Kita menghampiri penghujung Ramadan, satu bulan yang suci buat Muslim dan turut diraikan oleh bukan muslim dengan cara tersendiri di Malaysia. Sepanjang Ramadan ini, netizen di Malaysia cukup sibuk dengan isu-isu yang tidak kunjung padam.
Isu yang selalu bikin panas adalah isu berkaitan identiti, agama dan kaum. Cukup rencah dan perasa, maka tularlah isu tersebut dengan pelbagai reaksi berkaitannya. Ada isu yang mendapat perhatian meluas hingga pak-pak menteri terpaksa keluarkan kenyataan atau buat-buat sibuk turun padang dan ada juga isu yang suam-suam kuku dan basi begitu sahaja.
Kita mulakan babak awal Ramadan kali ini dengan isu larangan waktu operasi restoran sebelum pukul 3 petang, penutupan kantin sekolah, komen Timbalan Menteri Perpaduan mengenai satu kumpulan etnik yang memerlukan ‘pelindung’ dan juga diskriminasi kaum dalam bidang pekerjaan dan hartanah. Kekerapan isu identiti, agama dan kaum dimainkan dalam tempoh yang singkat ini dalam bulan Ramadan (sepatutnya dalam bulan-bulan lain pun tidak patut berlaku) wajar mengetuk fikiran kita mengenai persoalan-persoalan seperti, “Kenapa perkara ini berlaku? Kenapa orang itu buat begitu begini? Siapa yang mendapat untung dari perkara ini? dan siapa yang menjadi mangsa dalam situasi-situasi tersebut?”
Bagi masyarakat yang sudah biasa menyaksikan episod-episod pertelingkahan antara kaum, sudah tentu insiden-insiden yang berlaku di awal Ramadan ini tidak kelihatan pelik atau ajaib. Oleh sebab isu ini kerap dimainkan, kita mungkin sudah lali dan mungkin juga menganggap perkara tersebut merupakan norma di Malaysia. Kalau pun kita bercakap mengenainya, siapa yang kisah?
Situasi tidak kisah itu mungkin boleh kita fahami dengan istilah ‘apati’, yakni sikap tidak menaruh minat atau sikap tidak endah terhadap sesuatu yang wajar diberi perhatian. Sikap apati ini ada asasnya untuk kita rasai sebagai rakyat biasa (dengan rasa lemah dan tidak berdaya untuk membawa perubahan).
Biarpun dengan sikap apati yang berleluasa dalam segenap ceruk kehidupan bermasyarakat, kita yang marhaen ini wajar beri perhatian terhadap salah guna isu identiti, agama dan kaum oleh mereka yang mempunyai kepentingan tersendiri kerana salah guna ini dapat membawa kepada diskriminasi kaum atau mengukuhkan diskriminasi kaum sedia ada.
‘Diskriminasi kaum’ ini apa pula? Mengikut piawaian antarabangsa, apabila berlakunya keputusan-keputusan kerajaan, amalan pihak swasta mahupun sekumpulan rakyat yang mempunyai elemen pilih kasih, membeza-bezakan, mengehadkan atau menyingkirkan individu atau sekelompok masyarakat tertentu berdasarkan kaum, warna kulit, keturunan atau kewarganegaraan, itulah yang dikira sebagai diskriminasi kaum.
Di peringkat tempatan pula, Perlembagaan Persekutuan Malaysia ada juga menyentuh mengenai diskriminasi kaum ini melalui Perkara 8(2). Sekurang-kurangnya kita tahu dan maklum bahawa diskriminasi kaum ini menjadi tumpuan di peringkat global dan juga tempatan.
Pelaku diskriminasi kaum ini mempunyai pelbagai watak, dalam kalangan pemimpin di atas sana, para birokrat dalam pentadbiran awam, para pedagang di sektor swasta dan mereka yang berselindung di sebalik akaun media sosial. Mereka ini tidaklah sinonim dengan warna kulit tertentu, bahkan mempunyai latar belakang etnik yang pelbagai. Mereka tidak hanya tinggal di Semenanjung Malaysia, mereka juga berada di setiap belahan bumi tercinta ini hingga ke Sabah dan Sarawak.
Korban dalam kerakusan para pelaku ini tidak lain dan tidak bukan adalah kita, rakyat kebanyakan. Sebagai mangsa, kesan diskriminasi kaum ada pelbagai dan mungkin kesan yang paling signifikan adalah kegagalan dalam meneroka dan membangunkan potensi diri (segolongan masyarakat). Kesan ini jelas kelihatan susulan dari maksud diskriminasi kaum yang disebutkan sebelum ini. Dan secara keseluruhannya, kegagalan ini (meneroka dan membangunkan potensi diri) akan mengakibatkan kesan domino dalam pelbagai ruang kehidupan individu atau segolongan masyarakat tertentu termasuklah dari aspek pendidikan, ekonomi dan politik.
Dalam segala perihal isu diskriminasi kaum, hal yang lebih mendasar adalah terjejasnya peluang seseorang atau segolongan masyarakat untuk menikmati sepenuhnya hak asasi mereka seperti yang tercatat di dalam Perlembagaan Malaysia. Idea hak asasi manusia ini bukanlah satu perkara yang asing di Malaysia, bahkan Akta Suruhanjaya Hak Asasi Manusia Malaysia 1999 yang diluluskan oleh Parlimen mengabsahkan komitmen Malaysia terhadap Deklarasi Hak Asasi Manusia Sejagat (UDHR) 1948.
Adakah wajar untuk kita hidup bersenang-lenang sedangkan ada saudara senegara kita yang menempuh waktu-waktu sukar dalam kehidupan mereka akibat gagalnya mereka menikmati hak asasi mereka sebagai rakyat Malaysia? Banyak insiden diskriminasi kaum yang telah dilaporkan oleh pertubuhan bukan kerajaan (NGO) dan media termasuk analisis dari ahli akademik yang dapat menjadi sandaran kepada keadaan yang kita alami kini.
Berbalik kepada sikap apati yang disentuh tadi, rakyat Malaysia secara amnya tidak dapat lari dari memberikan perhatian terhadap isu penyalahgunaan identiti, kaum dan agama oleh para pelaku yang disebutkan. Kegagalan kita sebagai rakyat dalam menegur dan memastikan para pelaku itu mengambil tanggungjawab terhadap kesalahan mereka akan menyebabkan amalan dan kesan diskriminasi kaum semakin menular. Mungkin pada bulan Ramadan yang mulia ini adalah solusi yang tepat untuk kita perluaskan amalan baik melingkupi kepedulian sosial kita terhadap isu perkauman dan diskriminasi kaum yang telah lama mengakar di negara kita.
Awang Ilham kini berkhidmat di Pusat KOMAS, sebuah NGO hak asasi manusia yang melakukan advokasi bagi menangani isu perkauman dan diskriminasi kaum. Artikel ini tidak menggambarkan pendirian Pusat KOMAS.
Foto: Sinarharian
Waadat, Daulat, dan Keramat Rakyat
Di dalam konsep monarki Melayu, Raja itu pemegang dan pewaris Kedaulatan. Raja akan mangkat tetapi tidak bagi Daulat. ‘The Sovereign never dies’.