Safron, nama yang tidak asing lagi dalam dunia herba.
Herba bukan sebarang herba. Safron adalah satu-satunya herba yang digelar ‘Emas padang pasir’ (Gold of the dessert). Bukan satu gelaran tetapi juga diberi beberapa gelaran lain seperti 'Spice King', 'Spice Queen', 'Vegetable Gold' dan 'Flower of Love' dalam bahasa Inggeris.
Nama safron dalam bahasa Melayu pula adalah koma-koma dan kumkum.
Dalam bahasa Arab, safron dikenali sebagai Za’faran yang bermaksud kuning. Ini adalah kerana sebahagian daripada sebatang safron itu sendiri adalah berwarna kuning.
Safron adalah herba atau rempah yang mempunyai aroma yang kuat dan berwarna kuning terang hingga kemerah-merahan.
Dengan aroma yang harum dan warnanya yang menarik, emas padang pasir ini sudah tidak asing lagi dalam masakan timur tengah terutamanya bagi masakan nasi Arab. Baik digunakan sebagai perasa makanan mahupun sebagai pewarna semula jadi makanan.
Pertama sekali, mari kenali safron dengan lebih terperinci.
Safron berasal daripada bunga Crocus Sativus, sejenis bunga dalam keluarga bunga Lily. Daripada sekuntum bunga, hanya terdapat tiga batang stigma. Stigma inilah yang dipanggil safron dan sebatang pokok hanya menghasilkan tiga hingga empat kuntum bunga sahaja. Ini bermakna sebatang pokok hanya menghasilkan 9 hingga 12 batang safron sahaja.
Herba safron dikatakan berasal dari timur tengah. Tumbuhan ini lebih sesuai ditanam di negara-negara beriklim Mediterranean.
Hari ini, safron banyak ditanam di negara-negara beriklim Mediterranean seperti Sepanyol, Greece, Maghribi, Itali, Iran, Turki serta negara-negara Asia seperti India, Pakistan, Korea Selatan dan China.
Menyedari permintaan yang begitu tinggi bagi herba ini, negara-negara lain seperti Australia dan Amerika Syarikat juga sudah mula menanam tumbuhan ini. Negara Iran merupakan pengeluar safron terbesar di dunia diikuti oleh negara India, Greece, Sepanyol, Maghribi, Itali dan Turki.
Kenapa safron digelar ‘Emas Padang Pasir’? Adakah harganya setanding emas?
Ketahuilah, safron tergolong dalam bahan yang paling mahal di dunia.
Harga untuk satu gram safron di Malaysia adalah sekitar RM50 ke RM70. Harga tersebut hanyalah untuk safron bergred sederhana. Bagi gred yang lebih tinggi, harga segram safron boleh mencecah hingga ke ratusan ringgit manakala sekilo safron pula boleh mencecah sehingga RM1,700 ke RM40,000.
Dianggarkan secara purata, berat stigma yang baru dipetik daripada sekuntum bunga Crocus Sativus adalah 0.03 gram manakala berat keringnya pula sekitar 0.007 gram bagi sekuntum bunga.
Jadi, bagi mendapatkan satu kilo safron, sebanyak 70,000 ke 200,000 kuntum bunga diperlukan.
Seperti yang telah dinyatakan di atas, sebatang pokok hanya menghasilkan tiga ke empat kuntum bunga sahaja. Bolehkan anda mengira berapakah batang pokok yang perlu ditanam bagi mendapatkan hanya sekilo safron?
Kira-kira 23,000 ke 50,000 batang pokok yang perlu ditanam!
Jumlah yang besar ini sudah tentu memerlukan tanah yang sangat luas untuk digunakan bagi tujuan penanamannya. Itu baru dari segi kuantiti, belum masuk kualiti pokok hingga ke helaian safron lagi.
Tumbuhan yang menghasilkan safron ini bersifat triploid, iaitu tumbuhan ini tidak tumbuh secara liar dan tidak dapat membiak dengan sendirinya. Tumbuhan ini juga hanya berbunga setahun sekali sahaja iaitu biasanya pada musim luruh antara Oktober hingga November.
Setiap helai safron dipetik dengan menggunakan tangan tanpa bantuan sebarang mesin. Dan setiap helaian safron yang dipetik pula akan melalui proses-proses pemanasan dan pengeringan tertentu. Proses ini agak rumit dalam menghasilkan safron yang berkualiti baik serta tahan lama.
Selain itu, suhu dan penjagaan pokok ini juga memainkan peranan dalam menghasilkan kualiti safron yang baik.
Gred safron yang paling rendah merangkumi sehelai safron yang dipetik penuh daripada kuntuman bunga, iaitu bahagian berwarna kuning dan bahagian berwarna merah.
Gred safron yang berkualiti tinggi pula, bahagian yang berwarna kuning perlu dibuang hanya tinggalkan bahagian yang berwarna merah tulen sahaja.
Safron sudah terkenal dengan manfaat yang besar kepada kesihatan manusia.
Satu helaian safron mengandungi karotenoid, α-crocetin dan glikosida crocin (yang memberi warna kuning Safron) dan picrocrocin, aglyconesafranal (bertanggungjawab untuk aroma safron).
Safron juga memiliki nilai antioksidan yang sangat tinggi.
Antara faedah kesihatan safron yang terkenal termasuklah sebagai penawar kepada kemurungan, anxiety, memulihkan mood, sindrom prahaid (PMS), mengurangkan simptom Alzheimer dan banyak lagi.
Dengan semua fakta yang dinyatakan ini, adakah anda rasa safron sememangnya menjadi pemegang gelaran emas padang pasir?
Nah, tidak hairanlah nasi Arab Cef Ammar yang tular baru-baru ini dikatakan mahal kerana telurnya disalut dengan safron!
Syarmila Ishak merupakan anak Kedah yang mahu merantau seluruh dunia dan minat membaca novel tentang kehidupan atau apa-apa sahaja bacaan yang memberi inspirasi.
Rujukan:
http://sperimentazione.altervista.org
https://www.britannica.com/story/why-is-saffron-so-expensive
https://www.webmd.com/vitamins/ai/ingredientmono-844/saffron
Kredit foto: britannica.com
Waadat, Daulat, dan Keramat Rakyat
Di dalam konsep monarki Melayu, Raja itu pemegang dan pewaris Kedaulatan. Raja akan mangkat tetapi tidak bagi Daulat. ‘The Sovereign never dies’.