Pentingnya Kesihatan Mental

Pentingnya Kesihatan Mental

Pada masa ini, seluruh dunia dilanda wabak Coronavirus atau lebih dikenali sebagai Covid-19 sejak tahun 2019. Wabak Covid-19 merupakan satu virus yang sangat berbahaya sehingga mampu merebak melalui sentuhan dan udara. Masyarakat dinasihatkan untuk duduk di rumah bagi mengekang penularan wabak ini. Tambahan pula, aktiviti sosial dan ekonomi telah dihadkan bagi membendung penularan wabak tersebut.

Dengan pengehadan aktiviti ekonomi, ramai orang telah hilang mata pencarian mereka. Ramai orang telah terpaksa diberhenti kerja bagi mengurangkan beban kewangan tempat kerja mereka. Keadaan ini telah menimbulkan satu lagi masalah dalam kalangan masyarakat iaitu masalah kesihatan mental.

American Psychiatric Association pada tahun 2013 menyatakan masalah kesihatan mental berlaku apabila seseorang individu mengalami gangguan emosi atau perasaan yang boleh menyebabkan fungsi kehidupan seharian tidak mencapai tahap yang optima. Kesihatan mental pula ditakrifkan oleh World Health Organization pada 2004 sebagai keadaan kesejahteraan mental di mana seseorang menyedarinya potensinya, boleh berdaya tindak terhadap tekanan kehidupan seharian, boleh bekerja dengan produktif, dan boleh menyumbang kepada masyarakat.

Keadaan masa ini telah menyebabkan ramai orang menghadapi banyak masalah dari segi ekonomi, sosial, dan terutamanya masalah kesihatan mental. Namun begitu, sebanyak 44% rakyat Malaysia berkata bahawa Covid-19 telah memberi kesan negatif kepada kesan mental mereka. Peratusan ini telah dinyatakan oleh Independent Polling System Of Society, Academic & Science Societies atau dikenali IPSOS. Peratusan ini telah menunjukkan bahawa masalah kesihatan mental semakin hari semakin meningkat.

Selain itu, Institute for Public Health 2018 , National Health and Morbidity Survey telah menyatakan seramai 424 , 000 daripada 9.24 juta kanak-kanak dan remaja mengalami masalah kesihatan mental. Ini menunjukkan bahawa kesihatan mental bukan sahaja dihadapi oleh golongan yang bekerja atau bekerjaya malah kesihatan mental dihadapi oleh semua lapisan masyarakat. 

Masalah kesihatan mental perlu diberi perhatian oleh semua pihak dari semua lapisan masyarakat. Terdapat beberapa kesan yang mampu dialami oleh seseoramg apabila kesihatan mental ini diabaikan. Antaranya adalah gangguan bipolar ini mampu berlaku akibat mania yang berada di tahap yang tinggi dan kemurungan yang melibatkan kelesuan secara mental dan fizikal. Sebaliknya, ramai orang dalam kalangan masyarakat masih lagi memberi tanggapan yang salah terhadap seseorang yang mengalami masalah bipolar.

Masyarakat sering menyamakan gangguan bipolar dengan masalah perpecahan identiti . Terdapat perbezaan antara gangguan bipolar dan perpecahan identiti. Perpecahan identiti merupakan sebahagian besarnya berasal dari keadaan yang pernah dikenali sebagai gangguan keperibadian yang pelbagai atau sekarang dikenali sebagai gangguan identiti disosiatif manakala gangguan bipolar pula tidak mempengaruhi identiti seseorang. Sebaliknya, gangguan bipolar akan menyebabkan seseorang itu akan mengalami kemurungan dan mania. Menurut National Health Service pada tahun 2019 menyatakan bahawa apabila seseorang menghadapi kemurungan, mereka akan berasa mereka tidak mampu menghadapi hari-hari mereka. Selain itu, seseorang yang menghadapi mania , mereka akan berasa mereka mampu melakukan apa sahaja. Kedua-duanya adalah bahaya untuk kesihatan mental seseorang. 

Kesan masalah kesihatan mental selain daripada  gangguan bipolar adalah gangguan stres pasca trauma. Gangguan stres pasca trauma atau lebih dikenali sebagai PTSD berpunca apabila seseorang yang mengalami kejadian yang mengejutkan, menakutkan atau berbahaya sehingga menjurus kepada PSTD. Ketakutan ketika atau selepas situasi traumatik adalah normal. Ia akan mencetuskan perubahan yang mampu membantu seseorang mempertahankan dirinya daripada bahaya atau menghindari dirinya sebagai perlindungan. Namun begitu, mereka yang mengalami masalah secara berterusan selepas kejadian trauma mungkin didiagnosis dengan PTSD dan mereka akan berada dalam keadaan tertekan ataupun bahaya walaupun mereka bukan dalam keadaan bahaya.

Terdapat beberapan simptom seseorang itu menghadapi masalah kesihatan mental yang berkaitan dengan PTSD. Antara simptomnya adalah simptom mengalami semula. Simptom mengalami semula berlaku apabila seseorang itu mengimbas kembali kejadian traumatik yang berlaku pada dirinya. Seseorang yang mempunyai simptom ini akan menghadapi mimpi buruk sewaktu mereka  tidak. Simptom kedua adalah simptom perubahan dalam reaksi . Seseorang yang mengalami simptom perubahan dalam reaksi akan  mudah terkejut dan berasa cemas. Mereka juga akan menghadapi kesukaran untuk tidur dan mudah marah. 

Skizofrenia juga merupakan salah satu masalah kesihatan mental. Skizofrenia merupakan istilah yang berasal daripada bahasa yunani yang membawa maksud pecah minda. Penyakit skizofrenia ini merupakan penyakit kesihatan mental yang melibatkan tiga aspek iaitu pemikiran, kelakuan serta perasaan.  Skizofrenia juga merupakan masalah mental yang teruk dengan ciri-ciri kecacatan secara berterusan pada penerimaan seseorang pada gambaran alam realiti. Seseorang yang mengalami masalah skizofrenia biasanya akan menunjukkan pemikiran yang tidak teratur dan mungkin  mengalami delusi atau halusinasi pendengaran.

Walaupun penyakit ini biasanya memberi kesan kepada kognitif, ia juga menyumbang kepada masalah teruk dengan tingkah laku atau emosi. Penyakit mental ini merupakan salah satu penyakit yang dianggap kronik dan boleh berulang. Walaupun kadar berlakunya penyakit skizofrenia tidak setinggi kadar penyakit kemurungan atau penyakit mental utama yang lain, tetapi ianya boleh menjadi penyakit yang paling menjejaskan fungsi hidup sesorang individu sekiranya tidak dirawat pada peringkat awal.

Terdapat beberapa kesan yang berbahaya sekiranya kesihatan mental dipandang enteng. Semua pihak perlulah bersatu dan berusaha dalam membantu masyarakat yang mengalami masalah kesihatan mental ini. Sekiranya masalah kesihatan mental masih lagi dipandang rendah, maka, masalah kesihatan mental ini akan semakin berleluasa dan mampu meragut banyak nyawa. Semoga semua pihak akan lebih peka dengan masalah kesihatan mental ini supaya dalam membentuk persekitaran yang lebih sihat dari segi fizikal dan terutamanya mental.

Firdaus Anuar merupakan anak jati Pulau Pinang. Seorang yang aktif dalam penulisan berkaitan isu sosial semasa dan aktivisma anak muda di Pulau Pinang. Penulisannya ditanda dengan tanda pagar #MalaysiakuBersaudara

Foto: Tadamichi / stock.adobe.com

Share this Post: