Mesti ramai yang dengar pembentangan Bajet 2021 baru-baru ini bukan? Ada beberapa perkara yang berkaitan dengan bajet tersebut antaranya adalah bantuan one off kepada mereka yang berkelayakan. Majoritinya dari golongan B40 dan M40, mengikut pendapatan isi rumah masing-masing.
Mungkin pemberian tersebut tidaklah begitu besar dan banyak tetapi jangan fikir isu ini kecil. Biasanya, dalam keadaan sebegini, bukan asing untuk terjadi dalam masyarakat di mana timbul pula masalah melibatkan golongan bapa yang menjadi penerima duit bantuan tersebut namun tidak langsung memberinya kepada isteri dan anak-anak.
Lebih menambah masalah apabila ada isu yang sama timbul antara suami dan isteri yang telah bercerai. Tidak lagi duduk sebumbung, tetapi duit bantuan terus masuk ke dalam akaun si bapa seperti sebelumnya. Selepas bercerai, kesemua 5 orang anak tinggal bersama si ibu.
Sedangkan, nafkah bulanan anak-anak ini pun kadang-kadang culas dan tak cukup, boleh pula si bapa ini kahwin lain. Bila dapat sahaja duit bantuan kerajaan, si bapa ni terus beranggapan “Eh, ni duit aku, kenapa pula nak bagi kat orang lain,”. Tidak kurang ada juga yang fikir “belanja aku pun tak cukup juga, nanti kalau bagi, bekas isteri aku guna untuk joli,”.
Ingat tuan, nafkah anak-anak ini bukanlah satu benda yang boleh dibuat main-main. Hukum memberi nafkah kepada isteri adalah wajib ke atas seorang suami dan bapa. Antara dalilnya adalah firman Allah SWT yang bermaksud: “Dan (men-jadi kewajipan) ke atas seorang bapa itu (untuk menyediakan) rezeki untuk mereka (ibu-ibu) dan juga pakaian mereka dengan cara yang makruf. (Surah al-Baqarah, ayat 233).
Dalam zaman serba meleset ini, menjadi tanggungjawab buat seorang bapa, baik yang masih bersama atau tidak, untuk memastikan duit bantuan kerajaan itu disalurkan kepada anak dan isteri dahulu seperti sepatutnya. Buat yang bercerai, kalau tak mahu beri kepada bekas isteri, masukkan terus ke dalam akaun anak-anak. Mereka adalah golongan yang paling memerlukan duit bantuan tersebut sekarang.
Sebagai seorang bapa, rezeki yang kita terima melalui bantuan tunai kerajaan itu, perlu diingati, adalah rezeki orang lain – iaitu anak dan isteri kita. Jika nafkah anak tidak culas sekalipun, duit bantuan itu perlu disedekahkan sebahagian besar kepada isteri dan anak-anak, bukan untuk dihabiskan seorang diri.
Sememangnya, sebaik-baik sedekah itu sendiri adalah sedekah kepada ahli keluarga. Dengan banyak bersedekah kepada ahli keluarga sendiri, Insya allah, Allah akan keluarkan diri kita juga daripada kesusahan.
Utamakan dahulu nafkah dan sedekahkanlah rezeki kita buat anak dan isteri. Rezeki kita adalah rezeki mereka.
Fahmi Ramli adalah seorang peguam Syarie yang bertapak di Kedah, Pulau Pinang, Perlis dan Perak. Seorang yang aktif dalam penulisan berkaitan perundangan Syariah dan merupakan Timbalan Setiausaha PGSM Kedah. Penulisannya ditanda dengan tanda pagar #syarieavengers
Foto carian internet
Waadat, Daulat, dan Keramat Rakyat
Di dalam konsep monarki Melayu, Raja itu pemegang dan pewaris Kedaulatan. Raja akan mangkat tetapi tidak bagi Daulat. ‘The Sovereign never dies’.