PENGURUS KELAB BOLA SEPAK TERBAIK EROPAH KURUN KE-21

PENGURUS KELAB BOLA SEPAK TERBAIK EROPAH KURUN KE-21

Setiap kumpulan yang bertanding dalam apa-apa jua sukan pasti mempunyai beberapa individu penting yang mengelola pasukan sama ada di padang mahupun di luar kawasan gelanggang seperti pengurus, jurulatih dan kapten.

Pengurus merupakan individu yang bertanggungjawab merancang, mengatur strategi dan membuat keputusan taktikal apakah yang sesuai digunakan bagi menempuhi perlawanan-perlawanan menentang pasukan yang berbeza.

Terdapat beberapa nama pengurus sukan bola sepak di Eropah sejak awal kurun ke-21 yang diklasifikasikan sebagai pengurus yang berjaya dan mempunyai keunikan tersendiri.

Nama Alex Chapman Ferguson tidak dapat diselindungkan lagi dari dunia bola sepak. Sepanjang 27 tahun mencurah bakti kepada pasukan Manchester United, banyak kejayaan dan pencapaian yang diperoleh beliau sehingga menerima darjah kebesaran British yang membawa gelaran Sir.

Liga Perdana Inggeris (EPL), Liga Juara-juara Eropah (UCL) dan banyak lagi trofi tempatan mahupun antarabangsa pernah dimenanginya. Anak jati negara Scotland ini telah berjaya melahirkan beberapa pemain berkelas dunia seperti Eric Cantona, Cristiano Ronaldo, David Beckham, Ryan Giggs dan ramai lagi.

Pada tahun 2013, beliau telah mengumumkan persaraannya dari sukan bola sepak. Walau bagaimanapun, nama beliau akan sentiasa dikenang sebagai seorang pengurus pasukan bola sepak terbaik sepanjang zaman.

Seorang lagi nama pengurus yang telah berjaya menempah nama di liga EPL ialah Arsene Wenger, seorang individu berbangsa Perancis.

Beliau merupakan pengurus paling lama dan paling berjaya untuk pasukan Arsenal di England. Hampir kesemua kejohanan tempatan yang dipertandingkan berjaya dimenanginya seperti juara liga EPL, Piala FA, piala liga, Carabao Cup dan kejuaraan Community Shield.

Beliau telah diberi gelaran “Le Professeur” oleh para peminat kerana falsafah bola sepaknya yang menghiburkan dan menarik untuk ditonton.

Perkara yang paling menakjubkan pernah dicipta olehnya ialah sejarah pada tahun 2004 apabila pasukan bimbingannya iaitu Arsenal menjuarai Piala EPL tanpa mengalami sebarang kekalahan dalam liga pada musim itu.

Seorang lagi pengurus yang telah melalui warna-warni karier sebagai pengurus bola sepak di England ialah Jose Mourinho.

Beliau mengukir nama sebagai pengurus bagi tiga pasukan elit yang berbeza di liga EPL iaitu Chelsea, Manchester United dan Tottenham Hotspurs. Sewaktu beliau direkrut sebagai pengurus pasukan Chelsea pada tahun 2004, beliau telah berjaya menjadikan pasukan itu sebagai juara liga EPL dua musim berturut-turut. Kejayaan itu membuatkan beliau meraih status pengurus The Special One.

Berbeza pula ketika bersama pasukan Manchester United dan Tottenham Hotspurs, beliau melalui liku-liku untuk membawa pasukannya ke tahap tertinggi. Akhirnya pada tahun 2021, hanya selama 17 bulan berada di White Hart Lane, beliau secara rasmi telah dipecat oleh pasukan Tottenham Hotspurs.

Rafael Benitez pernah menguruskan beberapa kelab terhandal di Eropah seperti Valencia, Liverpool, Inter Milan, Chelsea, Napoli dan Real Madrid. Namanya memuncak ketika bersama pasukan Liverpool disebabkan oleh kejayaannya memenangi liga Eropah pada tahun 2005.

Kepakarannya menguruskan pasukan bukan pilihan tetapi berjaya menjuarainya adalah sesuatu perkara yang dianggap ajaib. Semasa perlawanan akhir UCL 2005, beliau berjaya melakukan kebangkitan luar biasa walaupun ketinggalan dengan tiga gol.

Falsafah berjuang hingga ke tiupan wisel terakhir membuahkan hasil apabila pasukan kendaliannya berjaya mengheret perlawanan ke penentuan sepakan penalti seterusnya memenangi perlawanan tersebut menewaskan pasukan Ac Milan.

Lain pula cerita dengan seorang lagi pengurus pasukan Liverpool iaitu Jurgen Klopp. Beliau telah menandatangani kontrak sebagai pengurus Liverpool pada tahun 2015 selepas berkelana di Jerman bersama pasukan Borrusia Dortmund selama 7 tahun. Sebelum menjadi pengurus Liverpool, beliau telah berjaya menjadikan pasukan Borrusia Dortmund sebagai antara pasukan terkuat di Eropah.

Kurang separuh dekat beliau bersama Liverpool, beliau berjaya menjuarai liga UCL pada musim 2018/2019 dan ditabal sebagai juara EPL buat pertama kali selepas kali terkahir memenanginya pada musim 1989/1990.

Falsafah bola sepaknya iaitu gegen pressing amat sesuai diguna pakai pada era pemodenan bola sepak kini tetapi taktikal ini memerlukan tahap kecergasan pemain yang sangat tinggi.

La Liga di negara Sepanyol turut mempunyai penglibatan beberapa orang pengurus berkarisma sejak awal tahun 2000. Antaranya ialah bekas pemain pasukan Real Madrid iaitu Zinadane Zidane yang kini berkhidmat sebagai pengurus pasukan tersebut.

Sejak menerajui pasukan utama Real Madrid pada tahun 2016, hampir kesemua trofi tempatan dan anugerah peribadi berjaya diraih antaranya ialah Liga UCL, La Liga, Piala Super UEFA, Piala Dunia Kelab FIFA, Copa del Rey dan Supercopa de Espana. Pencapaian dalam tempoh masa yang singkat ini menyebabkan beliau telah dinamakan sebagai Jurulatih Lelaki Terbaik FIFA pada tahun 2017.

Zinadane Zidane pernah meletak jawatan sebagai pengurus Real Madrid pada tahun 2018 tetapi kembali mengurus kelab tersebut pada tahun 2019.

Selain itu, pentas La Liga juga pernah disajikan dengan keindahan bola sepak yang diterapkan oleh pengurus berprofil tinggi iaitu Frank Rijkaard di Barcelona dari tahun 2003 hingga tajun 2008.

Bekas pemain negara Belanda ini merupakan seorang pengurus yang amat pintar dari segi taktikal dan beliau adalah seorang pengurus yang mengutamakan serangan pantas dengan formasi 4-3-3.

Ilham untuk mengaplikasikan corak permainan menyerang di Barcelona kerana beliau mengambil kesempatan yang dimiliki oleh tiga pemain serangan yang sangat prolifik ketika itu iaitu Lionel Messi, Samuel Eto’o dan Ronaldinho.

Sepanjang 5 tahun berbakti di Camp Nou, Frank Rijkaard telah dinobatkan sebagai Pengurus Terbaik UEFA 2005/2006 selepas berjaya menjuarai liga UCL pada musim tersebut.

Pada masa ini, La Liga disinari pula dengan kehebatan dan kecemerlangan seorang pengurus berasal dari Argentina iaitu Diego Simeone. Beliau mula mengurus pasukan Atletico Madrid sejak tahun 2011.

Kehadirannya terserlah apabila mampu menjadikan pasukan Atletico Madrid sebagai pasukan pilihan di Eropah. Buktinya, pasukan kendaliannya berjaya memecah dominasi dua kelab terkemuka di Sepanyol iaitu Real Madrid dan Barcelona yang telah menguasai dunia bola sepak Eropah pada abad ke-21.

Atletico Madrid pernah berjaya ke pentas akhir liga UCL pada tahun 2014 dan tewas kepada musuh tradisi, Real Madrid dengan jaringan 4-1. Antara nama pemain yang digilap oleh beliau sehingga menjadi pemain termuka dunia ialah Antoine Griezmann, Radamel Falcao, Gabi, Koke, Diego Costa dan ramai lagi.

Pasukan gergasi Bundesliga di negara Jerman, Bayern Munich diuruskan oleh seorang anak jati negara tersebut, Hans-Dieter Flick sehingga ke hari ini.

Awalnya, beliau hanya dilantik menjadi pengurus sementara pada tahun 2019 bagi menggantikan pengurus Niko Kovac.

Selepas itu, pengurusan kelab Bayern Munich telah menawarkan beliau lanjutan kontrak sehingga tahun 2023 disebabkan oleh kejayaan demi kejayaan yang dicapai dalam jangka masa yang amat singkat.

Beliau telah memenangi beberapa gelaran seperti juara liga tempatan Bundesliga, CFB-Pokal dan liga UCL pada tahun sulung menjadi pengurus pasukan Bayern Munich. Selain dinobatkan sebagai Pengurus Terbaik Tahunan Jerman, beliau juga telah memenangi anugerah Jurulatih Lelaki Terbaik Tahunan UEFA bagi musim 2019/2020.

Begitu juga dengan seorang lagi pengurus pasukan di negara England iaitu Ole Gunnar Solskjaer yang berbakti kepada bekas kelab kesayangannya sewaktu menjadi pemain suatu ketika dahulu.

Beliau menghadapi permulaan yang agak kucar-kacir menguruskan pasukan Manchester United tetapi segalanya berubah ketika musim kedua beliau menguruskan pasukan tersebut apabila berjaya mengakhiri musim 2019/2020 di tempat ketiga dalam liga EPL.

Karier awal beliau menguruskan kelab besar seperti Manchester United boleh dianggap sebagai suatu pencapaian yang amat mengagumkan.

Ramai dalam kalangan peminat Manchester United mengimpikan beliau mampu mengulangi kejayaan kepada kelab seperti apa yang pernah dilalui bekas pengurus kelab tersebut, Sir Alex Ferguson.

Sesebuah pasukan bola sepak akan mencapai kejayaan jika melantik pengurus yang berkaliber dan berkemahiran tinggi dalam seni sukan bola sepak.

Di Eropah, seseorang pengurus itu akan dipecat serta-merta oleh pengurusan kelab sekiranya gagal memberi impak positif kepada pasukan.

Sebaliknya, jika pengurus tersebut memberi kesan yang mengagumkan, sudah pasti jasanya akan terus dikenang bahkan sesetengah peminat akan menyanjungi dan sentiasa menyebut nama pengurus pasukan kesayangan mereka.

Ridhwan Che Amat - Pundit Bola Sepak EPL

Kredit foto: Ronaldo

Share this Post: