REVIU FILEM HUJUNG MINGGU: Human Nature

REVIU FILEM HUJUNG MINGGU: Human Nature

Menonton filem dokumentari Human Nature semalam. Bercampur-baur perasaan melihat teknologi hari ini begitu maju, sehingga wujudnya perbahasan adakah patut manusia mengambil alih peranan Tuhan.

Manusia jatuh sakit apabila bakteria dalam badan gagal menangkis serangan virus yang menggodam kod DNA bakteria. Kepincangan genetik ini diwarisi generasi akan datang yang mewarisi DNA generasi ibu bapa, lalu membawa kepada pelbagai penyakit warisan seperti sickle cell disease, keberangkalian tinggi mendapat leukemia, sakit jantung, dan sebagainya. Filem ini merakam usaha saintis biologi dan genetik dalam mencipta rawatan berdasarkan pengubahsuaian DNA. 

Kemajuan ilmu biologi telah membawa kepada pengenalpastian sesetengah kod genetik yang merupakan penyebab utama kepada pelbagai jenis penyakit dan kebolehan luar biasa. Ahli sains bertungkus-lumus menjalankan penyelidikan dan menulis kertas-kertas akademik, sehingga dijumpai kaedah bernama CRISPR yang didakwa mampu membawa perubahan yang jauh lebih besar pengaruhnya daripada revolusi internet. CRISPR mampu mengeluarkan kod genetik yang bermasalah lalu menggantikan kod yang sempurna sekali gus menyelesaikan masalah penyakit dan kelemahan genetik. 

Dengan kuasa sains yang baru ini, pelbagai pihak mula menunjukkan minat terhadap. Ketika ahli sains masih membahaskan potensi CRISPR, kuasawan, agamawan, hartawan dan jelitawan membayangkan masa depan yang dipengaruhi CRISPR. Mereka bercakap tentang kelahiran semula tokoh-tokoh sejarah, pengubahsuaian DNA khinzir (yang paling dekat dengan DNA manusia) bagi tujuan organ babi diternak dan dituai untuk kegunaan pesakit manusia, dan adakah suatu hari nanti CRISPR mampu memberikan ibu bapa kuasa untuk memilih acuan anak mereka sebelum dilahirkan.

Filem diteruskan dengan perbahasan etika: adakah CRISPR bermaksud manusia kini sudah mampu memegang tangan berkuasa Tuhan untuk mencipta, membetulkan, dan menentukan acuan makhluk hidup mengikut citarasa masing-masing? Adakah kuasawan dan hartawan akan menggunakan pengaruh dan sumber mereka untuk mengukuhkan cengkaman  ke atas masyarakat dan dunia? Apa hak generasi hari ini untuk memutuskan bentuk dan corak generasi akan datang tanpa persetujuan mereka?

Di sebalik usaha bertungkus-lumus untuk menjayakan CRISPR, saya melihat bagaimana manusia begitu khusyuk dalam menyahkan segala ketidaksempurnaan dalam setiap aspek hidup. Saya teringat pintaan Nietzsche:

"If you refuse to let your suffering lie upon you for even an hour, and if you constantly try to prevent and forestall all possible distress way ahead of time, if you experience suffering and displeasure as evil, hateful, worthy of annihilation and as a defect of existence, then it is clear you harbor in your heart the religion of comfortableness. How little you know of human happiness, you comfortable little people. For happiness and unhappiness are sisters, and even twins, that either grow up together or, as in your case, shall remain small together."

Ketidaksempurnaan DNA manusia pada hari ini yang melemahkan tubuh badan, sudah tentu mendatangkan banyak penderitaan kepada pesakit dan orang sekeliling. Namun kewujudannya juga memberi peluang kepada orang lain yang sihat sempurna badan dan akalnya untuk mempelajari nilai-nilai belas kasihan, kesayangan, penghormatan, empati, dan baik hati. Keadaan ini tidak banyak berbeza daripada situasi di mana seorang anak mengamati kesan usia tua atas ibu bapa dan mulai belajar untuk menerima dan memaafkan sesetengah kesilapan mereka, di samping memberikan ruang dan kasih sayang kepada mereka yang kian hari ditelan keuzuran. 

Saya berasa sedikit lega apabila seorang pesakit muda dalam filem, ketika menjawab samada beliau ingin diubati melalui kaedah pengubahsuaian DNA CRISPR ini, berkata beliau gembira sekiranya berjaya diubati, namun kelemahan badan beliau telah memberi peluang kepada beliau mengentalkan jiwa sehingga  sentiasa mengukir senyuman ceria di muka, dan membina sikap diri yang tenang dan positif dalam menghadapi cabaran hidup.

Filem diakhirkan dengan pengakuan bahawa pengaruh dan impak dari revolusi senyap ini masih tidak dapat dipastikan. Ahli sains terulung menyatakan pengharapan bahawa manusia tidak tergopoh-gapah dalam memeluk perubahan maha besar ini, kerana seperti perubahan besar yang lain, ianya tidak dapat ditarik balik dan manusia terpaksa hidup dengan kesannya. 

Filem Human Nature kini boleh ditonton di Netflix.

Daniel Teoh Tzu Yong adalah Setiausaha kepada salah seorang EXCO negeri Selangor. Lepasan Undang-undang dari Universiti of London ini berpengalaman dalam aktivisme hubungan antara kaum, pemerkasaan demokrasi dan pembangunan anak muda.

Foto: NETFLIX

Share this Post: