Penubuhan Parti Kebangsaan Melayu Malaya (PKMM) pada 1945 merupakan sebuah parti politik Melayu pertama yang memperjuangkan kemerdekaan dan permasalahan rakyat dari pelbagai aspek pendidikan, sosial dan ekonomi. Hal ini, memperlihatkan bahawa asas politik adalah ‘alat pembelaan’ rakyat dan bangsa.
Jika dahulu politik adalah ‘alat pembela rakyat’ tetap kini politik adalah ‘alat perebutan kuasa’ antara pucuk pimpinan negara. Politik pembela rakyat, politik pembela bangsa hanyalah retorik dan chimera (ilusi) harapan palsu semata-mata. Ahli politik galak bertelagah sesama sendiri, galak mengaut keuntungan hasil negara dan galak melaungkan janji-janji palsu terhadap rakyat.
Kesaksamaan keagihan kekayaan negara, dakyah janji kosong memperjuangkan nasib rakyat, membasmi kemiskinan, mewujudkan peluang pekerjaan dimainkan sebagai umpan kepada rakyat. Hakikat manifesto adalah ‘alat peraih’ kekayaan golongan politik.
Ya. Jika dahulu rakyat masih lena dan terusan dibuai mimpi indah terhadap janji tersebut dek kerana pengangan politik bangsa. Tetapi kini rakyat telah muak, muak dengan politik yang tidak berubah dan tidak memberi perubahan.
Sejarah telah merakamkan soal pertembungan matlamat dan agenda terhadap hala tuju Tanah Melayu antara PKMM dan UMNO. Tradisi ini sehingga kini diamalkan dalam pucuk pimpinan parti-parti di negara ini.
Percakaran politik dan perebutan kuasa antara ahli politik seperti UMNO, PAS, KEADILAN, Pakatan Harapan dan terbaru Muafakat Nasional bukan suatu yang janggal dalam sejarah Tanah Melayu. Tidak hairan harapan rakyat terhadap Malaysia Baru musnah dek kerana perebutan kuasa antara seteru klasik Anuar Ibrahim dengan Tun Mahathir telah mengegarkan harapan baru seluruh rakyat Malaysia.
Kerakusan dan kehausan ahli politik terhadap kuasa pemerintahan negara dengan melaksanakan Pilihan Raya Negeri (PRN) di Sabah penyebab kepada peningkatan kes penularan wabak COVID-19. Keadaan ini telah memaparkan imej ketidakmatangan pemimpin politik negara yang langsung tidak mempedulikan kemaslahatan dan kesengsaraan rakyat yang terjejas teruk akibat pandemik COVID-19.
Seharusnya, di saat genting ini ahli politik bergabung tenaga dan mengetepikan kepentingan politik dalam menentang COVID-19 dengan memikirkan pendekatan dan strategi menangani permasalahan ekonomi yang terjejas teruk. Tetapi sebaliknya, ahli politik lebih mengutamakan soal kuasa, tampuk pemerintahan berbanding soal kesihatan, kesengsaraan rakyat dan pemulihan ekonomi negara.
Polemik terhadap ketidakmampuan dan ketahanan Kerajaan Perikatan Nasional (PN) hebat diperkatakan dan dimainkan sebagai senjata oleh ahli-ahli politik yang gilakan kuasa. Seharusnya, soal isu ketidakcukupan angka, sokong – tidak menyokong Ahli Parlimen terhadap Perdana Menteri tidak harus dibangkitkan lagi kerana keputusan Yang Di-Pertuan Agong (YDPA) terhadap pemilihan Tan Sri Muhyiddin Yassin sebagai Perdana Menteri adalah berasaskan kepada sistem Westminster.
Yang mana mengutamakan calon yang meraih undi paling tinggi diisytiharkan sebagai pemenang ‘first past the post’ berbanding jumlah kerusi majoriti ahli parlimen. Hal ini jelas, Muhyiddin telah mendapat sokongan penuh daripada Parti Pribumi Bersatu Malaysia (BERSATU), Barisan Nasional (BN), PKR, PAS, Gabungan Parti Sarawak (GPS) dan parti-parti lain di Sabah. Sokongan ini jelas melayakkan Muhyiddin menjadi Perdana Menteri. Tetapi keabsahan kerajaan ini dipertikaikan kerana Muhyiddin gagal memaparkan senarai sokongan undi dalam melegimitasikan kerajaan Muafakat Nasional.
Kehilangan sokongan undi menyebabkan Muhyiddin mengatur gerakkan menyelamatkan diri dengan ingin mengistiharkan darurat politik sebagai alat penyelamat diri daripada Parlimen bersidang. Sedangkan tindakan proklamasi darurat politik ini akan merudumkan Bursa Saham negara dan hak asasi kemanusiaan.
Seharusnya dalam soal kemelut politik dan penularan wabak Covid-19 yang semakin mengganas, proklamasi darurat tidak seharusnya dilaksanakan kerana ia akan lebih memparahkan keadaan ekonomi rakyat dan ketidakstabilan negara yang semakin berombak. Di saat genting ini permuafakatan dan kerjasama antara bipartisan sangat diperlukan dalam mengembleng tenaga untuk manfaat negara.
Soal apa lagi yang harus dipertikaikan di saat genting ini. Adakah masa sesuai untuk merebut kuasa? Tidakkah Yang di-Pertuan Agong (YDPA) telah memilih untuk menjadikan Muhyiddin sebagai Perdana Menteri. Tidakkah politik itu adalah satu perjalanan proses mendapatkan kuasa secara legal untuk berkhidmat kepada rakyat yang sesuai dengan ungkapan konsep demokrasi yang dilaungkan? Hakikat kini percaturan politik tanah air atas laungan demokrasi adalah palsu semata-mata “dari rakyat oleh rakyat dan untuk rakyat” hanyalah palsu.
Hakikat hakiki nilai demokrasi sebenar telah hancur dek kerakusan politikus yang tidak bertanggungjawab dan pengangan terhadap falsafah Nicolo Machiavelli matlamat menghalalkan cara menebal dalam jiwa ahli politik dan akhirnya melahirkan pemerintahan berbentuk Fasisme yang akan berleluasa dalam pentadbiran negara.
Rakyat memerhati dan hakim kepada kerajaan. Jika permasalahan dan pelarutan perebutan kuasa antara ahli politik terusan menganggu dan mengugat kestabilan dan keharmonian negara rakyat yang akan menentukan hala tuju kesejahteraan negara.
Persoalannya adakah rakyat masih belum sedar dari mimpi panjang tentang harapan palsu yang dilemparkan sarkas-sarkas politik? Tunggu Pilihanraya Umum Ke-15.
Nurfarhana Awang merupakan seorang pensyarah dan penyelidik yang berjiwa besar dalam dunia penyelidikan Sains Sosial yang berhasrat untuk menyumbang perubahan kepada sosiobudaya dan sosiopolitik masyarakat.
Foto PKMM ihsan Malaysiakini
Waadat, Daulat, dan Keramat Rakyat
Di dalam konsep monarki Melayu, Raja itu pemegang dan pewaris Kedaulatan. Raja akan mangkat tetapi tidak bagi Daulat. ‘The Sovereign never dies’.