REVIU FILEM HUJUNG MINGGU: Red Dot

REVIU FILEM HUJUNG MINGGU: Red Dot

Filem ini merupakan salah satu filem di mana jalan ceritanya sedikit unik dan sukar untuk dijangka. Red Dot merupakan filem dari Sweden dan ditayangkan di Netflix pada tahun Februari 2021. Pelakon utama filem ini iaitu Anastasios Soulis dan Nanna Blondell berjaya membawa watak mereka dengan melalui bahasa tubuh dan ekspresi wajah yang sangat meyakinkan, sesuai dengan situasi yang mereka lakonkan. 

Filem ini hampir 90% berlatarbelakangkan pemandangan musim salji dan penggambaran telah dijalankan di Sweden dan Norway. Bukan mudah untuk berlakon dalam persekitaran yang sejuk dan penuh dengan salji, makanya tabik buat seluruh pelakon dan krew penggambaran filem ini. 

Jalan cerita Red Dot bukanlah seperti filem yang lazim kita tonton di televisyen. Jalan ceritanya penuh dengan babak cemas, terutama bermula dari minit ke 25. Pada awalnya penonton akan seolah-olah dapat mengagak the real culprit behind all the suspense, namun di akhir penceritaan barulah misteri sebenar terungkai. 

Pada awal penceritaan, penonton telah disajikan dengan beberapa babak yang mana boleh memberi konklusi terhadap semua masalah dan musibah yang dihadapi oleh pasangan suami isteri, Nadja dan David dalam filem ini. Malahan saya juga hampir tertipu. Ternyata hakikat sebenar adalah sebaliknya. 

Filem ini memberi pengajaran kepada penonton untuk sentiasa bersikap benar dan jujur. Melalui jalan cerita dari filem ini, semua dugaan yang menimpa pasangan suami isteri ini adalah disebabkan atas sikap mereka yang tidak bertanggungjawab terutama apabila cuba melarikan diri dari kesalahan yang dilakukan mereka. Sekiranya mereka jujur dan menanggung hukuman atas kesalahan mereka, pasti mereka tidak perlu menempuh pengalaman yang mengerikan ini.  

Semua filem yang berkonsepkan dendam pasti mempunyai sejarah yang sangat emosional. Dan acapkali puncanya adalah kerana kehilangan orang tersayang ataupun kehilangan sesuatu yang berharga yang bersifat materialistik. Dan konsep dendam dari filem Red Dot ini berpunca daripada akibat kehilangan orang yang tersayang. 

Red Dot juga seolah-olah memberi satu bayangan kepada penonton supaya tidak mudah untuk membuat konklusi. Dalam erti kata lain, jangan menilai sesuatu dari permukaan, atau "dont judge a book by it's cover.". Di dalam filem ini, terbukti Nadja dan David telah silap membuat percaturan sehingga mencederakan individu yang cuba membantu mereka. Hal ini kerana mereka mempunyai tanggapan negatif terhadap individu terbabit, hanya kerana beberapa insiden yang berlaku di antara mereka. 

Bagi peminat kepada hard and fast survival thriller, mereka pasti akan menyukai filem ini. Selepas dari minit ke-30, filem ini akan terus memaparkan pergelutan dan susah payah pasangan suami isteri ini dalam menyelamatkannya nyawa mereka. Dua watak utama tersebut, Nadja dan David akan kelihatan sangat terdesak untuk terus bernyawa. 

Bermacam jenis ancaman yang mereka terpaksa tempuhi namun mereka tetap kental untuk terus kekal hidup. Nadja digambarkan sebagai watak yang agak positif di dalam filem ini, barangkali juga kerana David sudah berada at his lowest point akibat kecederaan yang dialaminya. Maka Nadja tidak mempunyai pilihan lain melainkan menggalas tanggungjawab penuh untuk membawa mereka keluar dari masalah. 

Red Dot bukan hanya menggambarkan tentang kisah survival dan revenge semata-mata. Ia juga mengetengahkan bahawa dalam mana-mana hubungan, masa dan komunikasi amat penting. Nadja pada awalnya hampir berputus asa dengan hubungannya bersama David, namun setelah usaha David dalam memujuk dan mengaturkan camping trip bagi meluangkan masa bersama, maka hubungan tersebut kembali jernih. 

Dan Red Dot bukanlah cerita dengan pengakhiran yang klise. Ia memang berkonsepkan dendam, namun pelaku kepada semua musibah ini bukan seperti yang penonton jangkakan. Ramai yang tertipu dengan permulaan jalan cerita dengan menganggap individu yang salah sebagai the real culprit. 

Penutup cerita Red Dot ini memang agak menyedihkan dan mungkin kita juga dapat mengangak apa langkah seterusnya yang akan dilakukan watak utama tersebut untuk memadamkan kesakitan atas kehilangan orang yang disayanginya. Namun antara mereka berdua, siapa yang akan terselamat dan siapa yang akan terkorban? Dan adakah dendam ini terbalas dengan kematian salah seorang daripada mereka? Saya tinggalkan dengan salah satu petikan, “Don't take revenge, but let the karma strike them. Because if you get revenge, karma will strike you back”. 

Hazlina Halik adalah seorang ambivert yang mempunyai lulusan Ijazah Sarjana dalam Pengurusan Perniagaan dan kini bekerja dalam industri pembuatan.

Foto: Netflix

Share this Post: