Perbezaan antara Parti MUDA dan Sayap Muda Parti Politik

Perbezaan antara Parti MUDA dan Sayap Muda Parti Politik

Perkataan ‘muda’ menjadi suatu bentuk jenama yang menjadi rebutan untuk melihat siapa yang paling layak mendapatkan kerusi menjelang PRU15.

Individu yang berada di luar parti politik seperti saya melihat situasi ini sebagai suatu yang agak kelakar memandangkan ahli angkatan muda sebuah parti tidak mampu membezakan antara parti MUDA dan kedudukan beliau dan kumpulannya sebagai ‘sayap muda’ dalam parti.

Jika beliau pernah terlibat dengan politik kampus selepas AUKU, saya pasti beliau akan mempunyai gambaran yang lebih jelas tentang situasi ini.

Medan melatih bakat kepimpinan

Selepas AUKU, Perwakilan Pelajar hanya berkuasa menguruskan isu-isu mahasiswa dalam kampus, misalnya menguruskan aduan tentang asap bas yang terlalu berdaki, masalah anjing yang mengganggu mahasiswa mahasiswi yang pulang dari perpustakaan, dan yang paling progresif adalah menganjurkan perhimpunan anti-Israel. Perwakilan Pelajar perlu memberi tumpuan terhadap isu-isu ini sebagai latihan melatih bakat kepimpinan kerana ‘merekalah yang akan mewarisi legasi kepimpinan negara pada masa hadapan. Suatu masa yang gemilang akan tiba apabila mereka keluar kampus cukup sekian-sekian umur untuk mengetahui hal negara dan menjadi pemimpin utama.’

Sayap-sayap parti juga begitu. Dengan menggunakan limitasi umur untuk menentukan sama ada anda berhak sertai parti atau sayap, jangkaan adalah anda berada dalam sayap parti untuk belajar mengurus organisasi, belajar menguruskan perbezaan dalam mencapai kata sepakat, belajar membina jaringan hubungan, belajar tentang polisi dan politik negara. Hal ini penting kerana ‘merekalah yang akan mewarisi legasi kepimpinan parti pada masa hadapan. Suatu masa yang gemilang akan tiba apabila mereka cukup umur untuk menguruskan hal-hal yang lebih kritikal dalam parti seperti berunding kerusi.’

Jika anda mengatakan bahawa, ‘Ah, ini tentunya merendah-rendahkan kredibiliti dan keupayaan diri!”

Saya ingin mengucapkan tahniah atas kesedaran ini, kerana begitulah anda yang berada dalam sayap parti.

Parti MUDA

Berlainan dengan parti MUDA, mereka adalah parti utama. Suatu entiti yang tidak memerlukan lindungan-naungan-payung-tongkat dari mana-mana parti ibu/bapa. Mereka bebas untuk berjumpa dengan mana-mana kepimpinan utama parti untuk berbincang dan bernegosiasi.

MUDA tetap muda tanpa batasan umur dan tanpa segregasi umur untuk meletakkan ahlinya sayap, paruh, bulu atau tapak kaki.

Jika anda cemburu melihat ahli MUDA bebas berjumpa dengan pemimpin utama parti atau bahasa yang lebih rempit iaitu ‘sailang’, sedarlah yang mereka berhak atas kapasiti mereka sebagai antara parti yang bakal bertanding pilihan raya nanti.

Sayap muda bagaimana?

Segala bentuk keinginan daripada sayap muda yang ingin mendapat hak dan keistimewaan yang sama perlulah dinyatakan setegasnya kepada kepimpinan. Berkicau di media sosial dan secara terus menyerang parti MUDA kelihatan seperti anak-anak yang merengek tidak diberi perhatian oleh penjaga sedangkan penjaga sedang sibuk bekerja − saya juga faham, penjaga bekerja perlu memberi perhatian kepada anak-anak juga. Belajarlah menguruskan keperluan anak untuk mengelak anak tantrum.

Sayap muda boleh terlihat ampuh sekiranya mereka sedar diri untuk fokus terhadap isu sosioekonomi anak muda, mendekati dan memahami keperluan anak muda di bandar dan di luar bandar supaya mampu membina kapasiti tanpa dibayangi parti ibu/bapa. Kukuhkan angkatan muda di setiap negeri dengan pelaksanaan program kesukarelawanan, pendidikan politik, setiap masa − tanpa menunggu pilihan raya.

Memualkan apabila melihat sayap muda mula bercakap tentang pembahagian kerusi, kerana kami, pengundi yang juga masih muda dan berada di luar parti sudah cukup muak dengan ahli politik tua yang juga tidak habis-habis dengan pembahagian kerusi − bahagi kawasan. Maka, apa maknanya menjadi muda dengan kehalobaan seperti yang tua?

Tukang pacak bendera

Inilah bezanya mentaliti anak muda dalam Pakatan Harapan (maaf, kerana nila setitik rosak susu sebelanga) dan BN - PN. Anak muda dalam BN tidak kisah untuk memacakkan bendera bagi pihak parti komponen/kerjasama lain demi matlamat utama iaitu menang bersama-sama. Kalau ada pun rasa sesal sebal, mereka tidak berkicau di media sosial.

Sama ada MUDA yang mesra pemodal ini trojan horse atau bukan, kami tidak kisah. Kami pernah menyaksikan parti kawan tikam kawan. Kami pernah menyaksikan kerajaan runtuh selepas mandat. Apa lagi yang seteruk itu akan berlaku?  Kami pengundi yang tidak perlu dilindungi.

Menjadi lebih besar daripada ‘privilege’ perkataan muda

Siapa agaknya yang mengatakan menjadi muda adalah segala-galanya sehingga ramai orang ingin guna perkataan ‘muda’ untuk meminta layanan sekian-sekiannya?

“Pilihanraya kali ini tentang kita semua.”

Setelah Langkah Sheraton, kita melihat mabuk-mabuk kuasa. Setelah selesai pemilihan parti, kita melihat mabuk-mabuk kerusi.

Kesialannya, kita tidak boleh lagi menyalahkan ahli politik tua, kerana yang muda, dalam hal merebut kerusi, sama naiknya.

Semestakata; setiap malam mendengar suara semesta.

Kredit foto: Malaysiakini

Share this Post: