Dalam gelanggang perbahasan ideologi liberalisme, Thomas Hobbes sering disisihkan sebagai perintis awal ideologi ini. Alasannya, wujud penegasan-penegasan dalam tulisan beliau yang mempertahankan autoriti berdaulat (authority of sovereign) pemerintah terhadap subjek, sehinggakan beliau digelar sebagai pendukung kemutlakan (absolutism) dan pemerintahan autoritarian.
Penulisan-penulisan Hobbes malah dikatakan begitu bertentangan dan berlawanan dengan liberalisme sejati (Owen 2005: 131). Tidak disangkali, Hobbes sememangnya menyokong penubuhan sebuah kerajaan yang kuat, yang memusatkan kuasanya dan mempertahankan undang-undang serta ketenteraman. Kerajaan menurut gayanya ini seolahnya menidakkan beberapa bentuk kebebasan, misalnya kebebasan bersuara, beragama, berpersatuan dan sebagainya. Adapun berkenaan pernyataan ini, Hobbes punya hujahnya yang tersendiri.
Seperti yang kita ketahui, Hobbes semasa hayatnya dihidangkan dengan keadaan dan suasana kehidupan yang masyarakatnya sentiasa berperang, kucar-kacir dan penuh dengan ketakutan (Wilkins 2014: 84). Beliau mengambarkan suasana pada zamannya itu dengan mengatakan bahawa ketika kelahirannya, ibunya bukan sahaja melahirkan dirinya, namun ada kembar yang keluar seiring bersamanya, yakni ketakutan (Klosko 2013: 48). Maka tidak hairanlah beliau begitu mendokong penubuhan sebuah kerajaan yang kuat dan hanyalah dengan kerajaan yang kuat ini, pengecapan keamanan dan kestabilan dapat dirasai (Wilkins 2014: 85).
Sarjana Leo Strauss adalah diantara ilmuan pemula yang cuba untuk mengangkat Hobbes sebagai penemu kepada liberalisme. Menurutnya, ada dua sebab mengapa Hobbes layak digelar sebagai ‘Bapa Liberalisme’ kerana pemikirannya yang dicirikan dengan dua asas penyungguhan, yakni ; “(1) that the fundamental moral fact is the existence of the rights of man, instead of an original duty; and (2) that the office of the state is to preserve natural right in the person of each individual, rather than ‘creating or promoting a virtuous existence in humankind’ ” (Lucien 2007: 199).
Strauss turut mengatakan bahawa faham kemutlakan yang dibawa Hobbes sebenarnya adalah liberalisme yang masih dalam proses pembuatan (Keedus 2012: 321). Sungguhpun begitu, kenyataan Strauss terhadap keliberalan penulisan Hobbes memunculkan sebuah paradoks yang baharu. Jika Hobbes adalah liberal dalam penulisannya, bagaimana dalam masa yang sama falsafah politiknya adalah berteraskan kepada faham kemutlakan, yang terang-terang bertentangan dengan liberalisme. Maka, Hobbes adalah seorang yang liberal dan tidak liberal (illiberal) pada detik waktu yang sama, dan Leviathan, magnum opusnya adalah karya acuan yang membingungkan (Lucien 2007: 200). Walaubagaimanapun, adanya paradoks ini masih tidak dapat menafikan semaian awal benih liberalisme oleh Hobbes, atau secara akademiknya disebut sebagai idea proto-liberal yang wujud dalam penulisannya.
Hobbes mengatakan bahawa keadaan semulajadi (state of nature) adalah sebuah kondisi kebebasan, dimana tidak ada wujudnya institusi kerajaan atau seseorang memilik autoriti ke atas individu yang lain (Ball et al. 2014: 52) dan baginya, ini adalah kondisi terburuk bagi manusia (Owen 2005: 134) kerana keadaan semulajadi ini akan mendorong manusia kepada fitrahnya, iaitu “the life of man, solitary, poor, nasty, brutish, and short” (Hobbes 1996: 84) dan keadaan semulajadi akan berubah menjadi keadaan berperang (Ball et al. 2014: 53).
Hobbes kemudian membayangkan adanya kesepakatan sesama manusia ini untuk keluar daripada keadaan tersebut, dengan membentuk kontrak sesama mereka bagi membentuk sebuah autoriti, yang kemudiannya digelar Kontrak Sosial (Social Contract) oleh sarjana mendatang (Wilkins 2014, 86). Pendapat yang dikeluarkan Hobbes ini tidak ubah sepertimana enigma kewujudan terdahulu ayam atau telur. Ini kerana, pembentukan sebuah autoriti atau kerajaan tidak boleh berlaku sekiranya tiada kesepakatan kontrak yang berlaku, begitu juga kesepakatan kontrak tidak akan terjadi tanpa penguatkuasaan sesebuah kerajaan.
Cara untuk keluar daripada dilema ini hanyalah dengan adanya persetujuan serentak diantara kesemua individu yang berada dalam keadaan semulajadinya, seraya membentuk kerajaan sebagai badan autoriti. Ini kerana, penubuhan sebuah negara atau kerajaan hanya boleh berlaku dengan persetujuan kesemua pihak (Klosko 2013: 71) dan persetujuan itulah yang akan menentusahkan kerajaan tersebut(Malcolm 2016: 119), sepertimana apa yang ditulis beliau dalam Leviathan (Hobbes 1996: 115), “A commonwealth is said to be instituted, when a multitude of men do agree, and covenant, every one, with every one”. Faham kekontrakan (contractarianism) atau Kontral Sosial awal gaya Hobbes sudah jelas menunjukkan sisi liberal penulisan beliau.
Selain itu, Hobbes turut mendatangkan idea tentang kebebasan dalam tulisannya. Dalam Leviathan, beliau mentakrifkan kebebasan sebagai ketiadaan halangan luaran (external impediment). Beliau turut menyatakan tentang hak semulajadi (the right of nature) manusia, yakni kebebasan seseorang untuk menggunakan kuasanya, memenuhi kehendaknya dan untuk pemeliharaan fitrahnya (Hobbes 1996: 86). Jika diteliti, takrif kebebasan yang diberikan oleh Hobbes adalah tidak jauh bezanya dengan apa yang digunakan ahli teori moden. Misalnya, Norman P. Barry dalam bukunya, An Introduction to Modern Political Theory, turut mendefinisikan takrif kebebasannya sebagai ketiadaan halangan (1995: 206).
Jelas daripada petikan buku Leviathan itu, buah fikiran Hobbes tentang kebebasan lebih memfokuskan kepada bentuk ‘kebebasan dari’ (Wilkins 2014: 87), yang mana teori ini kemudiannya dimodernasi oleh Isaiah Berlin sebagai sebuah konsep kebebasan negatif (1969: 15-16). Dapat kita lihat bahawa, Hobbes lebih mempedulikan tentang apa yang tidak akan berlaku kepada manusia, berbanding tentang apa yang bakal berlaku (Wilkins 2014: 87). Bagaimanapun, undang-undang awam dilihat masih mengehadkan kebebasan seseorang, dimana individu tersebut masih perlu mengikut arahan pihak yang berautoriti dan berdaulat serta akan dihukum jika tidak mematuhinya. Namun Hobbes menyanggahnya dengan mengatakan, masuknya seseorang itu ke dalam sebuah kontrak pendirian kerajaan tidak akan melimitasi kebebasannya, kerana kebebasan seperti yang disebutkan, adalah tiang utama dalam sebuah ‘kontrak’ hak semulajadi, dan ianya tidak adil sekiranya kontrak ini bercanggah atau terbatal kerana masuknya individu tersebut ke dalam kontrak yang lain.
Apa yang dihadkan dalam undang-undang awam tersebut hanyalah perlu dianggap sebagai sebuah halangan moral, dan selagimana undang-undang tidak menyebut tentang ketidakbolehan dalam melakukan perkara-perkara yang tertentu, makanya ia boleh dilakukan oleh individu tersebut (Ryan 2007: 91-92).
Sebagai kesimpulan, medan pusat falsafah politik Hobbes adalah pemindahmilikan hak semulajadi manusia kepada sebuah kuasa autoriti yang berdaulat dengan harapan adanya capaian keamanan sosial. Juga, tidak dapat dinafikan bahawa memang wujud semaian-semaian awal liberalisme oleh Hobbes, namun beliau masih lagi janggal dan tidak masuk akal untuk dianggap sebagai pemikir liberalisme, jauh sekali sebagai pendiri liberalisme dalam dunia akademik, disebabkan oleh salutan absolutismenya yang begitu ketara dalam Leviathan, dan karya-karya lainnya. Mungkin beliau bukan petarung pertama dalam gelanggang liberalisme, namun beliaulah individu terawal yang bergelut dan bertatih akan seni tarungnya.
Luqman Rosli adalah seorang lelaki pasif dari bumi Srengenge yang cuba bergelut dengan dunia falsafah perang, politik angkasa dan sejarah Kedah. Moganya dia berjaya.
Foto: Bridgeman Art Library
Waadat, Daulat, dan Keramat Rakyat
Di dalam konsep monarki Melayu, Raja itu pemegang dan pewaris Kedaulatan. Raja akan mangkat tetapi tidak bagi Daulat. ‘The Sovereign never dies’.