Salasilah Bahasa Bangsaku

Salasilah Bahasa Bangsaku

Bahasa merupakan satu identiti buat sesebuah bangsa dan negara. Bahasa juga dikategorikan sebagai komponen budaya bagi sesebuah masyarakat yang berada di sesebuah tempat . Namun begitu, ramai masyarakat tidak tahu apakah sebenarnya maksud bahasa itu sendiri.

Dalam konteks pengistilahan umum, bahasa ialah kebolehan semula jadi manusia yang berupa satu sistem simbol yang arbitrari, yang dipersetujui dan digunakan oleh sekelompok manusia untuk berkomunikasi. Menurut Dewan Edisi Ketiga pada tahun 1996,  dinyatakan bahawa bahasa ialah lambang bunyi suara yang dipakai sebagai alat perhubungan dalam lingkungan satu-satu kelompok.

Terdapat beberapa pendapat daripada pakar bahasa seperti Abdullah Hassan yang mengatakan dalam memberi definisi bahasa ini, penting bagi kita untuk mengetahui ciri-ciri bahasa tersebut. Ciri-ciri bahasa tersebut akan hanya menjadi jelas apabila kita melihat bahasa dari segi gunaan dan sifatnya sebagai alat perhubungan. Selain itu pandangan daripada Raminah Hj Sabran mengatakan bahawa banyak dasar yang boleh dijadikan sebagai asas untuk mendefinisikan bahasa. Sesetengah orang mendefinisikan bahasa daripada sudut fungsi bahasa itu sendiri. Bagi mereka bahasa merupakan alat perhubungan atau komunikasi.

Dalam konteks masyarakat di Malaysia, Bahasa Melayu merupakan bahasa kebangsaan yang rasmi. Namun masih ramai orang tidak mengetahui tentang Bahasa Melayu itu sendiri terutamanya generasi muda. Konsep Melayu itu sendiri terjelas dari segi etimologi apabila perkataan Malayapura yang bermaksud “Kota Melayu" atau “Kerajaan Melayu” yang ditemukan pada Batu Bersurat Bukit Gombak Satu di Sumatera Barat. Oleh itu, terdapat pandangan yang mengatakan perkataan Melayu itu mungkin berasal daripada perkataan Malayapura.

Tambahan pula, Mohd Dahlan Mansoer iaitu penulis Sejarah Awal Nusantara mengatakan bahawa perkataan Melayu itu berasal daripada nama sebatang sungai iaitu Sungai Melayu kerana airnya mengalir dengan deras. Maka terjelaslah bahawa terdapat pelbagai pendapat dan teori tentang asal usul Bahasa Melayu itu sendiri. Para penyelidik Bahasa Melayu juga mengkaji asal-usul Bahasa Melayu dari faktor usia yang dikategorikan kepada tiga lapisan. Lapisan yang pertama dipanggil Filum yang berusia 5000 tahun ke atas diikuti dengan lapisan yang kedua iaitu Rumpun yang berusia 2500-5000 tahun. Ketiga ialah kategori Keluarga yang berusia kurang daripada 2500 tahun. 

Perkembangan bahasa Melayu dibahagikan juga kepada tiga peringkat, iaitu bahasa Melayu kuno, bahasa Melayu klasik dan bahasa Melayu moden.  Bahasa Melayu kuno digunakan pada abad ke-7 hingga abad ke-13 iaitu pada zaman Kerajaan Srivijaya. Pada zaman kerajaan Srivijaya ini, bahasa Melayu kuno dijadikan lingua franca dan bahasa rasmi bagi pentadbiran, urusan rasmi kerajaan dan bahasa perantaraan. Hal ini dikatakan demikian kerana ciri-ciri bahasa Melayu kuno yang bersifat sederhana dan mudah menerima pengaruh luar. Bahasa Melayu kuno tidak terikat dengan susun lapis masyarakat serta mempunyai sistem yang mudah difahami.

Pada zaman tersebut , bahasa Melayu kuno juga mudah menerima pengaruh dari bahasa Sanskrit. Pengaruh bahasa Sanskrit di dalam perkembangan bahasa Melayu sangat ketara kerana penganut agama Hindu-Buddha ketika itu berpendapat bahawa bahasa Melayu mudah dilentur dan dibentuk mengikut keadaan dan keperluan. Sebagai contoh , bahasa Melayu kuno ditulis diatas Batu Bersurat Kedukan Bukit di Palembang, Batu Bersurat  Talang Tuwo di Palembang dan Batu Bersurat Kota Kapur di Pulau Bangka.

Peringkat yang kedua adalah peringkat bahasa Melayu klasik. Bahasa Melayu klasik merupakan bahasa peralihan daripada pengaruh bahasa Sanskrit ke bahasa Arab yang bermula pada abad ke-11.  Selepas kurun ke-14 bahasa Melayu mempunyai aksara yang tersendiri. Masyarakat di Tanah Melayu sendiri telah mengenali huruf dan mampu merakamkan bahasa dalam bentuk tulisan. Bahasa Melayu klasik mencapai zaman kegemilangan pada zaman Kerajaan Melayu Melaka dan Kerajaan Melayu Riau. Antara ciri-ciri bahasa Melayu klasik ialah tulisan Jawi dan perbendaharaan kata dari bahasa Arab yang membolehkan perkembangan bahasa ini berlaku. Sehubungan itu, bahasa Melayu klasik merupakan bahasa penyebaran agama Islam yang tinggi darjah kebudayaannya. Sebagai contoh , bahasa Melayu klasik ini digunakan pada tulisan di atas batu nisan Wali Allah pada abad ke-11, Batu nisan Sultan Malik Al-Salleh pada abad ke-13 dan Batu nisan Minye Tujuh pada abad ke-14. 

Peringkat yang ketiga ialah pada abad ke-20 apabila bahasa Melayu moden berkembang dengan pesat selepas Tanah Melayu mencapai kemerdekaan. Hal ini telah menjurus kepada apa yang diperkatakan iaitu Bahasa Melayu merupakan bahasa rasmi dan bahasa kebangsaan di bawah Perkara 152 Perlembagaan Malaysia. Bahasa Melayu moden ini memikul tugas sebagai bahasa rasmi, bahasa pentadbiran, bahasa perhubungan umum dan bahasa ilmiah.

Terdapat beberapa ciri-ciri peralihan bahasa Melayu klasik ke bahasa Melayu modenyang berlaku pada abad ke-20. Antaranya, peringkat bahasa Melayu moden terdapat proses perancangan bahasa yang pesat. Peringkat ini juga banyak menerima pengaruh bahasa Inggeris dan banyak menggunakan laras bahasa yang lebih pelbagai.

Perkembangan peringkat ini dibuktikan oleh beberapa tokoh asing seperti R.O Winstedt , R.J Wilkinson dan O.T Dussek. Di samping itu, tokoh-tokoh tempatan juga turut serta terlibat dalam perkembangan ini. Antaranya seperti Raja Ali Haji, Abdullah Munsyi, dan juga Za’ba atau Zainal Abidin Ahmad. Sebagai contoh adalah karya-karya daripada beberapa tokoh tempatan yang membuktikan perkembangan bahasa ini ke peringkat moden seperti Kitab Tuhfat Al-Nafis, Syair Singapura Terbakar, Jalan Bahasa Melayu, dan Pelita Bahasa Melayu I, II, III.

Ketiga-tiga peringkat ini merupakan jalan galuran bahasa Melayu yang digunapakai oleh masyarakat masa kini. Melalui tiga peringkat bahasa Melayu ini, bahasa Melayu menjadi bahasa yang ke enam tertinggi digunapakai oleh masyarakat dengan jumlah 281 juta pentutur. Peringkat-peringkat ini juga menjurus kepada penubuhan Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP). Dengan ini, banyak perancangan yang ingin memartabatkan lagi bahasa Melayu. Sebagai contoh , perancangan korpus bahasa yang menumpukan kepada pengekodan perkamusan, pengekodan ejaan, pengekodan tatabahasa, pengekodan peristilahan, dan pengekodan sebutan. Perancangan-perancangan yang dirangka ini bagi memaju, memperkaya, dan menyeragamkan bahasa kebangsaan iaitu bahasa Melayu.

Akhir kalam, bahasa kebangsaan kita mempunyai penuh sejarah yang sangat berharga. Perkembangan bahasa Melayu ini menunjukkan bahasa Melayu merupakan sebuah bahasa yang sangat fleksibel. Sekiranya kita mengabaikan khazanah yang berharga dengan tidak mempraktikannya dan menurunkan warisan ini ke generasi yang akan datang, maka kita telah kehilangan salah satu identiti negara yang terbesar. Semoga bahasa Melayu dapat dipelihara dan diwarisi oleh generasi yang akan datang agar kelangsungan bahasa ibunda ini dapat diteruskan.

Firdaus Anuar merupakan anak jati Pulau Pinang. Seorang yang aktif dalam penulisan berkaitan isu sosial semasa dan aktivisma anak muda di Pulau Pinang. Penulisannya ditanda dengan tanda pagar #MalaysiakuBersaudara

Foto: Gunawan Kartapranata / Museum Nasional Indonesia

Share this Post: