Mendengar kisah tentang penubuhan Malaysia di media massa, banyak kedengaran yang murni dan indah belaka. Kita tidak mengatakan bahawa itu salah. Cuma dalam mendidik rakyat dan mencipta semangat patriotik yang tidak palsu, sewajarnya kita tidak memilih sisi-sisi sejarah kita.
Penubuhan Malaysia sememangnya adalah cita-cita politik Tunku (Abdul Rahman) iaitu Ketua Menteri Malaya dan kemudiannya Menjadi Perdana Menteri Malaysia yang pertama. Malah ketika beliau mendedahkan hasratnya 27 Mei 1961, ia dikatakan menarik minat sebahagian besar rakyat dan ahli-ahli politik di Malaya (Tanah Melayu) dan Singapura.
Namun usaha Tunku bukan sekadar ingin menyatukan Malaya dan Singapura sahaja yang sememangnya banyak berkongsi latar sejarah dan budaya dengan Malaya. Tetapi beliau juga cuba untuk melibatkan negara lain yang dikuasai British di Asia Tenggara seperti Sarawak, Borneo Utara (Sabah) dan Brunei. Idea untuk melibatkan negara-negara Borneo ini ditafsirkan ramai sarjana sebagai usaha Tunku untuk menyeimbangkan komposisi masyarakat Cina yang dominan di Singapura.
Idea ini telah disambut baik oleh British. Demi kepentingan geopolitik, hakikatnya British melalui usaha Malcolm MacDonald semenjak penghujung 1940an lagi telah berusaha untuk membentuk negara daripada gabungan kawasan-kawasan yang dikuasai mereka di Asia Tenggara. Selain daripada Malaya, beliau juga cuba memupuk pembentukan gabungan negeri-negeri yang dikuasai British di Borneo iaitu Sarawak, Sabah dan Brunei tetapi hasrat itu terkandas.
Namun usaha itu hidup semula kerana British mahu menyatukan entiti bekas kawasan kekuasaan mereka untuk melawan pengaruh Blok Sosialis yang didominasi oleh Soviet ketika itu. Tatkala Perang Dingin, Asia Tenggara telah menjadi medan perselisihan geopolitik diantara Blok Kapitalis yang didominasi oleh Amerika Syarikat dan British dengan Blok Sosialis. Oleh itu British mula gusar dan mahu bekas kawasan-kawasan kekuasaan mereka untuk tidak menyebelahi Blok Sosialis.
Oleh itu usaha Tunku disambut baik oleh pihak British. Malah Tunku sendiri dan kerajaan Malaya ketika itu sememangnya tidak menyebelahi ideologi Sosialis atau Komunis yang dicop sebagai berhaluan kiri. Malah sememangnya semenjak sebelum Malaya merdeka setiap usaha menentang British secara radikal akan dituduh sebagai pihak berhaluan kiri walaupun ada diantara organisasi tersebut bersifat neutral dan cuma mahu menentang kolonial.
Kita sering disajikan dengan kisah Suruhanjaya Cobbold yang ditubuhkan untuk meninjau pilihan masyarakat di Sarawak dan Sabah. Ringkasnya tinjauan itu mendapati sepertiga rakyat di Sarawak dan Sabah yang benar-benar mempersetujui idea untuk membentuk persekutuan dengan Malaya.
Sepertiga lagi memihak kepada gabungan tersebut pada tahap-tahap tertentu dengan syarat-syarat yang tertentu. Sepertiga lagi berpendapat Sarawak dan Sabah perlu merdeka terdahulu sebelum menentukan masa depan mereka dan ada yang merasakan British perlu meneruskan pemerintahan mereka beberapa tahun lagi.
Namun dapatan suruhanjaya tersebut tidak terlepas daripada kritikan kerana tinjauan dikatakan dilakukan secara tergesa-gesa dan dikatakan tidak menggambarkan hasrat sebenar rakyat di Sabah dan Sarawak.
Namun idea gabungan Malaysia ini telah kandas di Brunei atas beberapa sebab iaitu penentangan daripada rakyat Brunei dan permintaan Brunei ketika itu yang memahukan sultan mereka diberikan kedudukan yang kanan (senior). Beberapa isu seperti royalti petroleum juga membuatkan penyertaan Brunei menjadi kandas.
Sebenarnya semenjak idea pembentukan persekutuan Malaysia dilontarkan, ramai penduduk di Utara Borneo (Sarawak, Sabah dan Brunei) yang menentang kerana faktor sejarah dan budaya yang dikatakan berbeza daripada Malaya. Beberapa organisasi politik di Utara Borneo pernah bercita-cita untuk membentuk negara gabungan antara Sarawak, Sabah dan Brunei sebagai reaksi kepada gagasan Malaysia. Namun cita-cita tersebut sudah pasti tidak direstui British kerana dilihat berhaluan kiri.
Sementara Filipina menerusi inisiatif Presiden Diosdo Macapagal dan melalui beberapa siri perjanjian yang dikenali sebagai Persetujuan Manila (Manila Accord) telah berjaya membentuk jalinan antara Malaya, Filipina dan Indonesia yang kemudiannya dikenali sebagai Maphilindo. Jalinan yang direalisasikan berdasarkan inspirasi Jose Rizal ini bercita-cita menyatukan seluruh rantau Melayu.
Antara tujuan penubuhan Maphilindo ini ialah menyelesaikan lontaran idea tentang penubuhan negara Malaysia. Ini kerana dalam masa yang sama Filipina juga mempunyai hasrat menuntut Sabah yang dikenali sebagai Borneo Utara ketika itu.
Indonesia pula melihat idea Malaysia sebagai satu bentuk penjajahan baru. Sukarno dan Indonesia ketika itu adalah antara negara pengasas Pergerakan Negara-Negara Berkecuali sudah pasti dapat menghidu hasrat British yang mahu Malaysia menjadi penyokong Blok Kapitalis.
Tetapi kempen ‘Ganyang Malaysia’ dan konfrontasi dilihat sebagai usaha yang agak keterlaluan dari Sukarno. Dan pada 1971, Malaysia melalui pentadbiran Tun Abdul Razak telah menyertai Pergerakan Negara-Negara Berkecuali.
Namun begitu Maphilindo juga kandas. Sukarno dan Indonesia berkonfrontasi menentang Malaysia. Indonesia dan Filipina juga tidak mengiktiraf dapatan Suruhanjaya Cobbold.
Tetapi Gagasan Malaysia tetap diteruskan. Walau dipalit kontroversi dan permasalahan, Persekutuan Malaysia tetap menjadi kenyataan. Pada 9 Julai 1963 Perjanjian ditandatangani di London oleh Kerajaan United Kingdom, Kerajaan Malaya, Kerajaan Borneo Utara, Kerajaan Sarawak dan Kerajaan Singapura. Akta Malaysia di United Kingdom adalah merupakan antara dokumen penting bagi penubuhan negara Persekutuan yang baru ini.
Borneo Utara dan Sarawak meletakkan beberapa perkara sebagai syarat untuk menyertai Malaysia melalui Perjanjian 20 Perkara Borneo Utara dan Perjanjian 18 Perkara Sarawak. Lalu pada 16 September 1963 lahirlah Malaysia menjadi cita-cita yang berjaya. Namun begitu kira-kira dua tahun kemudian Singapura berpisah dari Malaysia.
Tidak dinafikan bahawa dalam banyak-banyak gagasan yang kandas, idea penubuhan Persekutuan Malaysia adalah idea yang cerdas. Namun kini adalah masa untuk Malaysia begerak dan melihat kehadapan, sejarah lalu diambil pengajaran dan hak keadilan diantara setiap negeri dan persekutuan perlu dikotakan.
I rest my case.
Rizuan Abdul Hamid berasal dari Ipoh dan telah lama berhijrah mencari rezeki dan pengetahuan di Lembah Klang. Beliau adalah homo sapiens yang cuba menjadi insan.
Foto: The Straits Times
Waadat, Daulat, dan Keramat Rakyat
Di dalam konsep monarki Melayu, Raja itu pemegang dan pewaris Kedaulatan. Raja akan mangkat tetapi tidak bagi Daulat. ‘The Sovereign never dies’.