“Saya lihat orang kampung akan menjual kambing, kerbau atau tanah mereka untuk menunaikan haji. Sekembalinya mereka dari sana, mereka tiada ternakan dan sumber rezeki lagi. Sebab itu saya cetuskan idea penubuhan Lembaga Urusan dan Tabung Haji.” – Ungku Aziz (Mingguan Malaysia, Januari 2014)
Seperti yang kita tahu, kelmarin merupakan hari suram buat Malaysia, apabila Profesor Diraja Ungku Abdul Aziz Ungku Abdul Hamid, pergi mengadap Ilahi pada jam 4:30 petang. Ini adalah sebuah pemergian besar seorang wira, cendekiawan, pemikir dan tokoh yang banyak berjasa pada umat.
Isteri Almarhum, Toh Puan Azah Aziz adalah tokoh budayawan yang terkenal, dan anaknya, Tan Sri Dr Zeti Akhtar Aziz pulak adalah bekas Gabenor Bank Negara. Prof Ungku Aziz juga adalah sepupu kepada dua aktivis dan ilmuwan gergasi, Almarhum Prof Syed Hussein Alatas dan Prof. Syed Muhammad Naquib al-Attas. Kesemua mereka mempunyai susur galur keturunan dari Kerajaan Uthmaniah Turki, yang menjalin hubungan rapat dengan alam Nusantara Melayu sejak berzaman dahulu.
Ungku Aziz adalah pejuang bahasa dan budayawan tulen. Walaupun mempunyai keturunan Turki dan Inggeris, beliau tidak pernah canggung untuk mengaku dirinya Melayu, dan sentiasa kental dengan jati dirinya. Graduan PhD Universiti Waseda, Jepun ini juga sangat meminati bidang warisan kesusasteraan dan intelektual silam. Antara dapatan daripada kajian Prof Ungku adalah, masyarakat Melayu adalah masyarakat yang sudah lama berdagang sesama sendiri sebelum kedatangan Eropah.
Indeks Kain Sarung
Tokoh akademik tersohor - hanya satu-satunya dianugerahkan Prof Diraja pada 1978 ni merupakan Naib Canselor Universiti Malaya yang paling lama berkhidmat (1968-1988). Sesuai dengan latar belakangnya sebagai Ahli Ekonomi, kajian kemiskinan luar bandar sangat dekat dengan hati Almarhum. Daripada kertas kerja “Rancangan Membaiki Keadaan Ekonomi Bakal-bakal Haji”, lahirnya Tabung Haji dan juga ANGKASA (yang diasaskan bersama penggerak awal ABIM).
Selain itu, Bapa Koperasi Malaysia ini selalu menekankan yang koperasi adalah sebahagian daripada alat untuk keluarkan orang Melayu daripada kemiskinan. Beliau juga begitu dekat dengan nasib anak-anak Bumiputera yang miskin, yang mana baginya, hanya pendidikan lah yang akan mengubah nasib sesuatu bangsa.
Ungku Aziz terkenal sebagai keturunan diraja yang tidak pernah bersemayam di istana sehingga lahirnya “Indeks Kain Sarong” bagi menilai kemiskinan luar bandar berdasarkan jumlah kain sarung yang dimiliki sesebuah keluarga. Ketika sarjana Barat memperkenalkan pelbagai teori bombastik, Almarhum dengan tenang mencipta Teori Kain Sarung sebagai indeks tahap kemiskinan.
Ungku Aziz juga tidak segan mengkritik sikap bangsa Melayu yang padanya perlu bangkit untuk berubah. “Ini masalahnya. Orang selalu bercakap tentang sifat-sifat negatif Melayu - malas dan suka buang masa, misalnya - sehingga menimbulkan rasa rendah diri untuk mereka maju.” (Mingguan Malaysia, Mei 2005). Ketika mengulas RMK-9 pada 2009, Prof Ungku Aziz ada menyebut bahawa rasuah adalah virus yang membunuh kemajuan serta menggagalkan usaha-usaha perubahan yang sepatutnya dinikmati rakyat Malaysia.
Minda dan Kemiskinan: Jejak-jejak di Pantai Zaman
Ungku Aziz jugalah orang yang bertanggungjawab memasukkan perkataan ‘minda’ dalam kamus Bahasa Melayu. Istilah Inggeris yang asalnya asing ini sekarang menjadi perkataan yang biasa dalam percakapan seharian. Dalam buku “Jejak-Jejak di Pantai Zaman”, Ungku Aziz menghuraikan pendapat Pendita Za’ba tentang kemiskinan orang Melayu. Ini adalah sebahagian usaha membina watak bangsa yang maju yang selama ini dikhinati bangsa sendiri - yang mahu bangsanya terus membungkam dalam kegelapan. Za’aba menyebut bahawa kemiskinan orang Melayu masa itu merangkumi kekurangan pengetahuan dan potensi untuk memajukan diri.
Melalui puisi terkenal “A Psalm of Life” karya Longfellow, Ungku Aziz optimis mengeluarkan bangsa daripada mitos kolot pemimpin elit Melayu yang meletakkan Melayu sentiasa dalam ketakutan, menjadi bangsa yang bergantung harap kepada mereka dan seolah tidak boleh berjiwa merdeka.
Almarhum selalu tegaskan bahawa perlunya ada lebih ramai pemimpin Melayu yang garang dan berpendirian teguh. Cinta kepada budaya dan jati diri bangsa serta perlunya ada sikap saintifik dalam kalangan masyarakat sedari kecil. Dia jugak tekankan 4 perkara yang patut dibudayakan dalam kehidupan orang Melayu, iaitu kecemerlangan pendidikan, kesedaran kesihatan yang tinggi, cenderung kepada pemakanan yang berkhasiat dan menjauhi rasuah yang haram serta tidak mendatangkan keberkatan hidup.
Penutup
Ungku Aziz akan terus dikenang sebagai The Renaissance Man yang membuka pintu perkembangan dalam pembaikan dan pelaksanaan ekonomi negara. Beliau adalah pemikir dan intelektual yang telah mengubah hidup jutaan warga marhaen dengan idea-ideanya yang sangat genius dan membumi. Ungku Aziz mungkin sudah pergi meninggalkan kita, tetapi idealisme dan perjuangannya sepatutnya hidup seribu tahun lagi. Semoga Allah membalas jasa baik Almarhum dengan jannah tertinggi. Lahul Fatihah!
Che Din adalah seorang blogger sukan yang sukakan sejarah; seorang 'history buff'. Penyokong Merah Kuning ini juga seorang pengumpul tegar jersi langka Liga-M.
Foto ihsan BERNAMA
Waadat, Daulat, dan Keramat Rakyat
Di dalam konsep monarki Melayu, Raja itu pemegang dan pewaris Kedaulatan. Raja akan mangkat tetapi tidak bagi Daulat. ‘The Sovereign never dies’.