Politik Kecinaan dan Mesra Melayu?

Politik Kecinaan dan Mesra Melayu?

Kalian masih ingat tentang slogan Malaysian Malaysia? Apa pula kaitannya dengan politik kecinaan yang tidak mahu dicairkan itu? Kali ini kita sembang dikit soal politik kepartian. 

Kalau sebut parti politik Cina di Malaysia, parti apa yang akan terlintas dalam fikiran kalian? Jujur saya jawab, kalau masa zaman naif dan ‘buta politik’ – semasa zaman kanak-kanak dan remaja (sekitar dekad 1990an) – dahulu memang saya fikir ada tiga parti mewakili masyarakat Cina. Ini pandangan saya sebagai rakyat Malaysia yang biasa-biasa serta beretnik Melayu.

Setelah menginjak sedikit dewasa, saya mengubah pendirian. Bukan suka-suka ubah, tetapi ia berasaskan maklumat dan pengalaman yang semakin bertambah. Cuma ada satu sahaja parti politik yang mewakili kaum cina – yang bersifat etnosentrik. Yang dua lagi ialah parti berbilang kaum namun keahlian dan sokongannya didominasi oleh masyarakat Cina.

Sekitar tahun 1990an dahulu rasanya ketiga-tiga parti tersebut mendapat sokongan yang bolehlah dikatakan agak seimbang. Tetapi sekarang ini, dua lagi parti tersebut tampak agak sunyi. 

Oleh itu tinggallah satu parti yang nampak menjadi wadah paling kuat dan tumpuan sokongan masyarakat Cina di Malaysia. Namun dari dahulu mereka sering dilabel sebagai rasis dan cauvinis. 

Tidak dinafikan bahawa ada suara-suara ekstrem dan cauvinis dari parti tersebut, kerana sememangnya suara-suara tersebut memang wujud di dalam semua parti. Namun kita boleh menilai kebenaran melalui tindakan dan reaksi sesuatu parti itu dalam menangani suara ekstrem dan cauvinis tersebut.

Maaf, saya takkan sebut nama mana-mana parti politik sebab itu bukan tujuan utama perbincangan. Tetapi saya yakin melalui pembayang yang dimaksudkan, kalian pasti tahu parti apa yang dimaksudkan.

Antara persoalan menarik untuk dibincangkan ialah kenapa agaknya parti tersebut dapat mengekalkan malah sokongan masyarakat Cina terhadap mereka terutamanya sejak PRU 12 begitu ampuh? Pernah tak kita terfikir?

Bagi saya, ini kerana mereka membawa membawa suara masyarakat tertindas dan suara minoriti rakyat Malaysia. Mereka bukan mewakili masyarakat Cina sahaja, cuma sememangnya masyarakat Cina ialah etnik minoriti yang terbesar di negara kita. 

Bagi yang kurang memahami ‘sifir’ ini, saya contohkan dengan satu analogi lain. Misalnya tindakan afirmatif ekonomi, ia tidak boleh ditumpukan mengikut segmen kaum seperti Melayu sebaliknya mesti ditumpukan kepada semua golongan yang kesusahan (dalam konteks kelas ekonomi) – dan sememangnya golongan kesusahan itu sekarang ini majoritinya ialah Melayu.

Jiwa dan pemikiran ‘parti roket’ ini sebenarnya ialah perjuangan terhadap kesetaraan manusia (juga merangkumi kaum). Ia bersesuaian dengan ideologi asas mereka iaitu demokrasi sosial dan sekular yang mengiktiraf hak asasi manusia dan kesaksamaan darjat manusia tanpa mengira kaum, agama mahupun kelas ekonomi. 

Kelas kayangan mahupun miskin bandar, mereka tetap sama – seorang manusia. Mungkin seorang syeikh atau seorang sami lebih mulia pada pandangan lensa agama, namun sebagai rakyat dan warganegara mereka memegang amanah dan juga tanggungjawab yang sama. 

Mengenai konteks sekular, ia tidak bermaksud menafikan peranan agama (di ruang awam). Tetapi ia bermaksud saksama dan melayani serta mengiktiraf agama yang dianuti rakyat. Walau ada sekular yang ‘menghambat’ agama di sesetengah negara lain, namun di Malaysia itu bukan isu dan kesnya.

‘Parti roket’ ini asalnya memang bernafas di dalam slogan ‘Malaysian Malaysia’. Tetapi slogan itu bukannya dicipta oleh mereka sendiri. 

Slogan tersebut digemakan semasa konvensyen yang diadakan oleh Majlis Solidariti Malaysia yang dianggotai beberapa parti politik. Walau ada beberapa pendapat lain, yang pastinya slogan tersebut diangkat oleh Majlis Solidariti Malaysia.

Malaysian Malaysia secara umum menuntut kesaksamaan dan kesetaraan antara seluruh rakyat dan ia sesuai dengan ideologi sosialis demokrasi. Ini sebabnya mereka menentang Keistimewaan Melayu yang termaktub di dalam perlembagaan. 

Namun masalah sebenarnya bukanlah isu Keistimewaan Melayu secara per se. Dakwaan itu lebih bersifat untuk mengalihkan perhatian umum terhadap isu sebenar.

Isu sebenar ialah isu migrasi masyarakat dari Indonesia sekitar 1940an dan 1950an ke Malaya (Tanah Melayu). Mereka ini kemudiannya turut mendapat keistimewaan sama seperti masyarakat Melayu yang berasal dari Malaya (Tanah Melayu). 

Ia menjadi isu kerana Republik Indonesia telahpun tertubuh semenjak 1945. Penghijrahan warganegara Indonesia ke Malaya sudah pastilah menjadi satu isu kenegaraan di negara kita jika mereka juga turut diiktiraf sebagai Melayu.

Bagi saya ini sebabnya masyarakat minoriti di Malaysia yang ramai terdiri daripada masyarakat Cina memilih untuk menyokong ‘parti roket’ tersebut. Ini bukan soal perkauman, ini persoalan hak setiap rakyat.

Saya tidak bertujuan untuk mengungkit kembali isu lapuk yang telahpun bersifat akademik. Namun ia penting untuk memahami isu dan perjuangan sebenar yang telah dilalui oleh sebahagian daripada rakyat Malaysia.

Kini isu perjuangan politik mereka telah melangkaui ‘Malaysian Malaysia’. Kita semua pun telah move on bak kata orang sekarang. Sama seperti semua rakyat Malaysia yang lain, mereka turut menghormati prinsip Rukun Negara yang ketiga iaitu Keluhuran Perlembagaan. 

Namun asas perjuangan untuk kesaksamaan seluruh rakyat sama ada dari segi keadilan sosial dan hak-hak kerakyatan yang saksama masih kekal diperjuangkan. Mereka tetap menentang apa sahaja politik berbentuk seperti ketuanan (termasuklah konsep ketuanan Melayu yang tiada asas perlembagaan) atau dasar ekonomi afirmatif mengikut kaum yang sudah terbukti tidak berjaya.

Ternyata sama ada konsep ketuanan politik ataupun tindakan afirmatif berdasarkan kaum, ia cuma melahirkan dan menyebabkan ketirisan ekonomi dan korupsi atas nama Melayu. Walhal orang melayu tetap tertinggal di belakang dalam konteks Malaysia. 

Daripada inilah timbul perjuangan terhadap konsep urus tadbir yang baik dan sebagainya supaya korupsi dan ketirisan ekonomi dapat dibanteras. Dari itu juga mereka dapat menonjolkan wajah sebenar sebagai parti yang majmuk dan mula menarik sokongan Melayu sambil mengekalkan sokongan padu daripada masyarakat Cina. 

Kendati begitu, realiti menunjukkan bahawa ‘parti roket’ masih kekal didominasi oleh masyarakat Cina kerana semenjak awalnya memang begitu. Usaha komited meraih sokongan dan keahlian berbilang bangsa termasuklah Melayu menimbulkan persoalan dalaman parti pula. 

Meraih sokongan dan keahlian masyarakat Melayu oleh parti yang selama ini didominasi oleh kaum Cina memang menjadi isu. Takut-takut kalau yang dikejar tak dapat, yang dikendong pula berciciran. 

Bukankah ia telah terjadi kepada satu lagi parti yang dahulunya turut mendominasi dan lama berkuasa di Pulau Pinang? Tambahan pula pengalaman dikhianati parti dominasi Melayu pasti amat melukakan.

Oleh itu seolah-olah masih wujud ketidakterbukaan sesetengah ahli mahupun pimpinan terhadap kalangan ahli-ahli Melayu. Namun sebenarnya bukan sikap ‘mesra Melayu’ yang menjatuhkan sesebuah parti. Yang menjatuhkan sesebuah parti ialah apabila mereka mula dibelit dan terpalit dengan korupsi. 

Selagi mana mereka kekal berpegang dengan prinsip asas hak asasi manusia, kesaksamaan hak rakyat, keadilan sosial dan urus tadbir yang baik, pasti mereka akan meraih sokongan Melayu sambil mengekalkan kecinaan (baca: sokongan daripada semua masyarakat minoriti) mereka dalam masa yang sama!

Kini roket tidak lagi boleh sekadar bercita-cita mahu ke bulan, tetapi roket perlu berazam untuk mencecah Marikh dan planet-planet lain!

I rest my case.

Rizuan Abdul Hamid berasal dari Ipoh dan telah lama berhijrah mencari rezeki dan pengetahuan di Lembah Klang. Beliau adalah homo sapiens yang cuba menjadi insan.

Foto: RoketKini

Share this Post: