Baru-baru ini, pemerhati politik berpeluang menyaksikan sesuatu yang jarang berlaku dalam dunia politik Malaysia. Beberapa orang pemimpin kanan dan berpengaruh dari Parti Tindakan Demokratik (DAP) telah bertikam lidah secara terbuka dan media telah melaporkan pertelingkahan tersebut dengan tajuk yang sensasi seperti “mencairkan kecinaan” dan “cauvinis cina”. Peristiwa ini menarik kerana DAP dikenali sebagai parti politik yang dikawal rapi atau berdisiplin tinggi.
Perbalahan terbuka ini boleh dikatakan perkara biasa kerana pemilihan parti yang semakin hampir. Namun begitu, pertembungan antara dua kem ini telah melontarkan persoalan yang mempunyai kesan dalam jangka masa panjang. Persoalan ini berkait rapat dengan realiti dan kekangan politik Melayu-Islam pada hari ini, di mana kebanyakan pengundi Melayu-Islam hanya mempunyai dua pilihan parti politik, iaitu parti nasionalis Melayu ataupun parti agama Islam.
Persoalannya, sebagai sebuah parti yang terkenal memperjuangkan “Malaysian Malaysia”, iaitu idea kesamarataan buat semua warganegara, dan dalam banyak interpretasi, berteraskan sekularisme atau kepercayaan bahawa kerajaan tidak harus campur tangan dalam urusan peribadi warganya seperti urusan agama, adakah DAP dapat menjalin kerjasama politik dengan parti-parti politik arus perdana?
Setakat hari ini, sejarah sudah merakam parti roket itu telah pernah bekerjasama dengan parti politik yang cukup berbeza dari perjuangan mereka: dari parti nasionalis Melayu, Bersatu dan kini Pejuang, ke parti agama Islam PAS dan kini Amanah. Kerjasama politik ini mengambil bentuk gabungan politik, dari Barisan Alternatif, ke Pakatan Rakyat dan kepada Pakatan Harapan.
Dalam proses percaturan politik ini, telah timbul perasaan kurang senang dalam kalangan beberapa pemimpin dan akar umbi. Hal ini kerana mereka melihat parti sendiri terpaksa “jing-jing” (diam-diam) dalam beberapa perkara yang diperjuangkan sebelum ini. Golongan ini tidak menolak, malah mengalu-alukan kerjasama dengan parti politik yang berbeza fahaman. Namun mereka kurang senang hati apabila melihat pemimpin parti seolah menggadaikan prinsip perjuangan asal demi memuaskan segala permintaan dan kepentingan kerjasama politik.
Perasaan kurang senang ini bertambah kuat apabila kerajaan Pakatan Harapan dilihat “u-turn” dalam beberapa isu seperti ICERD misalnya. Sebagai sebuah perjanjian antarabangsa yang berikrar menolak segala diskriminasi berunsurkan warna kulit, sudah tentu DAP menginginkan ratifikasi kerajaan terhadap ICERD. Namun apabila hal tersebut digugurkan kerana tekanan hebat dari pembangkang dan NGO-NGO Melayu-Islam, pemimpin DAP dilihat gagal mempertahankan perjuangan parti sendiri dengan baik, dan telah tunduk akur kepada tekanan golongan ultra-kanan.
Berbalik kepada kerjasama politik dengan parti politik arus perdana, dilema DAP dalam soal memikat pengundi Melayu-Islam, secara tidak langsung telah mendedahkan keterbatasan dalam politik Melayu-Islam itu sendiri. Pengundi hanya diberikan dua pilihan; di mana pilihan ketiga, keempat, dan seterusnya?
Beberapa percubaan telah diusahakan oleh DAP. Antara lainnya seperti inisiatif Sekolah Demokrasi yang diperkenalkan supaya anak muda Melayu lebih mengenali sejarah dan perjuangan parti tersebut dalam usaha melawan sentimen buruk ke atas mereka. Baru-baru ini, seorang ahli parlimen DAP juga turut dirakam telah berjaya memperkenalkan nama beliau di akhbar-akhbar Melayu arus perdana lantaran bantuan kebajikan yang dihulurkan kepada golongan yang memerlukan, walaupun ini turut mengundang skeptik dari terutama pihak yang tidak senang dengan DAP.
Selain DAP, beberapa pihak lain juga telah mengorak langkah memperbanyakkan lagi pilihan politik buat pengundi Melayu-Islam. Sebuah parti bernama Ikatan Demokratik Malaysia atau lebih dikenali sebagai MUDA telah ditubuhkan oleh pemimpin politik anak muda yang tersohor. MUDA menerima keahlian dari segenap lapisan masyarakat pelbagai usia, namun menekankan majoriti kepimpinan parti wajib terdiri daripada golongan belia. Terdapat juga beberapa orang pemimpin muda dari Parti Keadilan Rakyat (PKR) yang membincangkan gagasan “kosmopolitanisme” sebagai idea tawaran daripada mereka untuk pengundi.
Contoh-contoh di atas masih baru dan belum diuji oleh masa dan pilihan raya. Memandangkan politik negara sekian lama dikuasai oleh parti nasionalis dan agama, sudah tentu kewujudan parti politik lain yang berlandaskan tema yang berbeza, baik kebajikan ataupun usia, bakal menandakan lembaran baru dalam politik Melayu-Islam. Mampukah lembaran ini menjadi pilihan ketiga buat populasi terbesar Malaysia?
Daniel Teoh Tzu Yong adalah Setiausaha kepada salah seorang EXCO negeri Selangor. Lepasan Undang-undang dari Universiti of London ini berpengalaman dalam aktivisme hubungan antara kaum, pemerkasaan demokrasi dan pembangunan anak muda.
Foto: AFP
Waadat, Daulat, dan Keramat Rakyat
Di dalam konsep monarki Melayu, Raja itu pemegang dan pewaris Kedaulatan. Raja akan mangkat tetapi tidak bagi Daulat. ‘The Sovereign never dies’.