Tahniah diucapkan kepada Joe Biden dan Kamala Harris di atas penyingkiran sebatang sosok rasis, Islamofobik, misoginis, dan xenophobic. Harapan terhadap kemenangan ini mampu memberi perubahan positif terhadap orde baru dunia.
Di sebalik terutama dalam meraikan kejayaan Kamala Harris - wanita dan minoriti keturunan India pertama yang menyandang jawatan sebagai Naib Presiden di Amerika Syarikat, ada yang melihat dan cuba mengaitkannya secara negatif dari kaca mata hubungan etnik di Malaysia. Salah satu petikan yang tular di media sosial antaranya berbunyi
“In Amerika, Kamala Devi Harris, daughter of Jamaican and Indian Immigrants elected as nation’s first female vice president” “In Malaysia, third or fourth generation Malaysian are still called ‘pendatang’ and fighting for equality. That how backward we are”
Menyingkap kembali sejarah perjalanan politik pilihan raya di Malaysia, apabila Pakatan Harapan (PH) menumbangkan parti dominan Barisan Nasional dua tahun lalu, ia turut membawa suasana yang seakan sama kepada rakyat Malaysia, sama seperti rakyat Amerika Syarikat pada saat ini.
Konsep Malaysia Baharu gamat diperkatakan dengan membawa harapan besar masyarakat Malaysia ke arah suatu perubahan. Namun demikian, konsep Malaysia Baharu yang diperkatakan oleh rakyat Malaysia ada yang disalah ertikan maknanya sehinggakan apa yang sedia termaktub di dalam Perlembagaan juga dipertikaikan tanpa asas kukuh, seolah ianya adalah sebahagian dari aspirasi Malaysia Baharu tersebut.
Kemenangan Pakatan Harapan yang sepatutnya mempertautkan kembali perpaduan kaum di Malaysia dilihat melahirkan sebuah polemik lain terhadap hak dan kesamarataan antara kaum.
Permainan persepsi sesetengah pihak dengan menyatakan bahawa kedudukan istimewa orang Melayu adalah suatu yang tidak lagi relevan untuk dipraktikan pada hari ini mencalarkan pembinaan negara bangsa yang baru sahaja berpeluang untuk dimulakan semula. Semuanya dilandaskan pada anggapan susunan sosial yang ada sekarang tidak bersifat demokratik, diskriminatif dan mewujudkan layanan tidak adil terhadap kaum bukan Bumiputera.
Progres atau pembaharuan dan kemajuan masyarakat ini tidak harus disalah tafsir dengan acuan yang tidak berdasarkan realiti kita. Pemikiran yang dianggap kononnya liberal oleh sesetengah kelompok masyarakat seharusnya kembali dibahas dan dengan kefahaman dan pengertian terutamanya melalui asas sejarah di sebalik pembentukan negara Malaysia.
Timbal balik dalam menjaga keharmonian dalam sebuah masyarakat yang rencam harus berbalik kepada perdebatan panjang yang buat sesetengah pihak selesa menggelarkannya sebagai ‘kontrak sosial’ yang antara lainnya turut menjadi tajuk pertikaian lain, baik secara politik mahupun akademik.
Tanpa membuang objektiviti sejarah, apabila diteliti asas-asas permulaan pembinaan perpaduan di Tanah Melayu, sejarah akan merakamnya sebagai sebuah proses persetujuan bersama antara pemimpin Melayu dan bukan Melayu dalam siri-siri rundingan menjelang kemerdekaan negara, terutama yang mengarah kepada pembentukan Perlembagaan Persekutuan. Yang difahami sebagai kontrak sosial itu sendiri bukan sebuah dokumen bertulis, sebaliknya adalah siri-siri rundingan yang mengambil tempat ketika itu.
Rundingan-rundingan tersebut dibuat secara berperwakilan di antara pemimpin-pemimpin Parti Kebangsaan Melayu Bersatu (UMNO), Persatuan Cina Malaya (MCA), dan Kongres India Malaya (MIC). Tidak dinafikan kalau masih ada pihak yang mempertikaikan rundingan ini seolah ianya hanya melambangkan kehendak elit pemerintah ketika itu, tetapi secara manifestasinya, telah terbukti perjanjian ini diterima oleh pelbagai golongan dan kaum melalui mandat jelas kemenangan besar Parti Perikatan dalam Pilihan Raya Umum pertama pada 1955.
Rundingan antara kaum ini jelas menyatakan persetujuan sebulat suara terhadap pengekalan dasar afirmatif yang menjadi asas kepada pembentukan Perlembagaan Persekutuan. Persetujuan rundingan antara kaum ini telah merakamkan penerimaan dan pengiktirafan masyarakat Cina dan India oleh orang Melayu sebagai timbal balik terhadap penerimaan dan pengiktirafan taraf kewarganegaraan buat dua kelompok besar kaum tersebut. Turut disertakan adalah persetujuan dari pihak bukan Melayu dengan mengakui dan menghormati kedudukan dan hak-hak keistimewaan orang Melayu iaitu dari segi bahasa, agama, kedaulatan raja-raja Melayu dan juga hak-hak Bumiputera yang lain.
Jika diamati secara mendalam, yang dipetik sebagai kontrak sosial ini akhirnya menjadi kerangka asas dan lambang persetujuan bersama dalam pembinaan perpaduan dan perlembagaan negara. Hal ini kerana didalamnya terkandung nilai realiti dan kehakikian terhadap sejarah Tanah Melayu, yang menjustifikasikan sifat Malaysia secara total. Dapat dilihat dengan penggarisan secara terperinci asas-asas keadilan ekonomi, politik dan kebudayaan setiap kaum dengan mengekalkan kestabilan dan keharmonian sosial masyarakat melalui pelaksanaan Rukun Negara selepas rusuhan kaum 1969.
Seharusnya, kontrak sosial atau apa pun sekali namanya ini menjadi antidot kepada konflik antara kaum dan juga senjata pemantapan integrasi nasional yang boleh disalurkan melalui sistem berkait rapat pembangunan masyarakat seperti pendidikan, persekolahan, dan pembudayaan tradisi dalam kalangan masyarakat.
Tetapi senario memperlihatkan, manfaat yang wujud di dalamnya disalah ertikan dan terpesong dari matlamat asal kerana kekurangan pemahaman terhadap nilai sejarah dalam kalangan generasi kini. Kontrak sosial ini tidak dinafikan turut telah ditunggang untuk kepentingan sesetengah pihak, selain turut dijadikan sebagai bogeyman untuk menakut-nakutkan masyarakat yang tidak mempunyai pengetahuan mengenainya.
Sekiranya pembudayaan dan amalan ini dipraktikan secara komprehensif dalam kalangan masyarakat terutama di peringkat awal persekolahan, ia mampu untuk membentuk satu perwatakan masyarakat yang penuh dengan nilai ketatasusilaan dalam generasi muda pada hari ini. Serta isu-isu cubaan penafian dan penolakkan terhadap perlembagaan ini dapat dihindari daripada menjadi alat perpecahan antara kaum.
Dalam erti kata lain, permasalahan panjang tentang identiti nasional dan bangsa Malaysia itu sendiri sebenarnya boleh diselesaikan. Perlecehan dan prasangka seperti yang diperlambangkan melalui ciapan di awal penulisan ini juga boleh dijawab dengan lebih baik.
Justeru, negara ini tidak boleh lari lagi dari tanggungjawab untuk mengkaji dan melihat kembali sistem pendidikan yang boleh mengembalikan fungsi asal pendidikan (persekolahan) sebagai alat penyatuan antara kaum.
Antara perkara yang boleh memperhalusi adalah dengan memperkenalkan pendidikan untuk bagaimana menguruskan kepelbagaian (diversity) dan kerencaman dalam masyarakat. Agar pengurusan dan kefahaman terhadap konsep adil, diskriminasi, dan penekanan terhadap kepentingan nilai sejarah dapat diterapkan dalam jiwa generasi muda. Iaitu melalui saluran persekolahan supaya perwatakan nasional dapat diwujudkan untuk keharmonian dan kesejahteraan negara dapat dipelihara.
Begitu juga dengan sistem sekolah vernakular yang akan terus dipertikaikan. Kita tidak boleh menolak pandangan yang mengatakan bahawa sistem sekolah yang diperkenalkan British ini menjadi antara punca kepada permasalahan yang sedang berlaku, atau sekurang-kurangnya akan terus dipersalahkan.
Menariknya, kenaikan kadar kemasukan pelajar keturunan Melayu ke sekolah vernakular terutama aliran Cina harus juga dijadikan antara faktor dalam mempertimbangkan isu ini. Sebab itu kerajaan misalnya perlu meneliti juga apa sebenarnya masalah yang melingkari sistem sekolah kebangsaan (yang asalnya juga adalah sekolah vernakular Melayu mengikut sistem British) sehingga ia turut mulai dijauhi oleh sasaran asal, majoriti Melayu.
Terakhir, pemimpin juga harus rasional dalam bersilat politik dengan menjadikan sistem pendidikan bebas dari pemainan politik kotor yang menjejaskan matlamat perpaduan dan pembinaan negara bangsa. Cukuplah apabila ‘kontrak sosial’ yang sepatutnya menjadi kunci perpaduan teruk ditunggang hingga disalah ertikan, jangan pula sekolah yang sepatutnya menyatukan kaum turut menjadi mangsa.
Sekian lama persoalan ini dielak untuk dibincangkan, dimomokkan sebagai sebuah topik yang tidak boleh disentuh langsung namun hakitkatnya, persoalan ini adalah persoalan yang amat penting dan menuntut kita untuk mempunyai niat yang betul dalam membincangkannya. Semoga dengan kembali berlapang dada untuk memikirkan persoalan-persoalan di atas tanpa prasangka dan prejudis antara kita, kita tidak perlu lagi melihat ciapan media sosial seperti yang tular tersebut muncul untuk menimbulkan resah antara kita lagi.
Nurfarhana Awang merupakan seorang pensyarah dan penyelidik yang berjiwa besar dalam dunia penyelidikan Sains Sosial yang berhasrat untuk menyumbang perubahan kepada sosiobudaya dan sosiopolitik masyarakat.
Foto hiasan ihsan Malaysiakini, sumber Vivian Ng
Waadat, Daulat, dan Keramat Rakyat
Di dalam konsep monarki Melayu, Raja itu pemegang dan pewaris Kedaulatan. Raja akan mangkat tetapi tidak bagi Daulat. ‘The Sovereign never dies’.