REVIU FILEM HUJUNG MINGGU: Ada Apa Dengan Snyder Cut? [TIADA SPOILER]

REVIU FILEM HUJUNG MINGGU: Ada Apa Dengan Snyder Cut? [TIADA SPOILER]

Selepas bertahun lama menunggu, Zack Snyder’s Justice League akhirnya menemui peminat melalui beberapa saluran penstriman HBO. Di Malaysia dan rantau Asia, ia mula ditayangkan serentak melalui HBO Go. Filem yang berdurasi hampir empat jam ini mencipta fenomena sendiri. Laman web HBO dilaporkan tergendala seketika selepas diserbu terlalu ramai pelayar pada waktu yang sama. Ramai yang mengorbankan waktu kerja dan tidur masing-masing pada 18 Mac lalu untuk tidak terlepas peluang menontonnya. Jadi, ada apa dengan Snyder Cut ini sebenarnya?

Secara ringkasnya, tidak sukar untuk mengadili filem ini – ia hanya perlu dibandingkan sahaja dengan versi yang ditayangkan di pawagam pada 2017. Tidak sukar juga untuk semua bersetuju bahawa versi kali ini, yang merupakan versi asal seperti yang dikehendaki oleh pengarah Zack Snyder, adalah jauh lebih baik dan memuaskan. Empat jam mungkin adalah tempoh yang terlalu panjang buat sebuah filem Hollywood, namun ianya berbaloi. Sementara menonton dan menyukai filem ini tidak sukar, yang lebih rumit sebenarnya adalah untuk memahami apa yang sebenarnya berlaku, dan mengapa versi ini perlu wujud.

Kegagalan Justice League

2017, Justice League (JL) yang bukan sahaja kesinambungan kepada Batman v Superman (BvS), sebaliknya juga tonggak utama buat DC Extended Universe (DCEU) akhirnya menjengah pawagam. Selepas bertahun lama panggung wayang dan filem genre adiwira didominasi oleh Marvel Cinematic Universe (MCU), kemunculan JL amat dinanti-nantikan oleh terutama sekali peminat DC. Lebih dari sekadar jawapan kepada MCU, JL juga diharapkan dapat memberi keadilan buat DCEU yang teruk dihentam melalui Man of Steel (MoS), BvS, dan Suicide Squad (kecuali Wonder Woman arahan Patty Jenkins).

Namun sebelum dapat ditayangkan, JL sendiri berhadapan beberapa isu sepanjang pembikinannya. Selepas pelbagai kritikan terhadap Mos dan BvS yang dianggap sebagai terlalu berat dan gelap, Warner Bros. telah membuat ketetapan baharu kepada Zack Snyder dan juga David Ayer yang ketika itu baru selesai menghasilkan Suicide Squad – jalan cerita yang berat dan mood gelap DCEU perlu diubah ke bentuk yang lebih ringan dan humor untuk menyaingi MCU.

Ketetapan ini tidak disenangi kedua-dua pengarah tersebut. Hasil intervensi tersebut, Suicide Squad menjalani penggambaran semula – dan suntingan dilakukan sehingga mengubah banyak aspek filem, termasuklah pemotongan banyak babak terutama melibatkan Joker (Jared Leto) dan pertukaran watak antagonis utama. Hasilnya, Suicide Squad menjadi filem DCEU paling memalukan dari segi penerimaan penonton dan pengkritik. David Ayer sendiri terpaksa meninggalkan Suicide Squad dengan akhirnya sekarang digantikan oleh James Gunn.

Justice League pula berhadapan cabaran lebih besar. Di tengah-tengah pembikinannya, Zack Snyder terpaksa meninggalkan produksi selepas tragedi yang menimpa anak perempuannya, Autumn. Snyder digantikan dengan bekas pengarah Avengers – Joss Whedon.

Joss Whedon dibawa masuk bukan hanya untuk menyempurkan pembikinan JL yang dikatakan tergendala, sebaliknya juga untuk mengubah mood keseluruhan filem tersebut, dari tema berat dan gelap seperti yang dikehendaki Snyder kepada lebih ringan dan penuh humor. Seperti yang ramai tahu, Justice League arahan Joss Whedon (yang masih dikreditkan kepada Zack Snyder sebagai pengarah) turut menerima tamparan hebat.

DCEU: Retak Menanti Belah

Dalam masa yang sama, DCEU yang menanggung kegagalan versi teatrikal Justice League mulai mengalami lebih banyak masalah dan perubahan struktural. Sedikit demi sedikit, filem-filem yang berkait dengan DCEU mengalami perubahan dari segi material dan mood.

Shazam dan Aquaman misalnya – walaupun berjaya meraih kutipan tiket yang baik selain mendapat respon positif dari peminat dan pengkritik, mula dilihat menjauhi susur jalan yang telah dimulakan oleh Snyder.

Begitu juga dengan filem tunggal Batman yang sepatutnya diarah dan dibintangi oleh Ben Affleck – turut dibatalkan dan diganti dengan versi baharu yang tidak lagi terkait dengan DCEU atau SnyderVerse, The Batman arahan Mat Reeves (dengan dibintangi Robert Pattinson).

Selain Ben Affleck yang meninggalkan DCEU, Henry Cavill turut dilaporkan menggantung sut Supermannya, dan membayangkan watak tersebut tidak akan dihidupkan semula dalam masa terdekat – kemungkinan hingga tamat kontraknya. Tambah merunsingkan adalah filem tunggal The Flash juga tidak dapat dimuktamadkan selepas bebeberapa kali melalui pertukaran pengarah dan skrip.

Masa depan DCEU hanya semakin gelap apabila Wonder Woman 1984 jelas tidak lagi digarap mengikut acuan dan susur masa yang padan dengan DCEU. Begitu juga dengan filem antihero Suicide Squad. Suicide Squad biarpun gagal namun dilihat masih popular dan berpotensi untuk dihidupkan semula. Dengan demikian sahaja, Suicide Squad turut mengambil jalan sendiri dengan terbitnya Birds of Prey dan tidak lama lagi, The Suicide Squad yang turut dibayangkan tidak lagi berkait dengan DCEU yang dimulakan oleh Snyder.

Bermulanya #ReleaseTheSnyderCut

Berbanding Marvel, DC terkenal dengan fan base yang lebih tegar dan setia. Kegagalan Justice League tidak dibiarkan begitu sahaja. Tidak lama selepas terbitnya JL, Zack Snyder yang lama menyepi tampil di laman media sosial tunggalnya Vero dengan beberapa kiriman foto dari produksi asal JL.

Dari kiriman dan interaksi bersama Zack Snyder, sebilangan besar peminat mula mengesyaki bahawa ada sesuatu yang tidak kena dengan penghasilan JL. Beberapa pihak dari studio Warner juga mula membocorkan maklumat yang lama disimpan – bahawa Snyder sebenarnya sudah pun menyelesaikan penggambaran penuh Justice League – hanya menunggu untuk disiapkan dalam pasca produksi. Penggambaran tambahan yang dilakukan oleh Whedon bukanlah untuk menyempurnakan sebuah filem yang tidak siap, sebaliknya adalah reshoot yang bertujuan mengubah jalan cerita dan wataknya secara total.

Antara yang terawal tampil untuk mengesahkan andaian ini adalah penggiat filem dan peminat tegar komik DC, Kevin Smith. Smith turut mendakwa bahawa beliau pernah melihat footage asal Justice League yang telah disiapkan oleh Snyder. Melalui media sosial dan siaran podcast-nya, Kevin Smith terus menerus mengajak peminat untuk mendesak Warner mendedahkan yang kini dikenali sebagai Snyder Cut.

Bertitik tolak dari itu, tanda pagar #ReleseTheSnyderCut mula digerakkan oleh ribuan peminat di media sosial. Tidak sekadar berlegar di media sosial, kempen ini turut digerakkan melalui papan tanda fizikal, aksi flashmob, program bual bicara, dan petisyen kepada Warner Bros. Warner Bros. bagaimana pun terus menerus menafikan kewujudan Snyder Cut ini, dengan menggambarkannya sebagai kisah dongeng. Jika pun wujud, Snyder Cut dianggap sebagai hanya potongan-potongan filem yang tidak boleh dipertontonkan kerana ia tidak pernah disiapkan – unwatchable.

Impian Menjadi Nyata

Ramai skeptik menganggap kempen tersebut akan mati ditelan masa – namun #ReleaseTheSnyderCut hanya bertambah kuat dan makin berpengaruh. Ia menjadi kempen yang bersungguh-sungguh digerakkan selama bertahun lama tanpa henti.

Zack Snyder dan barisan pelakon asal JL termasuk Ray Fisher (Cyborg), Henry Cavill (Superman), Gal Gadot (Wonder Woman), Ezra Miller (Flash), Jason Momoa (Aquaman) dan Ben Affleck (Batman) sendiri turut bersama-sama membuat kiriman di media sosial masing-masing menggunakan tanda pagar yang sama, mencetuskan lebih banyak polemik lagi.

Mei 2020, impian peminat untuk melihat Snyder Cut akhirnya tercapai. Di tengah pandemik Covid-19, Snyder yang semakin selesa berbicara tentang Justice League akhirnya membuat pengumuman menggemparkan bersama Henry Cavill dalam salah satu watch party yang dianjurkan beliau buat peminat. Di akhir tayangan filem BvS, pada penghujung sesi soal jawab, Zack Snyder mendedahkan sebuah teaser poster yang telah lama dinantikan peminat – Zack Snyder’s Justice League. Pengumuman tersebut memecahkan ruang internet dan media sosial. Hampir setiap hari sejak itu, laporan demi laporan tentang Snyder Cut menghiasi laporan berita dan media sosial.

Menjelang beberapa minggu sebelum tayangan perdana Zack Snyder’s Justice League (ZSJL) – nama rasmi buat Snyder Cut, lebih banyak kisah dalam kelambu perjalanan Justice League didedahkan, antaranya dalam temubual panjang majalah Vanity Fair bersama Zack dan isterinya Deborah Snyder. Antara lainnya adalah punca sebenar Snyder meninggalkan JL yang dikatakan bukan semata-mata kerana tragedi yang menimpa keluarganya, sebaliknya juga atas tekanan studio yang mengganggu proses kreatif penghasilan JL.

Dalam temu bual Vanity Fair juga, Zack Snyder mendedahkan yang beliau tidak menerima sebarang bayaran untuk menyiapkan ZSJL, selain daripada turut tidak dibenarkan membuat rakaman baharu (yang mana tetap beliau lakukan untuk merakam babak tambahan Batman bersama Joker). Bajet USD 70 juta yang dibenarkan oleh studio adalah semata-mata untuk menyiapkan filem tersebut menggunakan footage yang sudah sedia wujud.

Antara pendedahan lain yang lebih menarik perhatian adalah sebab utama Zack Snyder tidak pernah menonton versi teatrikal Justice League yang dihasilkan Whedon; dan ia bukan atas keengganan diri sendiri. Punca sebenar kepada hal ini adalah Snyder dihalang daripada menontonnya oleh Deborah dan salah seorang penerbit dan pengarah terkenal, Christopher Nolan. Deborah dan Nolan yang hadir ke tayangan awal Justice League pada 2017 nekad untuk tidak membebankan Snyder yang dikhuatiri bakal amat kecewa jika mengetahui apa yang telah dilakukan Whedon terhadap Justice League.

Menjelang kemunculan ZSJL, barisan pelakonnya juga tidak lagi menyembunyikan kekecewaan mereka terhadap Whedon. Begitu juga dengan kontroversi tuduhan terhadap salah guna kuasa dan gangguan oleh Whedon terhadap krew dan pelakon JL, yang paling lantang didedahkan oleh Ray Fisher. Ray Fisher turut mengumumkan penarikan dirinya daripada kerjasama dengan studio Warner Bros. di masa hadapan, namun akan setia menyokong Zack Snyder.

Zack Snyder’s Justice League

Selepas melalui kesemua ini, Snyder Cut akhirnya berjaya dipertontonkan. Zack Snyder diberi 100% autonomi untuk menentukan bentuk akhir filem tersebut, sebagai pertukaran kepada bayaran sifar yang diterimanya. Dan ternyata, ianya berbaloi.

Apa beza antara Justice League 2017 dengan Snyder Cut? Siang dan malam.

Secara ringkasnya, ia masih adalah filem yang sama namun berbeza. Plot dan cerita latarnya masih hampir sama, namun ZSJL telah mengembalikan semula tema berat dan gelap, selain motivasi, tema asal, dan perkembangan watak yang jauh lebih baik. Tiada lagi unsur-unsur komedi tanpa hujung pangkal dan keanak-anakan ala Whedon, sebaliknya adalah humor yang bijak dan tidak mengerikan.

Begitu juga dengan perkembangan watak. Sebagai perbandingan, Snyder dalam banyak temubual dan kiriman media sosial sering mengangkat Cyborg sebagai “the heart of my film” – membayangkan Cyborg sebagai watak penting dalam JL. Bagaimanapun, melalui JL (2017), kita ketahui kalau Cyborg hanyalah watak yang masih keliru dan marah-marah, selain selalu hilang kawalan dan hampir-hampir hanya berfungsi seperti komputer sumber maklumat buat Justice League dalam menjalankan misi mereka menentang Steppenwolf (Ciaran Hind). Ini tidak kena dengan apa yang dibayangkan oleh Snyder dan Ray Fisher selama ini. Melalui ZSJL, kita akhirnya dapat melihat betapa Cyborg adalah watak paling penting dalam filem ini – dan kesemua plot hole yang muncul pada 2017 dahulu akhirnya terjawab.

Keadilan sebenar juga akhirnya dipulangkan kepada Barry Allen atau Flash. Flash dalam 2017 tidak lain hanyalah watak adiwira yang wujud sebagai comedic relief, dan tidak memainkan peranan penting melainkan hanya bergerak pada kelajuan super sambil menolak musuh ke tepi (selain ditugaskan menyelamatkan sebuah keluarga Russia yang entah kenapa hidup di kawasan beradiasi tinggi).

Flash seolah tidak mempunyai keupayaan untuk bertarung, tidak memahami potensi dirinya, selain dilihat sebagai masih takut-takut untuk mengikut pertarungan. Respon segera “I need friends” saat dijemput Bruce Wayne menyertai Justice League hanya semata-mata kerana beliau benar-benar tidak mempunyai kawan jika menurut versi Whedon. Ini terpesong sama sekali.

Barry Allen yang dilahirkan oleh Snyder adalah seorang yang telah lama memahami kuasa yang dimilikinya sendiri, selain adalah seorang genius fizik dan berani untuk keluar dari zon selesanya. Beliau sama sekali tidak gentar berhadapan Parademons mahupun Steppenwolf. Malah, tanpa Barry Allen, Justice League tidak mampu menumbangkan Steppenwolf dan menyekat kemaraan Darkseid.

Seperti Cyborg, Barry Allen adalah watak yang amat penting buat Justice League. Jika diamati, ternyata babak-babak yang dirakam semula oleh Whedon adalah untuk menggantikan peranan Barry Allen versi Snyder. Maka dalam versi Snyder ini, “I need friends” adalah tanda Barry Allen sedar tanggungjawab dirinya untuk bersama dengan kelompok adiwira lain agar kuasa yang dimilikinya dapat lebih dimanfaatkan.

Sayang sekali, filem ini ketika dipersetujui untuk dihidupkan semula oleh Warner Bros. turut telah ditetapkan sebagai sebuah filem dari Elseworld – bukan canon buat DCEU. Maka mahu tidak mahu, Zack Snyder terpaksa menambah beberapa babak tambahan untuk merumuskan filem ini. Biar demikian, Zack Snyder tidak juga menamatkannya sebegitu sahaja, sebaliknya dengan menggantung kisahnya dengan cliffhanger yang jauh lebih besar dari 2017. Dalam erti kata lain, epilog buat filem ini yang seharusnya (seperti diminta oleh studio) meletakkan titik noktah buat Snyder Cut, hanya menimbulkan dan menarik lebih banyak minat dalam kalangan penonton.

Apa sekali pun, menonton ZSJL akan membuahkan rasa puas dan mengubati luka lama peminat DC selama ini. Ia pasti akan terus dikritik – dan memang umum mengetahui filem-filem Zack Snyder (kecuali filem genre zombienya) sentiasa akan menimbulkan perdebatan (misalnya Watchmen yang masih terus menimbulkan kontroversi), namun sekurang-kurang tiada siapa lagi yang boleh mengatakan bahawa Snyder Cut hanyalah kisah dongeng yang hanya dipercayai peminat yang tidak mampu move on dari kegagalan Justice League 2017.

Dengan berakhirnya penantian lama Snyder Cut ini – selain menarik nafas lega melihat keadilan dipulangkan kepada DCEU, peminat kini percaya bahawa tiada apa lagi yang mustahil. Saat tulisan ini dikarang, Zack Snyder’s Justice League masih belum habis ditonton oleh ribuan jika tidak jutaan pelayar, namun peminat sudah pun memulakan gerakan baharu - #RestoreTheSnyderVerse. - ALTERNATIF

Foto: HBO / Warner Bros.

Share this Post: