Sejak kebelakangan ini, kita dapat lihat semakin ramai penjaja di tepi jalan terutama di persimpangan lampu isyarat. Bermula dengan jeruk mangga RM10, kini juga ada yang menjual air minuman dan pelbagai juadah lagi. Ramai antara mereka mula berniaga sejak PKP 1.0 yang lalu. Kenapa aktiviti menjaja tepi jalan kini berleluasa dan adakah langkah yang diambil oleh kerajaan untuk memberi saman kepada pembeli dan penjual langkah yang terbaik?
Terdapat ramai pihak yang berjaya bertemu bual bersama penjaja ini. Ramai antara mereka berkongsi pengalaman yang bermula selepas dibuang atau diberhentikan kerja semasa PKP 1.0 yang lepas. Oleh sebab itu, mereka terpaksa mencari jalan dan cara lain untuk mencari sumber pendapatan untuk menyara keluarga mereka. Tidak dinafikan bahawa ramai orang telah hilang sumber pendapatan semasa PKP 1.0 dan mula berniaga secara kecil-kecilan. Semasa PKP 1.0 juga, terdapat lebih ramai peniaga yang berdaftar atas platform e-dangangan atas talian seperti Shopee dan Lazada.
Antara sebab bisnes jual jeruk mangga menjadi pilihan ramai adalah kerana kos modal atau kos permulaan yang sangat rendah. Bukan macam bisnes lain, jeruk mangga tidak memerlukan mesin khusus seperti dapur atau ketuhar untuk menghasilkannya. Disamping itu, kos untuk membuat jeruk mangga sangatlah murah dan cara membuatnya agak mudah untuk dipelajari. Walau bagaimanapun, demi mendapat jualan yang tinggi, ramai penjaja terpaksa berjemur di bawah terik panas matahari atau meredahi hujan.
Cara penjualan di simpang lampu isyarat juga merupakan satu risiko yang tinggi kerana boleh meragut nyawa jika tidak berhati-hati. Demi mencari pendapatan untuk menyara keluarga yang disayangi, mereka ini sanggup melakukan apa sahaja untuk meneruskan kelangsungan hidup. Sesiapa yang kata Melayu bangsa malas, patut lihat sendiri pengorbanan yang dilalui oleh penjual mangga.
Peningkatan pada bilangan penjaja tepi jalan boleh dijadikan satu pentunjuk kepada keadaan ekonomi. Dengan lebih ramai penjaja di tepi jalan, ini dilihat sebagai peningkatan dalam jumlah pengangguran. Pengangguran boleh dibahagikan kepada tiga jenis dan jenis pengangguran yang berlaku sekarang adalah pengangguran kitaran. Ini berlaku apabila agregat permintaan jatuh, menyebabkan pengeluaran berkurang dan pekerja atau buruh terpaksa diberhentikan.
Dalam erti kata lain, ini berlaku apabila orang ramai kurang berbelanja, menyebabkan syarikat-syarikat dan firma untuk mengurangkan pengeluaran dan membuang pekerja. Ia dinamakan pengagguran kitaran kerana akibat daripada dibuang kerja, masyarakat tidak akan mempunyai sumber pendapatan dan perbelanjaan akan berkurangan dan proses kitaran dapat dilihat di situ.
Walaupun para penjaja dapat dilihat berleluasa di seluruh negara, tiada apa-apa langkah atau inisiatif baik yang diambil oleh kerajaan, sebaliknya, kerajaan telah memberi amaran keras kepada penjual dan pembeli di persimpangan jalan raya. Kompaun atau saman akan dikenakan kepada kedua-dua penjual dan pembeli sekiranya didapati bersalah. Bayangkan jikalau penjaja kecil, yang mencari rezeki untuk menyara keluarga dikenakan kompaun yang tinggi, ini bagaikan jatuh lagi ditimpa tangga!
Jika kerajaan benar-benar prihatin dengan masalah rakyat, kerajaan sepatutnya menyediakan platform atau tempat yang sesuai bagi peniaga-peniaga kecil ini. Mengenakan kompaun dan memberi saman tidak akan menyelesaikan masalah utama iaitu pengangguran. Kerajaan juga boleh menyediakan peluang pekerjaan untuk mereka. Sekurang-kurangnya, war-war kepada mereka tentang peluang pekerjaan di luar sana.
Kerajaan berkata, mengeluarkan kompaun dan saman adalah untuk mengelakkan dan mengurangkan lebih ramai penjaja daripada menjalankan aktiviti di jalan raya, atas sebab keselamatan. Terdapat pakar ekonomi yang berpendapat bahawa pihak kerajaan ingin menyembunyikan masalah dan kesengsaraan yang dihadapi rakyat. Bagi kerajaan, masalah tidak wujud jika tidak dapat dilihat.
Disamping itu juga, peningkatan dalam kadar penjaja tepi jalan akan memberikan imej yang buruk kepada negara. Malaysia akan dilihat sebagai negara dunia ketiga atau negara miskin yang rakyatnya hidup dalam kesusahan. Sebagai contoh, kita lihat di negara-negara miskin, terdapat ramai penjaja haram yang meniaga di atas bahu jalan raya. Kadar kematian dan kemalangan yang melibatkan para penjaja juga tinggi di negara-negara miskin sedemikian.
Apabila dilihat sebagai negara dunia ketiga atau negara miskin, para pelabur yang membawa pelaburan tidak akan tertarik dengan keadaan ekonomi di Malaysia. Lebih baik mereka melabur di negara dengan ekonomi kurang teruk dan masyarakat hidup bahagia, berbanding melabur di Malaysia. Benarkah kata-kata Menteri Perdangangan bahawa “Malaysia memilih pelabur dan bukan Malaysia tidak menerima pelabur?” Dengan hujah-hujah dan contoh yang disampaikan, bolehlah nilaikan sendiri sama ada Malaysia yang memilih atau pelabur yang lari.
Kesimpulannya, aktiviti menjaja di simpangan jalan seperti cendawan tumbuh selepas hujan, atau lebih tepat lagi 'ribut' PKP 1.0. Langkah kerajaan untuk membendung aktiviti ini bukanlah langkah yang terbaik. Kerajaan prihatin ini sepatutnya memahami masalah yang dihadapi terlebih dahulu sebelum mengambil apa-apa langkah pembendungan.
Menjaja di tepi jalan memerlukan semangat dan dedikasi yang tinggi disamping muka yang tebal untuk menghadapi rasa malu. Hargai dan hormatilah perjuangan setiap orang untuk mencari rezeki masing-masing.
Azi Amir adalah seorang pelajar kolej yang meminati bidang ekonomi dan sering mengejar jawapan kepada banyak persoalan yang wujud di sekeliling beliau.
Foto: MStar
Waadat, Daulat, dan Keramat Rakyat
Di dalam konsep monarki Melayu, Raja itu pemegang dan pewaris Kedaulatan. Raja akan mangkat tetapi tidak bagi Daulat. ‘The Sovereign never dies’.