REVIU FILEM HUJUNG MINGGU: Mimi

REVIU FILEM HUJUNG MINGGU: Mimi

Mimi merupakan sebuah filem Hindi yang ditayangkan di Netflix pada akhir bulan Julai, 2021. Filem ini mendapat sambutan yang agak menggalakkan atas dasar sentimen keibuan yang diterapkan di dalam cerita ini.

Mimi dilakonkan oleh pelakon handal Kriti Sanon bersama Pankaj Tripathi. Filem yang berdurasi selama 133 minit ini berjaya mendapat maklum balas yang sangat menggalakkan daripada para penonton. Malahan ramai yang mengaku filem ini berjaya membuatkan mereka menitiskan air mata kerana terdapat beberapa adegan yang memberi tekanan emosi kepada para penonton.

Mimi boleh dikatakan lain daripada filem yang lain kerana jalan cerita yang jarang sekali diangkat oleh industri perfileman. Mimi mengisahkan tentang perjalanan seorang perempuan yang bersetuju untuk menjadi seorang ibu "surrogate mother".

Surrogate mother dalam bahasa mudah lebih dikenali sebagai ibu tumpang. Ibu tumpang ini berfungsi dengan meminjamkan rahim mereka bagi membantu pasangan suami isteri yang tidak mampu memperolehi zuriat sendiri secara normal. Surrogate mother ini sangat terkenal di Amerika Syarikat dan juga negara-negara Eropah yang lain.

Filem ini menceritakan tentang kesanggupan Mimi untuk menjadi seorang surrogate mother bagi pasangan suami isteri yang berasal dari Amerika. Dia bersetuju menerima tawaran itu adalah kerana wang tunai yang ditawarkan oleh pasangan suami isteri itu mampu membantu merealisasikan impiannya untuk menjadi seorang pelakon Bollywood.

Melalui filem ini, penonton sedikit sebanyak dapat melihat proses untuk seorang wanita yang bersetuju untuk menjadi seorang surrogate mother. Bahkan bukan mudah untuk mana-mana pasangan suami isteri untuk mencari seorang surrogate mother yang benar-benar sesuai untuk membawa benih mereka. Hal ini kerena mereka turut sama meneliti tentang tahap kesihatan serta cara hidup wanita tersebut.

Namun Mimi bukanlah filem pertama yang mengangkat tentang isu surrogate mother. Filem Bollywood yang bertajuk Chori Chori Chupke Chupke yang berjaya menjadi box office; juga menceritakan tentang pasangan suami isteri yang menggunakan khidmat surrogate mother untuk memperoleh zuriat mereka sendiri.

Namun filem Mimi mempunyai kelebihan tersendiri di mana ia menceritakan tentang sisi dua wanita yang ingin menjadi ibu dan juga terpaksa menjadi ibu. Mimi yang sebelum ini bermimpi untuk memasuki industri perfileman Bollywood terpaksa melupakan semua impiannya apabila terpaksa menjadi ibu kepada anak yang dilahirkannya namun bukan miliknya.

Filem ini banyak memainkan emosi para penonton di mana sehingga satu tahap, penonton akan mula merasa panas hati melihat bagaimana seseorang itu boleh menjadi sangat selfish. Dan filem Mimi juga berjaya membawa satu pengajaran yang hebat di mana tidak semua wanita boleh menjadi ibu yang sebenar.

Ibu adalah satu panggilan yang sangat besar dan dia merupakan satu-satunya wanita yang akan berperang dengan dunia untuk memastikan anak-anaknya sihat dan selamat. Seorang ibu tidak akan membuang anaknya hanya kerana mereka tidak sempurna. Oleh yang demikian, memang tepat untuk kita katakan bahawa tidak semua wanita boleh menjadi seorang ibu yang baik. Namun seorang ibu yang baik, adalah wanita yang terbaik.

Bagi penonton yang mempunyai anak kurang upaya, filem ini mungkin akan menyentuh sedikit perasaan mereka biarpun keseluruhan cerita ini tidak menceritakan tentang anak yang kurang upaya, namun cara cerita ini diolah dan dibawa, mungkin memberi satu emosi yang berbeza buat mereka. 

Filem Mimi juga membuka mata pada para penonton bahawa, untuk menjadi seorang ibu dan ayah tidak semestinya anak itu datang dari benih mereka. Mereka masih lagi boleh menjadi seorang ibu dan ayah dengan mengambil anak angkat dan membesarkan mereka dengan kasih sayang. Pengakhiran cerita ini memang memberi satu pengajaran yang bermakna buat para penonton dan ia juga membuktikan bahawa filem ini bukanlah sekadar untuk hiburan malahan memberi sesuatu untuk penonton berpikir dan jadikan pedoman.  

Last but not least, there is a quote saying “Parenthood has nothing to do with blood, but everything to do with love and care”.

Hazlina Halik adalah seorang ambivert yang mempunyai lulusan Ijazah Sarjana dalam Pengurusan Perniagaan dan kini bekerja dalam industri pembuatan.

Foto: Netflix

 

Share this Post: