PERANAN HISTAMIN DALAM BERLAKUNYA ALAHAN

PERANAN HISTAMIN DALAM BERLAKUNYA ALAHAN

Histamin atau nama lainnya 2-[4-imidazolyl]ethylamine adalah bahan kimia yang tergolong dalam kumpulan amina.

Histamin terbentuk hasil proses decarboxylation iaitu pembuangan kumpulan carboxyl pada struktur molekul asid amino histidin.

Histamin pertama kali disintesis pada tahun 1907 oleh Windaus dan Vogt tanpa mengetahui molekul itu sebenarnya wujud secara semula jadi dalam tubuh manusia dan haiwan.

Pada tahun 1910, saintis Inggeris bernama George Barger dan Henry H. Dale pertama kali mengekstrak molekul histamin daripada tumbuhan kulat ergot.

Seterusnya pada tahun 1911, histamin diekstrak pula daripada tisu haiwan.

Perkataan histamin berasal daripada perkataan histos, yang bermaksud tisu.

Dalam tubuh manusia, histamin didapati dalam hampir semua tisu badan. Histamin disimpan terutamanya dalam bentuk granula di sel masts iaitu sel-sel yang terdapat dalam tisu penghubung di seluruh badan kita. Sel masts merupakan sebahagian daripada sistem imun badan.

Histamin merupakan bahan kimia yang penting untuk pelbagai tindak balas biologi di dalam tubuh manusia.

Antara fungsi utama histamin dalam tubuh manusia adalah sebagai neurotransmitter yang membawa mesej ke otak, memberi signal bagi pembebasan asid perut untuk membantu penghadaman dan dirembeskan ketika berlakunya kecederaan atau alahan sebagai sebahagian daripada tindak balas imun.

Dalam tindak balas sistem imun untuk melindungi badan daripada bendasing yang berbahaya seperti virus atau bakteria, histamin akan dilepaskan ke sel yang berdekatan dan menyebabkan salur darah mengembang serta kulit di sekitar kawasan jangkitan membengkak.

Mekanisme perlindungan ini adalah bertujuan untuk mengelakkan jangkitan daripada merebak ke kawasan tubuh yang lain. Salur darah yang mengembang membolehkan lebih banyak sel darah putih dihantar di kawasan tersebut untuk melawan jangkitan. Manakala, kulit yang membengkak menyukarkan jangkitan untuk merebak ke kawasan yang lain.

Hasil tindakan histamin itu, reaksi tindak balas seperti hidung berair dan tersumbat, bersin, gatal pada mata, kulit membengkak serta muncul ruam kemerahan akan berlaku.

Kesan histamin juga boleh mengganggu saraf yang terdapat dalam kulit sehingga menyebabkan kulit menjadi gatal. Ini dipanggil reaksi alahan.

Walau bagaimanapun, dalam keadaan tertentu ketika sistem imun badan mengesan bendasing yang tidak berbahaya seperti hama atau debunga, histamin masih juga akan dilepaskan sebagai tindak balas sistem imun untuk melindungi dan melawan bendasing tersebut seperti mana melawan bendasing yang berbahaya tadi.      

Dalam keadaan seperti ini, histamin perlu disekat, iaitu dengan menggunakan ubat antihistamin bagi mengurangkan simptom alahan yang disebabkan oleh histamin.

Apabila tahap histamin menjadi terlalu tinggi atau apabila tidak boleh dipecahkan dengan betul, histamin boleh menjejaskan fungsi normal badan.

Selain faktor luaran seperti hama dan debunga yang mencetuskan alahan, makanan juga boleh menjadi punca kepada terjadinya alahan.

Histamin juga turut terlibat dalam proses tindak balas alahan makanan. Sesetengah makanan secara semula jadi mempunyai histamin. Pengambilan makanan ini walaupun tidak berbahaya, akan menimbulkan simptom alahan.

Antara makanan yang tinggi histamin termasuklah makanan yang diperap, produk tenusu seperti yogurt, buah-buahan kering, alkohol, terung, cendawan, daging yang diproses serta beberapa makanan lain lagi.

Makanan yang telah rosak juga mengandungi tahap histamin yang tinggi. Jika anda termakan makanan yang telah rosak ini, anda berkemungkinan akan mengalami simptom alahan yang disebabkan oleh tindak balas histamin.

Selain itu, terdapat juga makanan yang menjadi pencetus sistem imun melepaskan histamin. Antaranya ialah coklat, tomato, kekacang, pisang, pewarna makanan dan buah-buahan yang masam.

Adalah penting untuk mereka yang mengalami alahan untuk ambil tahu jenis-jenis makanan yang mengandungi histamin dan jenis-jenis makanan yang menjadi pencetus sistem imun melepaskan histamin.

Bagi mengelakkan kesan buruk histamin si pencetus alahan ini, amalkan diet rendah histamin seperti sayur-sayuran, daging segar, makana bijirin seperti nasi, pasta dan roti.

Syarmila Ishak merupakan anak Kedah yang mahu rantau seluruh dunia dan minat membaca novel tentang kehidupan atau apa-apa sahaja bacaan yang memberi inspirasi.

Rujukan:

https://www.makatimed.net.ph/blogs/understanding-the-role-of-histamine-in-allergic-reactions/

http://www.myhealth.gov.my/en/antihistamin/

https://www.healthline.com/health/histamine-intolerance#diet

(Kredit foto: Tribunnews.com)

Share this Post: