SAINS DI SEBALIK BAU BUKU

SAINS DI SEBALIK BAU BUKU

Adakah anda seorang ulat buku?

Jika ya, pastinya anda akan perasan satu aroma yang datang daripada buku-buku yang anda baca.

Aroma buku juga memainkan peranan dalam menarik minat sesetengah orang untuk membaca. Bau buku sebenarnya boleh mengingatkan kita tentang sesuatu sama ada tentang peristiwa, tempat, seseorang mahupun tentang perasaan yang kita rasakan.

Ada yang menganggap bau buku adalah bau yang menenangkan, bau yang mengingatkan kita sewaktu kecil, aktiviti membaca buku yang menimbulkan rasa ingin tahu tentang cerita dongeng zaman kanak-kanak. Bau ini juga membangkitkan memori kehidupan sebagai seorang pelajar dan mahasiswa yang asyik menelaah buku di perpustakaan.

Sebenarnya, otak kita terdapat satu bahagian yang dinamakan olfactory, yakni bahagian ini memainkan peranan berkaitan memori dan perasaan.

Jika kita menghidu bau tertentu, bau ini akan terus dikaitkan dengan situasi seseorang serta peristiwa yang berlaku pada ketika itu. Situasi atau peristiwa ini akan tersimpan rapi sebagai memori di otak kita.

Sebagai contoh, anda sering kali pergi ke perpustakaan bersama rakan-rakan untuk mengulang kaji pelajaran. Anda mencapai beberapa buah buku dari rak, membuka helaian buku-buku tersebut dan semestinya aroma buku memasuki rongga hidung anda. Seterusnya, sesi mengulang kaji serta perbincangan bersama rakan-rakan bermula. Rutin, situasi dan dengan siapa anda bersama pada ketika itu akan tersimpan kemas di dalam otak.

Jika selepas 5 tahun, anda pergi semula ke perpustakaan yang sama, bau buku bahkan bau perpustakaan itu sendiri akan mengingatkan semula anda kepada situasi, peristiwa dan orang yang bersama anda pada masa lalu.

Bau boleh mengembalikan memori!

Jadi, jangan pandang enteng pada sesuatu bau, bahkan bau yang datang dari sebuah buku kecil sekalipun.

Anda mesti tertanya-tanya apakah yang membuatkan buku mempunyai aromanya yang tersendiri?

Anda akan mendapat jawapannya di sini.

Bau termasuk sebahagian daripada sains dan bau yang terhasil daripada buku boleh diterangkan melalui sains kimia.

Buku terdiri daripada tiga komponen iaitu kertas, bahan lekatan atau gam untuk melekatkan helaian kertas serta dakwat. Bagi buku baharu, bau yang terhasil datang daripada VOCs (volatile organic compounds) yang terdapat dalam ketiga-tiga komponen ini.

Dalam proses penghasilan kertas itu sendiri, berbagai-bagai jenis bahan kimia digunakan. Contohnya, hydrogen peroxide dan alkyl ketene dimer.

Bahan lekatan yang digunakan pula kebiasaannya berasaskan co-polymer seperti vinyl acetate ethylene manakala bahan kimia daripada dakwat adalah seperti methylbenzene, ethylbenzene, xylene, chlorobenzene dan bromobenzene.

Kesemua VOCs yang terdapat dalam sesebuah buku diaktifkan dengan tekanan wap yang tinggi hanya pada suhu bilik biasa seterusnya menghasilkan bau yang kita panggil “bau buku”.

Bau yang berlainan pada buku bergantung kepada VOC yang terkandung pada sesebuah buku itu dan juga suhu persekitaran buku itu ditempatkan.

Bagi buku lama pula, bau yang terhasil adalah lebih kepada degradasi bahan yang membentuk struktur kertas iaitu lignin dan cellulose.

Pengoksidaan lignin akan menyebabkan warna kertas bertukar menjadi kekuningan dan menghasilkan asid organik.

Asid organik itu pula membantu dalam mendegradasi rantaian cellulose menjadi VOCs yang mempunyai bau pelbagai seperti benzaldehyde dan furfural (bau kacang badam), vanillin (bau vanilla) dan ethyl benzene, toluene dan 2-ethyl hexanol (bau manis dan bunga).

Jenis kertas dan usia buku juga mempengaruhi jenis kompaun serta kepekatan yang dihasilkan. Semakin lama usia buku semakin banyak VOC yang terhasil, maka semakin kuat bau buku.

Kepekatan furfural yang dihasilkan oleh buku lama juga boleh menjadi pengukur usia sebenar buku.

Konklusinya, tiada bahan kimia tunggal yang menyebabkan bau buku terhasil. Sebaliknya, bau buku yang terhasil adalah daripada campuran kompleks VOCs yang dihasilkan oleh bahan kimia yang digunakan dalam pembuatan sesebuah buku itu serta degradasi bahan kimia secara beransur-ansur pada kertas.

Syarmila Ishak merupakan anak Kedah yang mahu rantau seluruh dunia dan minat membaca novel tentang kehidupan atau apa-apa sahaja bacaan yang memberi inspirasi.

Rujukan:

https://www.scienceabc.com/nature/why-do-books-smell-so-good.html

https://m.sinarharian.com.my/mobile-article?articleid=123339

(Kredit foto: cen.acs.org)

Share this Post: