Sampai Bila Malaysia Harus Anti Ganja?

Sampai Bila Malaysia Harus Anti Ganja?

Ketika perbahasan sidang Parlimen berkenaan Rancangan Malaysia ke 12 (RMK12), Ahli Parlimen Muar, Syed Saddiq Syed Abdul Rahman telah mencadangkan agar pihak kerajaan mengkaji penubuhan jawatankuasa meneliti untuk membenarkan industri hemp dan ganja bagi tujuan perubatan.

Cadangan ini bukanlah sesuatu yang radikal, bahkan ia sepatutnya disuarakan sejak dahulu lagi.  Namun, kebanyakan Ahli Parlimen masih keberatan menjadikannya isu utama perbahasan kerana masih terperangkap dengan persepsi penggunaan ganja bermaksud penyalahgunaan dadah. 

Stigma negatif mengenai penggunaan ganja sebenarnya dibentuk daripada naratif perang anti dadah yang dilancarkan ketika era Richard Nixon menjadi Presiden Amerika Syarikat.  

Akibat pendirian keras Washington, kebanyakan negara pada era tersebut memilih untuk ‘jump on the bandwagon’, walaupun pada hakikatnya terdapat sebilangan negara tersebut merupakan pengeluar ganja yang bermutu tinggi (high quality strain) seperti Malaysia di era 70-an.

Pada 4hb Disember 2020, Dewan Perwakilan Amerika Syarikat (The House of Representative) meluluskan undang-undang dekriminalisasi penggunaan ganja sebagai bahan terlarang.  Hal ini bermaksud, penggunaan ganja yang tidak menjurus kepada keganasan dan perlakuan musnah, tidak lagi dikelasifikasikan sebagai kes jenayah.

Tidak lama selepas keputusan bersejarah di Dewan Perwakilan Amerika Syarikat, The United Nations Commission on Narcotic Drugs (CND) bertindak mengeluarkan ganja daripada senarai jadual bahan terlarang.  Secara tidak langsung, mengiktiraf faedah perubatan dan kesan terapi yang dihasilkan oleh tanaman tersebut.

Bagi berlaku adil, kita wajib meneliti kembali naratif yang menjadi asas penghakiman yang mengorbankan berjuta jiwa diseluruh dunia.

Ganja, Naratif Etnik, dan Politik Arak-Rokok

Dalam konteks sejarah, larangan penggunaan ganja di Amerika Syarikat adalah bersifat perkauman dan diskriminasi kelas sosial.  Pada tahun 1930, suatu sesi pendengaran awam (public hearing) telah dilakukan bagi mengutip pandangan masyarakat mengenai cadangan penggubalan undang-undang kawalan ganja.  

Kumpulan anti-ganja telah mengemukakan hujah bahawa ganja mengakibatkan lelaki Hispanik bersikap ganas dan menggoda wanita kulit putih dengan niat melakukan hubungan seksual.  Isunya di sini bukan keinginan seksual atau perlakuan musnah, tetapi mengapakah hanya ditujukan kepada lelaki Hispanik?

Stigma ganja dengan etnik-kelas sosial seringkali berhubung kait.  Acap kali digambarkan dalam naratif arus perdana bahawa pengguna produk ganja sebatas sesuatu kaum (di Malaysia misalnya ia seringkali dikaitkan dengan etnik Melayu) dan mereka yang berasal daripada kelas sosial peringkat bawah.  Selain itu, ia juga dikaitkan dengan aktiviti jenayah.  Konstruksi sosial negatif ini akhirnya menyebabkan potensi ganja bagi tujuan perubatan seolah-olah dikaburkan dan masyarakat hanya memandangnya sebagai punca kepada isu jenayah dan masalah sosial. 

Di Amerika Syarikat, walaupun hujah yang dikemukakan oleh kumpulan anti-ganja adalah tidak berasas sama sekali, namun ia akhirnya menjadi asas kepada penggubalan Marijuana Tax Act 1937.  Untuk memahami persoalan ini, wajib untuk kita melihatnya dalam konteks ekonomi-politik era tersebut.  

17 tahun sebelum penggubalan Marijuana Tax Act 1937, Kongres Amerika Syarikat telah meluluskan Volstead Act 1919 yang bertujuan melarang penghasilan, pengedaran, import-eksport minuman keras diseluruh negara.  Kesan daripada penguatkuasaan undang-undang ini, bermulalah era yang dipanggil ‘prohibition’ diseluruh Amerika Syarikat daripada tahun 1920 sehingga 1933.

Hanya selepas 1933, industri minuman keras dibenarkan beroperasi.  Dalam usaha meningkatkan penjualan produk, syarikat arak dan rokok mula mempromosikan produk ini sebagai sebahagian gaya hidup masyarakat.  

Bermula dengan budaya popular seperti muzik dan filem, kemudiannya ia menjalar kepada penajaan aktiviti sukan. Dominasi syarikat rokok dan arak dalam ekonomi berpotensi terjejas jika ganja/hemp turut dibenarkan penggunaanya tanpa halangan undang-undang.

Akibat lobi yang dilakukan oleh syarikat-syarikat (yang turut terlibat dalam penajaan politik) ini menyebabkan ganja mula dikelasifikasikan sebagai bahan terlarang.  Sebarang penggunaan atau penjualan akan dikenakan hukuman yang keras.

Perang ke atas Dadah

Kempen perang atas dadah dimulakan ketika era pentadbiran Presiden Richard Nixon pada tahun 1971.  Salah satu isu yang mendasari pengistiharan kempen ini adalah perang Vietnam yang sedang bergelora di Asia Tenggara.  

Impak domestik perang Vietnam atas Amerika Syarikat adalah penularan ketagihan dadah dikalangan tentera yang berpengkalan di Thailand.  Selain itu, skala import dadah daripada kawasan ‘Segi Tiga Emas’ ke Amerika Syarikat meningkat dengan drastik.

Namun, kempen ini menjadi lebih agresif ketika era pentadbiran Ronald Reagan.  Pihak Rumah Putih yang berusaha memerangi eksport dadah daripada negara seperti Colombia, mengambil sikap mendanai paramilitari sayap kanan seperti ACCU.

Hal yang sama turut berlaku di Nicaragua, bilamana tuduhan dilemparkan kepada kerajaan Sadinista terlibat dalam pengedaran dadah.  Namun, isu utamanya ialah percaturan geo-politik di rantau Amerika Latin.

Walaupun tumpuan utama perang dadah adalah memerangi kategori dadah berat seperti heroin dan kokain, namun malangnya ganja turut terperangkap sama dalam konflik ini. Darihal itu, potensi tumbuhan ini untuk faedah perubatan dan lain-lain terus ditutup, kesan permainan ekonomi-politik kapitalis arak dan rokok. Stigma negatif mengenai ganja ini turut diwarisi oleh negara seperti Malaysia.

Kita Seringkali Terlewat

Negara jiran seperti Thailand lebih terkehadapan berbanding Malaysia dalam isu legalisasi ganja/hemp untuk perubatan. Usaha ke arah legalisasi yang dilakukan di Thailand adalah berperingkat-peringkat dan bukan sekaligus.

Pada bulan Januari 2017, Thailand Narcotics Control Board telah melaksanakan proses dekriminalisasi ganja/hemp. Hanya pada bulan Desember 2018, Parlimen Thailand mengundi membenarkan penggunaan ganja untuk tujuan perubatan.  Ini bermaksud, ia merupakan proses yang berperingkat-peringkat!  Perlu difahami, dekriminalisasi merupakan pra-syarat sebelum menuju ke arah legalisasi.  Melalui proses dekriminalisasi, penggunaan bahan ini tidak lagi dikategorikan sebagai aktiviti jenayah.  

Malaysia merupakan negara yang menguatkuasakan hukuman berat terhadap kes dadah.  Dalam konteks kes ganja/hemp, pemilikan atau penggunaan bahan ini seberat 50g boleh dikenakan hukuman penjara sehingga 5 tahun, sebatan dan denda sebanyak RM 20,000.

Manakala, pemilikan melebihi 200g membawa kepada hukuman mati.  Statistik menunjukkan bagi tahun 2017, 56 peratus daripada 59,600 banduan diseluruh negara, merupakan mereka yang terlibat dalam kes minor seperti pemilikan ganja dalam kuantiti kecil.  

Lebih mengharukan, kes seorang lelaki yang dikenali sebagai doktor ganja, berhadapan dengan hukuman gantung kerana memiliki bahan mengandungi produk ganja untuk tujuan perubatan. Nasib beliau agak baik kerana keputusan Mahkamah Persekutuan membenarkan rayuannya mengenepikan sabitan hukuman mati.  Namun, terdapat ramai yang telah dihukum mati atas pertuduhan yang sama.

The Asian Cannabis Report menjangkakan industri ganja/hemp di Asia akan bernilai USD5.8 billion menjelang tahun 2024.  Manakala, Thailand dijangkakan mampu menjana keuntungan negara sebanyak USD661 juta menjelang tahun 2024.

Disaat semua negara mula merubah persepsi negatif terhadap penggunaan ganja/hemp, Malaysia dilihat tidak memberikan respon positif bagi memulakan usaha menggubal undang-undang anti dadah kebangsaan.

Penyelidikan perubatan membuktikan ekstrak bahan cannabidiol (CBD) yang terdapat dalam tanaman ini berfungsi sebagai penahan sakit semula jadi (natural) dan berpotensi dalam mengubati penyakit kemurungan (depression).

Oleh yang demikian, kerajaan harus menimbangkan untuk menubuhkan suatu jawatankuasa bagi mengkaji kemungkinan tanaman ini dikeluarkan daripada kelasifikasi dadah dan bahan terlarang. Objektif utama jawatankuasa ini perlulah untuk mengkaji apakah mekanisme yang perlu diambil untuk mengelakkan industri ganja/hemp daripada monopoli narco-economic system yang dikawal oleh kumpulan jenayah.

Jika tidak, Malaysia bukan hanya akan mengalami kerugian tatkala industri ini menjadi matang dalam tempoh beberapa tahun lagi, bahkan dibimbangkan Malaysia akan terus bergantung kepada sumber farmaseutikal antarabangsa berbanding membangunkan industri sendiri.  

Pada pendapat penulis proses dekriminalisasi ganja/hemp wajib dipercepatkan sebelum kita berbicara tentang legalisasi. Sekurang-kurangnya kebenaran harus diberikan demi tujuan perubatan.

Rizal Hamdan merupakan pendukung konsep gastro-diplomacy. Beliau percaya memasak merupakan aktiviti yang mampu mengeratkan hubungan silaturahim.

Foto: Shutterstock

Share this Post: