REVIU FILEM HUJUNG MINGGU: Below Zero

REVIU FILEM HUJUNG MINGGU: Below Zero

Below Zero merupakan sebuah filem aksi ringan yang diterbitkan pada tahun 2021. Filem ini asalnya dari Sepanyol, dan kini sedang ditayangkan di Netflix dengan durasi selama 1 jam 46 minit. Dalam bahasa Sepanyol, filem ini bertajuk Bajocero.

Below Zero merupakan sebuah filem yang berlatarkan kisah banduan yang sedang dibawa ke tempat penahanan lain atau dalam bahasa mudahnya prisoner transfer. Filem ini hanya berlatarkan sebuah bas polis dan 80% jalan ceritanya hanya mengambil tempat di dalam bas tersebut. Oleh yang demikian, jika ada penonton mengharapkan mereka boleh mencuci mata dengan sedikit babak yang memaparkan pemandangan bumi Sepanyol, maka bersedialah untuk merasa kecewa. 

Watak protagonis di dalam filem ini merupakan aktor kelahiran Sepanyol, Javier Gutiérrez yang merupakan wajah yang sangat familiar dengan filem-filem dari negara tersebut. Di dalam filem ini, Javier memegang watak sebagai Martin, seorang pegawai polis yang bersifat jujur dan tidak bersikap kasar dengan banduan. 

Ini berbeza dengan watak antagonisnya, seorang lagi pegawai polis lakonan Karra Elejalde yang dilihat seolah-olah seorang yang sering menyalahgunakan kuasanya dan mengasari banduan-banduan tersebut. Watak polis yang bersikap kasar dan menyalahgunakan kuasa mungkin merupakan imej yang terlalu common dalam mana-mana filem yang membabitkan kisah polis dan penjenayah, namun ia sebenarnya lebih dari itu. 

Walaupun sepanjang penceritaan filem ini, Martin digambarkan sebagai seorang pegawai polis yang sangat jujur, di minit ke 80, dia telah melakukan suatu perkara yang sangat terlarang sebagai seorang pegawai polis. Begitupun, mungkin dari perspektif penonton, mereka akan menyifatkan situasi tersebut sebagai suatu keperluan yang manusiawi.

Filem ini pada awalnya mungkin akan membuatkan penonton sedikit bosan, kerana gaya penyampaian ceritanya yang agak perlahan. Namun setelah minit ke 25, penonton mungkin tidak mahu meninggalkan tempat duduk mereka kerana filem mula menimbulkan rasa cemas.

Pada awalnya penonton akan mula bingung dengan motif antagonis dalam filem ini dan tertanya-tanya apa sebab sebenar dia ingin menawan bas polis tersebut. Namun semuanya akan terungkai pada minit-minit terakhir filem. Motif sebenar antagonis sebenarnya sangat berunsurkan emosi dan peribadi. 

Punca bas itu ditawan adalah kerana watak antagonis menginginkan maklumat dan jawapan dari salah seorang banduan di dalam bas tersebut. Banduan tersebut dikenali sebagai Nano, yang memilih untuk mementingkan diri dan mengakibatkan tiga banduan yang lain turut sama terkorban. 

Pada masa yang sama, Nano turut mencetuskan simpati dengan menceritakan tentang perkara yang tidak benar, hanya kerana ingin menunjukan bahawa dirinya teraniaya dan dan cuba menggambarkan watak antagonis sebagai seorang psychopath.

Filem ini turut menyelitkan sedikit babak yang bersifat emosi di mana seorang banduan lain yang bernama Rei mempunyai obsession terhadap sebentuk cincin. Cincin tersebut kelihatan seperti mempunyai nilai sentimental dan ternyata cincin tersebut merupakan milik adiknya yang telah dirogol. Maka dengan ini penonton dapat meneka dengan baik, mengapa Rei berada di penjara.

Di akhir penceritaan, penonton pasti akan merasa sebak dan sedih setelah mengetahui tentang punca sebenar watak antagonis menawan bas tersebut. Ini melibatkan tentang pengorbanan si ayah dalam mencari jawapan tentang kematian anak perempuannya. Dan mungkin ramai penonton akan merasakan bahawa watak antagonis itu bukanlah the real antagonist.

Jalan ceritanya mungkin kelihatan sangat klise kerana terdapat juga filem lain dengan jalan cerita yang lebih kurang sama iaitu unsur dendam dan inginkan jawapan, contohnya  Goodbye Butterfly lakonan Adam Donshik dan Jennifer Adams. 

Namun yang berbeza di dalam filem ini adalah, watak antagonis hanya ingin mengetahui keberadaan jasad anaknya sahaja. Tidak pasti jika motifnya juga adalah dendam dan ingin membunuh si pelaku iaitu Nano. 

Seperti biasa, pastilah terdapat beberapa perkara yang boleh membuatkan penonton merasa jalan ceritanya sedikit tidak logik. Pertama, mana mungkin jabatan polis tidak dapat mengesan sebuah bas polis yang membawa banduan telah ditawan? Mereka pastinya alert akan situasi ini apabila bas tersebut gagal tiba di lokasi pada waktu yang telah ditetapkan. 

Yang kedua, sepanjang perjalanan tiada kenderaan lain yang lalu lalang di jalan raya. Yang kelihatan hanyalah bas polis tersebut bersama sebuah lagi kereta yang dipandu oleh pegawai polis (merupakan partner kepada watak protagonis)  yang cuba menawan kembali bas tersebut. How is it even possible? 

Begitu pun, filem ini tidak tergantung dan akhirnya akan menjawab semua persoalan di akhir penceritaan, lantas menjadikan filem ini lebih jelas untuk difahami, dan lebih menarik untuk ditekuni. Happy watching!

Hazlina Halik adalah seorang ambivert yang mempunyai lulusan Ijazah Sarjana dalam Pengurusan Perniagaan dan kini bekerja dalam industri pembuatan.

Foto: Netflix

Share this Post: