Pendidikan Generasi COVID-19

Pendidikan Generasi COVID-19

Kes pertama pandemik COVID-19 telah dilaporkan pada Disember 2019 di wilayah Hubei, Wuhan, China. Kemudian, wabak ini terus merebak ke seluruh dunia menyebabkan lebih daripada 2 juta kematian dilaporkan.

Sehingga Mac 2021, Malaysia mencatatkan 313 ribu kes positif dan 1,169 kematian manakala 292 ribu kes dilaporkan sembuh. Kes di Malaysia kini mencecah sehingga ke empat angka saban hari berikutan gelombang ketiga yang telah melanda negara sejak beberapa bulan yang lalu.

Pandemik COVID-19 menjadi satu wabak kebimbangan kesihatan yang melumpuhkan hampir satu dunia. Pelbagai usaha telah dan masih dijalankan oleh setiap negara demi memastikan wabak ini tidak berada dalam masyarakat.

Kebanyakan negara di dunia termasuk Malaysia telah menjalankan perintah berkurung demi memutuskan rantaian COVID-19 ini. Rakyat dinasihatkan untuk terus kekal berada di rumah, bekerja dari rumah, menghadkan pergerakan di luar rumah, memakai pelitup muka dan hidung, kerap membasuh tangan menggunakan sabun, mengamalkan penjarakan fizikal 1 meter dan sebagainya sebagai langkah-langah pencegahan.

COVID-19 ternyata memberi banyak kesan buruk kepada kesihatan, kewangan, pendapatan, ekonomi, bahkan kepada landskap pendidikan negara. Landskap pendidikan di Malaysia, khususnya, berubah hampir 360 darjah.

Semua pelajar baik pra-sekolah, rendah, menengah mahupun institusi pengajian tinggi diminta menjalani sesi pembelajaran di rumah secara atas talian. Semua sekolah diarahkan tutup demi memutuskan rangkaian COVID-19.

Pelbagai usaha dan upaya telah dilakukan oleh para pendidik, pihak sekolah termasuk staf sokongan sekolah dan ibu bapa dalam memastikan pelajar-pelajar dan anak-anak tidak ketinggalan dalam sesi pembelajaran semasa pandemik ini.

Sesuai dengan tema Hari Pendidikan Dunia pada tahun 2021, ‘Recover and Revitalize Education for the COVID-19 Generation’, semua pendidik di seluruh dunia telah melakukan banyak perkara yang kreatif dan luar biasa dalam bidang pendidikan sewaktu satu dunia sedang menghadapi masa yang sukar begini. Daripada sekecil-kecil usaha sehingga sebesar-besar usaha telah ditunjukkan oleh para pendidik. Usaha-usaha murni ini wajib dipuji dan diberi pengiktirafan. 

Siapa sangka guru yang dahulu mengajar di dalam kelas kini berada di depan komputer riba atau telefon bimbit masing-masing untuk mengajar. Pelajar-pelajar juga mungkin tidak pernah sangka bahawa suatu hari nanti mereka akan duduk di rumah dan mengikuti proses pembelajaran Matematik, misalnya, di rumah dengan menggunakan peranti elektronik mereka. Ibu bapa yang sentiasa berusaha yang terbaik dalam memastikan anak-anak mendapat akses kepada proses pembelajaran atas talian juga wajib dipuji. Tiada siapa sangka pandemik ini mampu memberi ancaman kepada pendidikan malah mencatat sejarah baru dalam dunia pendidikan. 

Walau bagaimanapun, kita tidak boleh menafikan terdapat anak-anak yang tidak mendapat akses pendidikan di rumah secara atas talian sepanjang pandemik ini. Anak-anak ini pastinya tidak atau kurang mendapat akses kerana ibu bapa mereka tidak berupaya menyediakan kemudahan telefon bimbit, komputer riba ataupun internet kepada anak-anak mereka. Di negara besar seperti Eropah Barat dan Amerika Utara, sekurang-kurang satu daripada tujuh pelajar tidak mendapat akses internet di rumah untuk mengikuti proses pembelajaran. Hal ini menyebabkan ramai anak-anak ketinggalan dalam pelajaran sehingga ke hari ini.

Hatta, kira-kira 40 peratus atau 1.8 juta murid di Malaysia tidak mempunyai akses internet serta memiliki peranti sesuai bagi mengikuti Pengajaran dan Pembelajaran di Rumah (PdPR) yang diperkenalkan kerajaan apabila melaksanakan Perintah Kawalan Pergerakan, Mac 2020, menurut bekas Menteri Pendidikan Malaysia, Dr. Maszlee Malik. Berikutan masalah yang dihadapi, pelbagai pihak tampil ke hadapan untuk membantu golongan pelajar yang terkesan. Antaranya, Ustaz Ebit Lew membeli 500 tablet untuk diagihkan kepada pelajar yang memerlukan bagi membantu melancarkan proses pembelajaran mereka secara dalam talian menerusi sesi PdPR.

PdPR pasti memberi cabaran yang hebat kepada guru-guru dan para pelajar. Selepas beberapa bulan bercuti panjang bermula 18 Disember 2020 yang lalu, Menteri Pendidikan Malaysia, Dr. Radzi Jidin telah membuat pengumuman pembukaan sekolah bagi sesi 2021. Pengumuman pembukaan sekolah bukan sahaja dilihat sebagai satu berita positif, malah dianggap sebagai berita negatif bagi sesetengah pihak. Keputusan untuk membuka sekolah ketika pandemik COVID-19 masih berada dalam masyarakat dilihat sebagai satu keputusan yang tidak wajar.

Walau bagaimanapun, keputusan yang telah diambil oleh Menteri Pendidikan dan Kementerian Pendidikan Malaysia pasti dibuat dengan perbincangan oleh pelbagai pihak dan mengambil kira dari pelbagai aspek. Pembukaan sekolah secara berskala telah dimulakan dengan pelajar pra sekolah, tahun 1 dan tahun 2 pada 1 Mac yang lalu. Pelajar tahun 3 hingga 6 akan mula bersekolah pada 8 Mac manakala sesi persekolahan untuk pelajar menengah akan bermula pada 4 atau 5 Mac.

Proses pembelajaran perlu diteruskan walau dalam apa jua keadaan. Guru-guru dilihat bersedia walaupun terdapat kebimbangan. Kebimbangan dan kegusaran guru-guru itu berasas. Keselamatan dan kesihatan pelajar-pelajar menjadi keutamaan. Justeru, semua pihak perlu bekerjasama untuk pertama, melindungi diri daripada COVID-19; kedua, menjaga kesihatan mental dan psiko-sosial; ketiga, menyokong pembelajaran yang berkualiti dan inklusif; dan keempat bersedia untuk kebangkitan dan krisis masa depan.

Selamat kembali ke sekolah!

Kuntum Muhammad menjadikan mengajar sebagai kerjaya. Gemar memasak, kadang-kadang menulis. Sedang belajar menggunakan TikTok demi anak-anak murid di akaun @kuntummuhammad

Foto: Sinar Harian

Share this Post: