Qing Ming di Tengah Pandemik

Qing Ming di Tengah Pandemik

Setahun sekali, berjuta-juta masyarakat Cina akan berkumpul untuk mengunjungi tempat persemadian nenek moyang yang dikenali sebagai Perayaan ‘Qing Ming’ ataupun ‘Cheng Beng’ dalam dialek Hokkien, bertujuan untuk memberi penghormatan kepada ahli keluarga yang telah meninggal dunia.

Perayaan Qing Ming ataupun dikenali sebagai Hari Menyapu Makam ini biasanya dihadiri saudara-mara dari jauh. Mereka  akan berkumpul dan mengunjungi tanah perkuburan nenek moyang atau orang yang disayangi untuk membersihkan kubur dan juga menyediakan makanan kegemaran selain membakar colok, wang neraka dan juga jongkong emas bagi kegunaan di akhirat. Semuanya dipersembah kepada yang meninggal sebagai tanda hormat dan ingatan; yang mati tidak dilupakan.

Kepercayaan ini berasal daripada golongan masyarakat Cina penganut Taoism; yang juga merupakan anutan terbesar kaum Cina di seluruh dunia. Mereka percaya dengan membakar wang kertas ataupun barangan yang diperbuat dari kertas buat nenek moyang ataupun yang telah meninggal dunia, barang-barang tersebut akan diterima oleh nenek moyang mereka untuk digunakan di dunia akhirat.

Dalam beberapa tahun kebelakangan ini, barangan yang diperbuat daripada kertas untuk dipersembahkan kepada nenek moyang telah berkembang melebihi barang-barang keperluan asas agar sesuai dengan zaman. Barangan kertas bukan lagi terhad kepada baju, seluar, kasut, kereta, atau rumah, tetapi terdapat sudah melibatkan barangan mewah seperti jam tangan Rolex, barang perhiasan emas, beg tangan berjenama, komputer mahal, kereta mewah, pelayan, gundik, produk kecantikan, peti deposit keselamatan, pakaian dalam, barangan elektrik, gajet dan telefon pintar, serta macam-macam lagi yang boleh dilihat buatannya makin kreatif dan menyerupai barangan sebenar.

Dalam suasana pandemik sekarang, pegawai perkuburan mendesak masyarakat Cina untuk menangguhkan atau menghentikan semua aktiviti dan perhimpunan bagi membendung penularan wabak Covid-19 yang masih belum putus. Namun, Perayaan Qing Ming ini tetap akan berlangsung pada 4hb April 2021 kelak.

Dalam satu kenyataan, Kementerian Perpaduan Negara (KPN) mengatakan Perayaan Qing Ming diizinkan di semua negeri, tetapi dinasihatkan agar upacara sembahyang harus mengikuti Prosedur Standard atau SOP yang bakal dilaksanakan dari 20hb Mac hingga 18hb April (14 hari sebelum dan selepas tarikh perayaan yang sebenar) dengan diperketatkan di tanah perkuburan mahupun di kolumbarium. SOP berbeza telah dibahagikan kepada beberapa kategori bergantung kepada wilayah tertentu. KPN mengatakan bahawa SOP ini diputuskan setelah Kementerian mengambil pandangan daripada Majlis Keselamatan Negara (MKN), Kementerian Kesihatan (KKM) Persatuan Pengurusan Tanah Perkuburan Cina, dan juga kumpulan-kumpulan agama yang lain.

Bagi yang tinggal di kawasan bawah Perintah Kawalan Pergerakan (PKP), tidak lebih daripada 6 orang dibenarkan di tanah perkuburan pada waktu tertentu dan setiap sesi terhad kepada 90 minit sahaja. Manakala untuk kolumbarium, hanya 10 orang sahaja dibenarkan dalam satu sesi. Bagi negeri di bawah Perintah Kawalan Pergerakan Bersyarat (PKPB), kehadiran dihadkan kepada 50% kapasiti sahaja di tanah perkuburan mahupun di kolumbarium untuk membolehkan penjarakan fizikal. Manakala bagi negeri-negeri di bawah Perintah Kawalan Pergerakan Pemulihan (PKPP) jumlah pelawat ke kolumbarium terpulang dengan kapasiti lokasi, dengan syarat penjarakkan fizikal 1 meter diamalkan sepanjang masa.

Setiap tahun pada masa Perayaan Qing Ming, akan berlakunya jalan agak sesak dan kereta-kereta yang diparkir sebelah jalan berdekatan dengan tanah perkuburan. Diharapkan pada tahun ini, keadaan sebegini tidak berlaku kerana kebimbangan kes Covid-19 dan juga harus mengikuti SOP yang disediakan. Juga berharap selepas keadaan pandemik ini, bagi kaum dan beragama lain untuk bersabar masa Perayaan Qing Ming ini dijalankan.

Adam Hafiz @ Lester Tan adalah seorang pengamal hidup aktif. Berasal dan membesar di Bukit Mertajam, beliau kini berkhidmat bersama Penggerak Komuniti Pulau Pinang.

Foto: The Straits Times

Share this Post: