REVIU FILEM HUJUNG MINGGU: Mandela

REVIU FILEM HUJUNG MINGGU: Mandela

Kisah filem Mandela adalah tentang seorang pengundi dan pendekatan yang diambil terhadap mengundi.

Filem ini menyentuh hidup seorang tukang gunting rambut, Mandela, yang dipandang hina oleh seisi kampung. Hidup beliau papa kedana, menetap di bawah pokok besar kerana tidak mempunyai rumah sendiri.

Satu pilihan raya akan diadakan di kampung Mandela untuk melantik seorang ketua kampung. Terdapat dua kumpulan yang bersaing demi memenangkan ketua masing-masing. Setelah membuat perhitungan undi, mereka mendapati bahawa undi penentu dipegang oleh Mandela.

Hidup Mandela sekali gus mengalami perubahan besar dan mendadak. Jika sebelum ini orang kampung menggelar dengan pelbagai panggilan buruk, kini mereka menyapa dengan gelaran “Encik Mandela”. Keperluan makanan dan pakaian Mandela dipenuhi dengan rapi dan pantas. Mandela cukup seronok menerima segala sanjungan dan sogokan daripada dua kumpulan tersebut. Namun, teman-teman setia Mandela kurang selesa menyaksikan perubahan ini. Mereka berpesan supaya Mandela berhati-hati dan berfikir panjang, tetapi tidak diendah oleh si Mandela yang kian lupa diri dihanyut nikmat. 

Kerisauan teman beliau ternyata benar apabila kedua-dua kumpulan mula hilang sabar dan marah terhadap Mandela kerana masih belum memberi komitmen pihak mana untuk diundi. Mereka berasa diambil kesempatan oleh seorang manusia yang selama ini dipandang hina. Dalam masa yang singkat, segala sanjungan dan sogokan harta benda yang diberikan kepada Mandela, ditarik balik dan beliau menerima amaran dan ancaman. Kedudukan Mandela menjadi lebih teruk berbanding sebelum ini, kerana orang kampung yang lain kini menjauhinya kerana tidak ingin mengundang kemarahan dua kumpulan tersebut.

Apabila pilihan raya semakin mendekat, sebuah syarikat besar menawarkan bayaran yang lumayan kepada pemenang. Mandela kembali memiliki kelebihan kerana undinya yang menjadi penentu. 

Keadaan kali ini berbeza kerana Mandela sedar akan kebodohan pendekatan mengundi sebelum ini yang menumpukan sepenuh perhatian terhadap dirinya sendiri dan tidak menguntungkan kepentingan orang kampung secara keseluruhan. Beliau sedar bahawa golongan yang berkuasa merupakan sebab utama penduduk kampung hidup daif dan miskin. Kemiskinan ini memaksa mereka untuk terus bergantung pada golongan berkuasa demi memenuhi keperluan harian. Sebagai pertukaran, orang kampung wajib tunduk dan setia kepada ketua masing-masing.

Setelah Mandela menyedari realiti ini, beliau telah berjumpa dengan kedua-dua ketua kumpulan untuk mengemukakan syarat-syarat bagi mendapatkan undinya. Pihak A diminta membina sebuah tandas awam, manakala Pihak B diminta menyalurkan bekalan air yang bersih untuk seisi kampung. Mandela mengulangi rundingan ini sehingga keadaan kampungnya semakin bertambah baik.

Penduduk kampung mula melihat sendiri perubahan yang berlaku di kampung mereka. Perubahan ini mengurangkan kebergantungan mereka kepada golongan berkuasa, dan ini mengubah cara berfikir penduduk kampung. Ketika keputusan pilihan raya diumumkan dan pihak yang kalah ingin membalas dendam terhadap Mandela, seisi kampung bangkit menjadi benteng perlindungan untuknya.

Antara pengajaran yang hebat dalam filem ini, bukanlah sekadar mengulangi klise kekuatan undi rakyat yang mampu melantik atau menumbangkan sebuah kerajaan, tetapi menunjukkan bagaimana kuasa undi tersebut wajar digunakan untuk menentang kuasa golongan elit politik. Pilihan raya datang bersilih-ganti, tetapi cara pengundi berfikir mampu menentukan samada kepentingan kampung halaman diberikan keutamaan berbanding kepentingan kelompok tertentu sahaja.

Filem ini memberikan kesan yang cukup kuat ke atas diri penulis kerana berkait rapat dengan budaya politik kita sendiri yang menjunjung idea bahawa seorang wakil rakyat yang bagus dan prihatin, adalah seorang yang turun ke kawasan mengagihkan pelbagai bantuan makanan dan sebagainya. Pandemik Covid-19 yang mengganas ini telah menjejaskan hidup ramai orang, dan sudah tentu wakil rakyat itu sendiri ingin turun membantu penduduk kawasan diwakilinya. 

Namun, sekiranya keadaan ini dibiarkan berterusan pasca-pandemik, maka demokrasi Malaysia tidak boleh dianggap lebih maju daripada demokrasi dalam filem Mandela. Selagi rakyat masih bergantung pada ehsan dan belas kasihan daripada golongan yang berkuasa, selagi itulah hidup rakyat Malaysia tidak jauh berbeza daripada penduduk kampung Mandela. Hal ini diutarakan oleh seorang teman Mandela, bahawa kita serba tahu bagaimana untuk menguntungkan diri kita sendiri melalui kertas undi yang dipegang, namun kita masih jahil dalam perihal mengundi supaya segenap masyarakat mendapat manfaat dan bebas daripada kebergantungan pada golongan elit yang berkuasa. 

Mandela boleh ditonton di Netflix Malaysia.

Daniel Teoh Tzu Yong adalah Setiausaha kepada salah seorang EXCO negeri Selangor. Lepasan Undang-undang dari Universiti of London ini berpengalaman dalam aktivisme hubungan antara kaum, pemerkasaan demokrasi dan pembangunan anak muda.

Foto: NETFLIX

Share this Post: