PROSES AIR LAUT MENJADI AIR TAWAR

PROSES AIR LAUT MENJADI AIR TAWAR

Lautan meliputi lebih 70% daripada permukaan Bumi. Kira-kira 96.5% daripada sumber air di Bumi datang daripada laut.

Lautan terbesar di dunia ialah Lautan Pasifik yang keluasaannya meliputi kira-kira 30% daripada permukaan Bumi.

Walaupun lautan meliputi lebih daripada 70% daripada permukaan Bumi, hanya 20% daripada keseluruhan lautan sahaja yang dapat kita lihat.

20% ini adalah permukaan lautan manakala 80% lainnya iaitu bahagian bawah laut termasuk gunung-ganang dan dasar lautan tidak dapat kita lihat.

Air laut masin. Kenapa?

Garam yang wujud di lautan iaitu sodium chloride berasal daripada dua sumber.

Pertama, air hujan yang jatuh ke daratan dan mengalir ke lautan. Bagaimana?

Karbon dioksida di udara yang melarut bersama air hujan menjadikan air hujan itu sedikit berasid.

Air hujan yang mengenai batu-batuan di darat menyebabkan batu-batuan itu terhakis dan membebaskan garam mineral yang terpisah menjadi ion, termasuklah ion sodium dan ion chloride.

Ion-ion ini di bawa mengalir ke sungai-sungai dan kemudiannya berakhir ke kolam besar yang dipanggil lautan yakni ion sodium dan ion chloride ini tertarik kepada satu sama lain dan membentuk sodium chloride yang kita panggil garam.

Kedua, gunung berapi bawah air dan lubang hidroterma di dasar laut juga boleh membebaskan garam ke lautan.

Kedua-dua ion sodium dan ion chloride yang membentuk garam ini membentuk kira-kira 85% daripada semua ion terlarut di lautan dan 3.5 % daripada berat air laut merupakan berat garam terlarut.

Air masin tidak boleh diminum dan tidak boleh digunakan untuk keperluan manusia dan kebanyakan perkara lain seperti bagi tujuan pertanian.

Tetapi air masin ini merupakan sumber air terbesar di muka Bumi ini. Bolehkah kita menukar air masin kepada air tawar yang boleh digunakan untuk keperluan manusia?

Boleh.

Bagaimana?

Proses desalinasi.

Proses disalinasi adalah satu proses mengeluarkan garam dan mineral-mineral lain daripada air laut.

Antara kaedah disalinasi yang digunakan termasuklah:

  1. Osmosis terbalik (Reverse Osmosis)

Osmosis terbalik adalah kaedah menapis air dengan menggunakan membrane separa telap. Membrane yang dibuat daripada poliamida ultra nipis ini hanya membenarkan molekul air melepasinya dan meninggalkan mineral-mineral lain termasuk garam.

  1. Penyulingan solar

Proses yang sama seperti kitaran air semulajadi melibatkan proses penyejatan dan kondensasi air ini menggunakan tenaga matahari dan memerlukan kawasan tanah yang luas.

  1. Elektrodialysis

Kaedah ini memerangkap ion garam menggunakan membrane bercas elektrik.

  1. Penapisan nano

Proses ini yang menggunakan membran tiub nano dengan kebolehtelapan yang lebih tinggi berbanding osmosis terbalik. Oleh itu, lebih banyak air yang boleh diproses dalam ruang yang lebih kecil dengan penggunaan tenaga yang lebih rendah.

  1. Pembentukan gas hidrat

Gas hidrat ialah kristal pepejal yang terbentuk daripada gabungan air dengan gas pada tekanan tinggi dan suhu rendah. Dalam proses tersebut, semua garam dan bendasing lain yang terdapat dalam air akan hilang.

Setiap teknologi yang dibangunkan pasti ada kekurangan tersendiri. Begitu juga dengan teknologi desalinasi ini.

Antara kekangan yang dihadapi termasuklah penggunaan tenaga yang terlalu tinggi serta sisa yang terhasil daripada proses itu ialah air dengan kepekatan garam dan bahan pencemar yang tinggi yang akan dikembalikan ke laut dan berpotensi menjejaskan ekosistem.

Di peringkat global, terdapat lebih daripada 16,000 loji disalinasi sedang beroperasi di lebih 177 negara.

Negara pertama yang menggunakan proses ini secara besar-besaran ialah Australia. Negara ini mempunyai loji yang beroperasi dengan menggunakan kaedah osmosis terbalik.

Dari segi isi padu air, Arab Saudi menduduki tempat pertama dan diikuti UAE. Kedua-dua negara ini adalah negara padang pasir dengan iklim yang sangat kering dan sumber air tawar yang terhad sememangnya sangat bergantung pada proses disalinasi air.

Malaysia juga tidak ketinggalan dalam mengaplikasikan teknologi ini.

Loji disalinasi air yang pertama di Malaysia terletak di Bachok, Kelantan yang telah beroperasi sejak 2018. Walaupun loji tersebut dibangunkan hanya dalam skala kecil-kecilan, sekurang-kurangnya loji mampu mengurangkan masalah krisis air yang telah lama dihadapi di kawasan tersebut.

Dengan teknologi disalinasi, dunia dapat mengurangkan masalah kekurangan bekalan air tawar yang menjadi keperluan utama manusia. Tetapi, teknologi ini mestilah mampu untuk dibawa ke negara berpendapatan sederhana dan rendah. Dalam masa yang sama juga, kesan buruk terhadap alam sekitar dapat ditangani sebaik mungkin.

Syarmila Ishak merupakan anak Kedah yang mahu rantau seluruh dunia dan minat membaca novel tentang kehidupan atau apa-apa sahaja bacaan yang memberi inspirasi.

Rujukan:

https://oceanservice.noaa.gov/facts/whysalty.html

https://www.iberdrola.com/innovation/desalination

file:///C:/Users/User/Downloads/sustainability-12-06949-v3.pdf

Kredit foto: nationalgeographic.com

Share this Post: