Prolog
Dalam arena politik negara, tempikan slogan “re-for-ma-si!” menjadi salah satu daripada kumandang kata semboyan tersohor selain kalimat “hidup Melayu!”, takbir! dan lain-lain lagi.
Namun pernahkah kita tertanya atau memahami apa maksud reformasi? Apa yang diperjuangkan reformasi? Selain itu, meniti hampir suku abad sejak kalimat keramat ini mula dilaungkan sebagai slogan perjuangan politik di Malaysia – apakah ia masih kekal relevan?
Yang paling penting sebenarnya, apakah pentingnya reformasi ini buat periuk nasi rakyat? Apakah reformasi ini dapat menurunkan harga ayam?
Sebelum wacana ini melangkau jauh, ingin saya tegaskan bahawa bicara tentang reformasi ini akan cuba untuk kekal laras nadanya dalam garis politik umum dan sedaya upaya untuk tidak mengheret kita semua ke dalam kancah politik kepartian.
Laporan akhbar Berita Harian Online 17 Jun 2022 ada menyentuh bahawa parti politik tertentu “perlu keluar dari kepompong reformasi asal”. Maka di sini kita tertanya, apakah wujud ‘kepompong asal’ (lama) dan ‘kepompong baru’ dalam perjuangan reformasi? Apakah ‘kepompong asal’ reformasi itu sendiri perlu direformasi?
Harus juga untuk kita fahami bahawa reformasi dan reformisme ini juga mempunyai tafsiran-tafsiran yang berbeza mengikut ideologi politik. Reformasi adalah berasal daripada istilah Inggeris iaitu reform.
Dalam gerakan sosialis, reformasi dimaknakan sebagai pembaharuan sistem dan institusi (berbeza dengan pemansuhan serta penggantian dalam fahaman sosialis revolusioner) secara beransur-ansur yang pada akhirnya membawa perubahan kepada sistem ekonomi serta politik daripada cengkaman kapitalisme dan birokrasi masa kini.
Sementelahan ada juga aliran reformisme yang dikatakan cuma melindungi status quo kerana menghalang perubahan struktur asas sistem dan institusi sedia ada. Perubahan yang dilakukan cuma bersifat kosmetik luaran sahaja.
Namun begitu, dalam perbincangan kali ini cukuplah untuk sekadar kita tahu maksud umum reformasi. Ia bermakna satu usaha untuk memperbetulkan kepincangan serta penambahbaikan kepada sistem politik dan institusi daripada disalah guna, dicengkam rasuah, birokrasi melampau, urus tadbir yang lemah, dasar yang memecahkan kaum, politik identiti dan sebagainya.
Reformasi juga bukanlah sesuatu yang asing dalam tradisi Islam yang sering dimaksudkan sebagai islah. Walaupun terma islah jarang dibincangkan oleh ilmuwan Islam, namun wacana mengenainya mencakupi ruangan agama atau ibadah dan juga urusan kemasyarakatan.
Di Malaysia, wujud satu deklarasi yang dikenali sebagai “Deklarasi Permatang Pauh”. Mungkin ramai antara kita yang menganggapnya sebagai dokumen politik. Namun dari sisi ilmiah, deklarasi pendek tersebut adalah dokumen yang paling tuntas mentakrifkan apa itu reformasi di Malaysia.
Di dalam deklarasi tersebut ada beberapa tema besar reformasi yang dapat dirumuskan iaitu penegasan tentang hak asasi manusia, pemerintahan secara demokrasi, kedaulatan undang-undang, kemakmuran ekonomi, kepelbagaian budaya dan pembanterasan rasuah. Ini selaras dengan tema-tema besar dalam perjuangan terhadap reformasi politik di seluruh dunia.
Tema reformasi dan islah itu hampir-hampir saja boleh dikatakan sebagai abadi – tiada lama dan tiada baru. Cuma individu dan perkumpulan yang memperjuangkan reformasi itu dituntut untuk cakna dengan strategi-strategi terkini menurut zaman dan peka serta memahami tuntutan semasa.
Ini kerana zaman berubah dan masalahnya yang berbeza. Jika dahulu korupsi sinonim dengan kronisme dan nepotisme, namun kini korupsi sinonim dengan kleptokrat. Tema utamanya tetap sama namun perinciannya berbeza.
Epilog
Dalam persoalan yang jauh lebih besar seperti yang dinyatakan tadi, apa sebenarnya kesan reformasi terhadap ekonomi? Persoalan ini penting kerana parti politik yang selama ini melaungkan slogan reformasi pernah menjadi parti terbesar dalam kerajaan selama 22 bulan – namun hasilnya agak menghambarkan walaupun tidaklah gagal sepenuhnya.
Tetapi harus juga diakui kebenaran bahawa membandingkan pemerintahan yang berusia 22 bulan dengan pemerintahan berusia 6 dasawarsa adalah sesuatu yang sangat tidak adil. Cukuplah kisah tentang pergeseran politik kepartian di sini.
Reformasi seharusnya menyelamatkan negara dari kancah korupsi. Antara yang boleh diambil iktibar ialah masalah aliran wang atau modal haram yang mengalir keluar dari Malaysia.
Laporan Global Financial Integrity (GFI) yang kemudian turut didedahkan lagi kemudiannya oleh Panama Papers dan Pandora Papers membongkarkan perkara ini. Dicatatkan bahawa dalam tempoh 2004 sehingga 2015, lebih RM 1.8 trilion telah mengalir keluar dari Malaysia.
Kebanyakan (walau mungkin tidak semua) wang aliran modal haram ini menurut laporan tersebut berpunca daripada aktiviti pengelakan cukai, jenayah, rasuah dan aktiviti-aktiviti lain yang menyalahi undang-undang negara.
Bayangkanlah, RM1.8 trilion atau sama dengan RM1800 bilion ini bukanlah jumlah yang sedikit. Jumlah ini berkali-kali ganda melebihi belanjawan negara bagi tahun 2022 yang cuma berjumlah 332.1 bilion.
1.8 trilion ini adalah milik rakyat dan negara. Bayangkanlah dengan wang sebanyak itu boleh digunakan untuk melebarkan lebuh raya, menaik taraf jalan raya serta sistem pengangkutan, menaik taraf serta menambah bilangan hospital, mengekalkan subsidi barang keperluan dan banyak lagi. Jika ini semua dapat diperbaiki dengan reformasi, maka mungkin tiada negeri yang bersuara mahu meninggalkan persekutuan lagi. Malah tidak mustahil harga ayam juga akan durian runtuh!
Dalam kesempatan ini juga mungkin ramai antara kita yang tertanya bahawa apakah beza reformasi dan transformasi? Transformasi umumnya lahir daripada tanggapan bahawa sistem sosial, politik dan ekonomi negara tidak mengalami masalah dan rasuah yang parah. Transformasi lebih bersifat dasar dan perkiraan ekonomi semata-mata.
Transformasi memperbaharui sistem-sistem ekonomi yang lapuk di dalam negara dan fokusnya adalah untuk meningkatkan hasil secara berganda. Contoh mudah ialah negara beralih daripada sistem percukaian SST kepada GST yang ternyata lebih progresif dan menguntungkan kerajaan.
Tidak dinafikan juga bahawa data indeks GINI – pembahagian kekayaan negara lebih seimbang – menyebelahi pentadbiran kerajaan era transformasi.
Namun kita tidak dapat menolak juga bahawa jumlah hutang negara semakin mendadak naik dan hutang purata isi rumah turut melambung. Malah rantaian cukai GST itu sendiri memberi kesan kenaikan harga kepada pengguna akhir yang terdiri daripada kita semua sebagai rakyat biasa.
Indeks rasuah juga tidak semakin membaik. Kesan-kesan projek ekonomi yang kononnya mampu membawa ‘multiply effect’ kebaikannya juga memberi kesan bebanan berganda kerana gagal. Lihat sahaja kepada hutang Felda dan permasalahan FGV semasa itu.
Transformasi secara keseluruhannnya adalah suatu matlamat yang murni, namun prasyaratnya ialah persekitaran ekonomi dan politik yang baik dan kurang rasuah. Itulah sebabnya kita memerlukan reformasi. Kenaikan harga barangan serta inflasi, kejatuhan nilai ringgit dan pelbagai masalah lain adalah kerana kurangnya kemahuan politik untuk reformasi.
Reformasi amat penting bagi negara yang semakin dilanda masalah ekonomi, politik yang dicemari korupsi dan kelompok masyarakat yang semakin terbahagi. Namun reformasi juga memerlukan syarat-syaratnya untuk berjaya – memerlukan individu-individu atau sekumpulan masyarakat yang komited, bijaksana dan ikhlas dan bukannya individu-individu atau perkumpulan masyarakat yang cuma mahu menunggang reformasi untuk kepentingan diri sendiri.
Rizuan Abdul Hamid adalah seorang yang berasal dari Ipoh dan telah lama berhijrah mencari rezeki dan pengetahuan di Lembah Klang. Beliau adalah homo sapiens yang cuba menjadi insan.
Foto: Waging Nonviolance
Waadat, Daulat, dan Keramat Rakyat
Di dalam konsep monarki Melayu, Raja itu pemegang dan pewaris Kedaulatan. Raja akan mangkat tetapi tidak bagi Daulat. ‘The Sovereign never dies’.