Telah tular baru-baru ini satu video yang menunjukkan para pekerja dalam satu syarikat perkhidmatan penghataran barang, J&T, mogok dengan membaling dan mencampak barang-barang pelanggan mereka. Ada juga yang mogok dengan tidak bekerja. Bukan itu sahaja, ada juga luahan hati seorang rider restoran fast-food, McDonald’s yang menceritakan bahawa status mereka telah bertukar daripada rider kepada ejen penghantaran makanan sahaja. Oleh sebab itu, mereka kini tidak dapat menikmati gaji basic, tiada caruman KWSP, SOCSO dan PERKESO. Jadi apa yang berlaku sebenarnya? Kenapa pekerja dipotong gaji dan sebagainya walaupun syarikat besar masih menjana keuntungan?
Bagi sesebuah firma, mereka selalu mempunyai satu daripada dua objektif, antara memaksimumkan keuntungan atau memaksimumkan jualan. Umum mengetahui bahawa syarikat J&T ini adalah syarikat baharu yang menyertai industri penghantaran barang. Mereka selama ini telah mempunyai objektif maksimumkan jualan untuk menonjolkan jenama di pasaran. Dengan menyediakan perkhidmatan yang murah, tentu lebih ramai pelanggan akan menggunakan mereka. J&T juga membayar rider dan rakan penghantar dengan komisyen yang tinggi, untuk menarik lebih ramai rider dan rakan penghantar. Objektif maksimumkan jualan ini selalunya tidak menguntungkan dan hanya sekadar untuk membesarkan dan menonjolkan syarikat.
Dengan mempunyai lebih ramai rider, sudah tentu penghantaran mereka akan lebih laju dan pantas. Oleh sebab itu juga, pelanggan akan tertarik untuk menggunakan perkhidmatan yang disediakan oleh J&T. Sebelum ini, dikhabarkan bahawa rider dan rakan penghantar J&T menerima komisyen sebanyak lebih dari RM1 bagi setiap penghantaraan yang diselesaikan.
Apabila pihak pengurusan berpuas hati dengan situasi syarikat, operasi pembesaran ditamatkan. Jadi mereka akan menukar ke objektif jangka masa panjang iaitu untuk maksimumkan keuntungan. Bagi maksimumkan keuntungan, sebuah syarikat akan selalunya meningkatkan harga jualan atau perkhidmatan, sambil menggurangkan kos operasi. Pengurangan komisyen yang dilakukan oleh J&T kepada RM0.30 bagi setiap penghantaran jelas menunjukkan bahawa mereka kini sedang menjalani proses untuk menggurangkan kos operasi. Dengan membayar komisyen lebih rendah, keuntungan mereka akan berlipat kali ganda.
Bagi syarikat McDonald’s pula, sebab utama mereka menukar status rakan penghantar atau rider kepada ejen adalah kerana mereka tidak perlu lagi bertanggungjawab dalam memberikan gaji basic, menyediakan caruman KWSP, SOCSO dan PERKESO. Ini dapat mengurangkan kos operasi syarikat. Disebabkan rider kini digelar ejen, mereka bukan lagi pekerja bagi syarikat tersebut secara langsung. Oleh sebab pekerjaan mereka agak berbahaya, ejen penghantar terpaksa mencarum sendiri insurans dari pihak luar, yang harganya agak mahal.
Tambahan pula, ada yang menceritakan bahawa McDonald’s menindas lagi ejen mereka dengan membawa masuk lebih ramai ejen penghantar makanan sehinggakan ada dalam kalangan mereka yang menerima potongan kerja hingga separuh di samping potongan gaji. Dahulu sempat hantar 10 kali dalam sehari, kini hanya lima kali sahaja dalam sehari. Ejen juga dibayar mengikut komisyen, maka untuk setiap penghantaran, ejen akan menerima sejumlah bayaran. Ejen juga mempunyai KPI mereka sendiri, setelah mencapai KPI, mereka akan menerima bonus. Tetapi oleh sebab ramai ejen penghantar makanan yang bekerja di bawah McDonald’s, KPI yang disediakan itu dikatakan tidak masuk akal dan hampir mustahil untuk dicapai.
Hasilan daripada pemotongan komisyen yang berlaku kepada pekerja J&T, mereka telah mogok dan tunjuk perasaan, sampai mencampak dan membaling parcel dan barang-barang pelanggan mereka semasa melakukan tugas. Ada yang hadir ke tempat kerja tetapi tidak bertugas. Pelanggan J&T juga telah melaporkan bahawa mereka terpaksa menunggu masa yang lama untuk menerima barang yang sebelum ini hanya mengambil masa yang singkat. Dengan tularnya video tersebut, tentu ramai pelanggan J&T akan beralih ke syarikat lain untuk mendapatkan servis yang sama kerana telah hilang keyakinan dengan syarikat J&T. Tentu sekali ini adalah satu keburukan kepada firma jika pekerja mereka sendiri mogok.
Hari ini, bukan J&T sahaja yang menindas pekerja mereka. Mungkin juga dalam kalangan pembaca terdapat salah seorang yang bekerja dalam syarikat yang menindas pekerjanya. Penindasan di tempat pekerja bukanlah suatu perkara baharu. Ia telah bermula sejak sebelum Malaysia merdeka lagi. Antara contoh penindasan pekerja adalah dengan pemotongan komisyen atau gaji secara drastik yang tetap, dipaksa bekerja luar waktu bekerja tanpa dibayar apa-apa overtime dan kerahan tenaga seperti memaksa seorang pekerja melakukan pekerjaan bagi lima orang. Contohnya Rina bekerja sebagai akauntan, dia juga menjalankan tugas sebagai kerani pejabat, dispatcher, dan pemandu.
Semasa zaman penjajahan lagi, orang ramai dipaksa bekerja sebagai buruh, dibayar dengan upah yang rendah. Mereka juga dipaksa membayar cukai kepada pembesar! Hasilan daripada ini, telah tubuhnya pergerakan yang mempertahankan hak pekerja. Pergerakan ini kemudian bertukar kepada sebuah parti politik yang dikenali sebagai Parti Buruh Malaya (PBM). Objektif utama PBM pada masa itu adalah untuk mempertahankan hak pekerja dan melawan untuk menaikkan upah dan gaji buruh. Setelah mendapat Kemerdekaan, PBM telah bubar pada tahun 1971 kerana pada masa itu, parti politik seperti UMNO telah mengambil alih tugas PBM untuk mempertahankan hak pekerja. Selepas merdeka juga, penindasan terhadap buruh dan pekerja telahpun berkurang. Tambahan pula, terdapat banyak undang-undang yang digubal untuk mengambil berat terhadap pekerja dan buruh. Kerajaan juga telah menubuhkan Jabatan Tenaga Kerja yang fungsi utamanya untuk menjaga hak asasi pekerja.
Walaupun begitu, hari ini kita masih dapat melihat pekerja dan buruh yang ditindas. Jabatan Tenaga Kerja disifatkan sebagai tunggul yang tidak menjalankan tugas. Jadi masih wajar dan relevan lagikah pergerakan dan pertubuhan yang menjaga hak pekerja dan buruh hari ini? Ada yang berpendapat bahawa Malaysia adalah sebuah negara yang menjalani ekonomi campuran, jadi kerajaan yang patut bertanggungjawab dan pekerja tidak perlu risau.
Berbanding negara lain, bukan sekadar mempunyai pertubuhan dan pergerakan mempertahankan hak pekerja, malah mereka juga mempunyai parti politik yang membawa fahaman dan ideologi untuk mempertahankan hak pekerja. Dari United Kingdom sehingga Zimbabwe, tidak kira negara kaya atau miskin. Kebanyakkan negara yang mempunyai parti politik sedemikian terdiri daripada negara yang mempunyai ekonomi campuran seperti Malaysia.
Berbanding negara lain juga, gaji minima dan kuasa membeli mereka jauh lebih tinggi dari Malaysia. Ini antara hasil daripada perjuangan parti politik tersebut. Disamping itu juga, cerita tentang penindasan pekerja juga jarang sekali timbul. Pekerja tidak kira warga asing atau warga tempatan, semuanya dijaga baik dan hak mereka dipertahakan oleh parti politik itu.
Di Malaysia agak sukar untuk menubuhkan pergerakan yang mempertahankan hak pekerja kerana masih ramai pekerja yang tidak sedar akan kepentingannya. Pekerja dan buruh juga beranggapan bahawa menyertai pergerakan seperti ini hanya membazir masa dan tidak akan membuahkan apa-apa hasil. Pada akhirnya, tiada dorongan, sokongan dan sambutan untuk pergerakan seperti ini.
Jika terdapat sebuah parti politik ditubuhkan untuk mempertahankan hak pekerja dan buruh, parti politik ini akan disifatkan sebagai parti komunis yang tidak berpihakkan kepada firma dan syarikat-syarikat besar, malah hanya fokus kepada buruh dan pekerja. Fahaman dan ideologi parti itu juga akan dihina dan dikatakan akan memundurkan rakyat kerana beranggapan rakyat bekerja sebagai buruh semasa zaman penjajahan. Dalam situasi politik dimana permainan kaum dan bangsa masih kuat, jelaslah parti politik seperti ini akan menerima layanan yang buruk daripada parti politik yang berasaskan bangsa yang lain.
Malaysia hari ini berada di tahap yang kritikal, di mana jurang pendapatan semakin bertambah. Yang kaya semakin kaya dan yang miskin menjadi semakin miskin. Gaji minima di Malaysia juga terlalu rendah berbanding negara-negara jiran kami. Untuk mengukur tahap gaji dan kuasa pembeli dengan negara lain, pakar ekonomi menggunakan Indeks Big Mac. Ini merupakan satu indeks untuk mengira berapa biji burger Big Mac dari McDonald’s yang dapat dibeli menggunakan gaji yang diterima.
Kenapa burger Big Mac dijadikan sebagai barang pengukur? Kerana McDonald’s terdapat hampir di setiap negara dalam dunia. Big Mac juga adalah burger yang sama yang dijual di setiap McDonald’s tidak kira di Indonesia atau Jepun. Kenapa tidak menggunakan beras atau buah oren? Kerana untuk negara di mana beras merupakan barang keperluan, tentu sekali harganya akan lebih murah berbanding dengan negara lain yang beras merupakan barang kehendak. Buah oren pula disifatkan sebagai barang eksklusif bagi sesetengah negara dan pasaran buah oren mungkin didominasi oleh sebuah firma yang besar yang mengawal harganya.
Untuk pengiraan mudah, gaji minima di Malaysia adalah RM1,200 dan sebuah burger Big Mac berharga RM11. Pekerja yang dibayar gaji minima hanya dapat membeli 109 buah burger Big Mac. Berbanding dengan Amerika Syarikat, gaji minima mereka $1,250 dan sebuah burger Big Mac berharga $3.95. Orang Amerika yang menerima gaji minima dapat membeli sehingga 317 burger Big Mac. Hampir tiga kali ganda berbanding pekerja di Malaysia.
Untuk pengiraan yang sama, kita juga boleh membandingkan gaji yang diterima oleh Menteri di Malaysia berbanding di Presiden Amerika Syarikat, Joe Biden. Salah seorang Menteri Kabinet kita misalnya, dianggarkan menerima pendapatan atau gaji sebanyak RM70,000 sebulan. Dengan semua gaji beliau, Menteri tersebut dapat membeli sebanyak 6,363 buah burger Big Mac. Manakala Presiden Amerika Syarikat Joe Biden, hanya dapat membeli 5,878 burger Big Mac dengan gajinya sebanyak $23,218.10. Kalau ingin menggunakan purata perbezaan yang sama sepert gaji minima, Menteri tersebut sepatutnya hanya menerima gaji sebanyak RM22,232 sahaja! Persoalannya sekarang, adakah gaji Menteri terlalu tinggi atau gaji minima terlalu rendah?
Jelaslah bahawa penindasan pekerja kerap lagi berlaku di mana-mana sahaja. Penindasan dari segi pendapatan dan gaji minima pekerja juga merupakan satu perkara yang tenat dan tidak boleh dipandang remeh. Pertubuhan atau pergerakan bagi menjaga hak pekerja patut ditimbangkan, kerana jika ingin mengharapkan ahli politik sahaja, tentu tidak akan membuahkan hasil malah mungkin akan termakan diri. Mengharapkan pagar, pagar makan padi.
Azi Amir adalah seorang pelajar kolej yang meminati bidang ekonomi dan sering mengejar jawapan kepada banyak persoalan yang wujud di sekeliling beliau.
Foto: Shafwan Zaidon
Waadat, Daulat, dan Keramat Rakyat
Di dalam konsep monarki Melayu, Raja itu pemegang dan pewaris Kedaulatan. Raja akan mangkat tetapi tidak bagi Daulat. ‘The Sovereign never dies’.