan keseronokan dan ketawa. Saya sudah berhenti memikirkan perkara yang di luar kawalan saya. Pasukan bola sepak yang saya minat kalah? Biarlah, sakit hati, stress teruk pun tak ada apa-apa yang boleh saya buat untuk mengubah keputusan. Main dan berseronok dengan anak-anak adalah satu bentuk kegembiraan yang membantu merangsangkan fikiran.

Tidur awal. Waktu tidur saya sekarang adalah sekitar 9.30 ke 10.00 malam hingga ke 5.00 pagi.  Saya rasa lebih segar dengan jadual tidur sebegini, malah banyak amal ibadat yang boleh dilakukan sementara menanti subuh tiba.

Akhir sekali, saya susun semula diet saya dengan memasukkan makanan untuk kesihatan otak di dalam menu.  InshaAllah saya sambung topik ini pada masa akan datang.

Rakan-rakan pembaca sekalian, inilah sebahagian daripada usaha saya untuk sentiasa memastikan otak sentiasa aktif sebagai salah satu terapi diri. Selamat mencuba.

Nazrul Azam berasal dari Ipoh dan telah lebih 20 tahun menetap di Nibong Tebal, Penang. Seorang petani organik 'old school' yang baru bertukar status ke OKU. Ingin berkongsi pengetahuan dan pengalaman dengan rakan-rakan marhaen.

Foto: Nazrul Azam

 

Share this Post: