Baru-baru ini di media sosial saya ada kongsikan sebuah artikel daripada sebuah portal yang mengisahkan tentang sebuah keluarga dengan empat orang isteri dan 28 orang anak dimuatkan dalam sebuah rumah oleh suami. Keadaan amat daif hinggakan kehidupan mereka akhirnya ditanggung oleh pejabat zakat dengan sewaan rumah kedua.
Anak-anaknya semua tidur bergelimpangan. Hairan. Sangat menghairankan. Anak-anak tidak didaftarkan untuk persekolahan awam sebab si bapa ingin daftarkan mereka ke pusat tahfiz di Kelantan.
Dari satu sudut pandang, kedengarannya memang bagus, tetapi kita tertanya-tanya siapa yang akan tanggung makan minum dan perbelanjaan semua anak-anak di sana pula?
Saya pernah bertanya kepada seorang bapa yang pernah menghantar anak-anaknya ke pusat tahfiz, tentang soalan belanja dan nafkah bagi anak tersebut di sana.
Jawabnya; “dah duduk kat sana, pusat tahfiz tu la tanggung. Makan minum depa semua ada la orang mai bagi sedekah. Depa masak la sendiri.”
Kes yang pernah saya kendalikan ini juga melibatkan seorang lelaki yang berpoligami. Pernikahan pertamanya sahaja yang melalui proses undang-undang. Isteri kedua dan ketiga hanya nikah di sempadan Siam sahaja.
Sudahlah anak-anak ada yang tidak mempunyai sijil kelahiran sah, dihantar pula ke Pusat Pengajian Tahfiz (Islam) dan seterusnya dibiarkan mereka membesar dengan bantuan yang disalur ke sekolah tersebut.
Nafkah buat isteri-isteri pula kadangkala tunggang dan langgang. Makan minum, tempat tinggal buat isteri-isterinya juga akhirnya mengharapkan bantuan dan ehsan daripada orang lain setiap bulan.
Bila ditanyakan, kenapa masih nak berpoligami kalau sudah pun tahu tidak berkemampuan, jawapannya; “percaya pada rezeki Allah. Anak-anak ramai lagi banyak rezeki”
Jenis macam inilah yang akan menyebabkan agama Islam ini terus dipandang serong dan turut memperlihatkan kepada masyarakat, tujuan nikah ramai ni hanya untuk melepaskan nafsu. Bab tanggungjawab, serah pada orang lain.
Sebab itu juga, di Mahkamah Syariah kita perlu tegas, untuk mendapat kebenaran poligami beberapa kriteria perlu dibuktikan terlebih dahulu, antara kriteria berpoligami itu termasuklah;
1. Apa sebab patut diberikan poligami?
Jika sudah mempunyai isteri, dan isteri itu pun sudah mellahirkan anak-anak. Isteri sedia itu juga sihat sahaja, tiada sakit tidak pula gila; jadi, apa sebab pula buat mahkamah membenarkan poligami ini diberikan?
2. Kemampuan kewangan.
Kita hidup dalam dunia ini, setiap perkara memerlukan duit. Membeli makaanan perlukan duit. Tempat tinggal, perlukan duit. Pakaian, perlukan duit. Jadi, nafkah ini bukan tanggungjawab Allah, sebaliknya tanggungjawab lelaki yang ingin berkahwin.
Pastikan lelaki ini betul-betul orang yang berkemampuan untuk berpoligami. Jika pendapatan pun cukup-cukup sahaja setiap bulan bagi diri dan tanggungan sedia ada, mana mungkin anda mampu dari segi kewangan untuk berpoligami.
3. Boleh berlaku adil.
Adil ini satu sikap yang perlu ada bagi seorang lelaki. Layanan percakapan dengan isteri dan anak-anak pun mesti adil. Tak boleh dengan bakal isteri cakap lembut, dengan keluarga sedia ada, kasar sepenuh masa.
Tanya diri, mampukah untuk bagi giliran bermalam sama rata kepada isteri dan bakal isteri. Kalau setiap masa banyak dihabiskan di pejabat saja, dimana keadilan yang wajar untuk keluarga sedia ada? Ingat, soal keadilan ini akan dipersoalkan kelak di Mahkamah Allah.
4. Tidak akan menyebabkan kemudaratan kepada isteri sedia ada.
Kalau isteri sedia ada pun tidak terjaga segala nafkahnya, apakah tidak akan terjadi mudarat kepada dirinya jika si suami bernikah seorang lagi?
Kalau sekarang ini, pernikahan sedia ada pun isteri sedia ada yang tanggung dirinya sendiri dan anak-anak, apakah ada jaminan, kemudaratan tidak akan berlaku kalau si suami memilih poligami?
Tidak sedikit yang selalu menyandarkan diri dengan agama dalam soal poligami. Alasan agama yang selalu digunakan termasuklah;
1. Percaya dengan rezeki
Memang betul, rezeki itu milik Allah. Siapalah kita hamba yang hina ini untuk tentukan rezeki seseorang. Tetapi, pastinya rezeki itu tidak akan datang bergolek. Sebagai manusia kita sendiri perlu berusaha untuk mencari rezeki.
Menjemput rezeki datang, bukan sekadar dengan berdoa. Nabi pun doanya diangkat terus oleh Allah SWT, tetapi tetap bekerja dengan mencari rezeki melalui perniagaannya.
2. Mengikut sunnah
Alasan ini alasan klise. Konon hendak berpoligami kerana mahu ikut sunnah Nabi. Boleh tuan-tuan kalau nak ikut sunnah Nabi. Cuma nak beritahu, Nabi berpoligami hanya selepas kematian Siti Khadijah.
Dan kalau mahu ikut sunnah Nabi, banyak lagi sunnah lain yang kita patut buat untuk dapat pahala sunat. Nabi setiap malam bangun tahajjud, Nabi sentiasa puasa sunat, Nabi setiap kali bersolat di masjid. Sudahkan kita ikut sunnah-sunnah ini sebelum kita nak amal sunnah poligami?
3. Al-quran benarkan
Betul. Memang ada ayat dari Al-quran yang membenarkan untuk suami berpoligami. Surah An-nisa ayat 3 membenarkan lelaki berkahwin dua, tiga atau empat. Tetapi ayat tersebut tidak terhenti setakat itu, Allah berfirman, jika lelaki itu khuatir untuk berlaku adil, cukuplah dengan seorang isteri sahaja.
Semak balik diri sendiri sebelum membuat keputusan untuk berkahwin dua, tiga atau empat. Apakah selama ini telah diberi kehidupan yang terbaik kepada isteri dan anak-anak hingga semuanya hidup dengan sempurna?
Kesimpulannya, saya tidak menentang poligami. Ini memang ketetapan yang Allah benarkan melalui firmannya di dalam Al-Quran. Memang kita tidak boleh nafikan sebagai umat Islam. Ada sebab Allah turunkan ayat tersebut.
Perkahwinan bukan satu perkara yang boleh diambil mudah dengan hanya bersandarkan kepada dalil semata-mata. Seorang lelaki itu juga perlu menilai diri sendiri, apakah sudah dia bersedia untuk pikul amanah dan tanggungjawab lain?
Apakah amanah yang ditanggung sedia ada sudah dijaga dan dipelihara dengan baik?
Hentikanlah menggunakan Islam untuk melepaskan nafsu serakah semata-mata sedangkan Islam menyarankan poligami untuk lelaki itu faham erti tanggungjawab.
Banyak pula penunggang agama sekarang ini. Siapa pernah dengar alasan lain?
Fahmi Ramli adalah seorang peguam Syarie yang bertapak di Kedah, Pulau Pinang, Perlis dan Perak. Seorang yang aktif dalam penulisan berkaitan perundangan Syariah dan merupakan Timbalan Setiausaha PGSM Kedah. Penulisannya ditanda dengan tanda pagar #syarieavengers
Foto: livelaw.in
Waadat, Daulat, dan Keramat Rakyat
Di dalam konsep monarki Melayu, Raja itu pemegang dan pewaris Kedaulatan. Raja akan mangkat tetapi tidak bagi Daulat. ‘The Sovereign never dies’.