Pekerjaan Tertua (dan Kedua Tertua) Atas Muka Bumi

Pekerjaan Tertua (dan Kedua Tertua) Atas Muka Bumi

Ada pepatah Inggeris yang agak terkenal, bahawa pekerjaan tertua di atas muka bumi adalah pelacur. Pepatah ini wujud agak lama, lantas diperdebat dan dikaji asal-usulnya, namun paling diingati selepas digunakan Rudyard Kipling pada 1889 dalam cerpennya On the City Wall yang menceritakan tentang Lalun, seorang pelacur di India yang dinasabkan kepada Lilith, pendamping Adam yang pertama menurut mitologi Yahudi.

Ada yang berteori untuk menyokong bahawa lebih dari sekadar pepatah, pelacuran yang ditafsir sebagai perbuatan menawarkan seks kepada orang berbeza bagi tujuan keuntungan, sememangnya adalah pekerjaan tertua di atas muka bumi. Hujahnya tidak pun bersandarkan bukti sejarah yang konkrit, hanya hipotesis berdasarkan cara hidup manusia awal.

Memandangkan komuniti manusia purba dari zaman batu dahulu hidupnya memetik, mengutip, dan berburu; masih belum bercucuk tanam, belum menternak, dan belum mempunyai sistem perkahwinan monogami, ada sebilangan dari anggota wanitanya cenderung untuk bertukar pasangan mengikut keperluan, sentiasa mencari lelaki alpha dalam komuniti sendiri yang mampu melindungi dan memberi makan buat mereka. Satu-satunya pertukaran sewaktu itu tentu sekali adalah seks. Dengan demikian, pelacuran boleh secara teknikalnya dianggap sebagai pekerjaan yang pertama.

Namun lebih ramai yang menganggap pepatah tersebut hanyalah pepatah, tiada kebenaran di dalamnya. Ia hanya figure of speech, sebuah kenyataan berbentuk sinikal yang perlu dibaca secara tersirat, berlegar hanya dalam dunia penulisan dan pengucapan sama ada sastera atau politikal. Digunakan juga bagi tujuan yang terhad iaitu sebagai perbandingan untuk mencantikkan penulisan dan ucapan semata-mata. Tidak pun melambangkan maksud literalnya.  

Dengan pepatah pelacuran sebagai pekerjaan tertua dunia, ia akan selalunya diikuti dengan perbandingan kreatif: pekerjaan kedua tertua dunia, lazimnya untuk membandingkannya dengan pelacuran, atau untuk menekankan kepentingan pekerjaan tersebut.

Ada yang mengatakan, andai pelacuran adalah pekerjaan tertua dunia, maka dengan sendirinya, bidan adalah pekerjaan kedua tertua di dunia; menyambut begitu banyak kelahiran akibat dari pekerjaan tertua tadi.

Ada juga yang mengatakan, doktor adalah pekerjaan kedua tertua dunia; merawat penyakit yang tersebar akibat pelacuran. Ada pula yang mengatakan ianya peguam; melindungi pelanggan yang tertangkap atau mewakili isteri-isteri yang mahu bercerai. Sekali lagi, semua ini hanyalah mainan ayat, pepatah sinis yang tidak perlu pun difikirkan objektiviti di dalamnya.

Antara banyak lagi pekerjaan lain yang digambarkan sebagai pekerjaan kedua tertua di dunia selepas pelacuran, namun  yang paling mendapat perhatian adalah apa yang terpacul dari mulut Ronald Reagan, mantan Presiden Amerika Syarikat. Buat Reagan, selepas pelacuran, politik adalah pekerjaan kedua tertua di atas muka bumi.

Ayat yang lebih tepat dari Reagan sebenarnya berbunyi - pekerjaan kedua tertua di dunia adalah politik, dan ianya semakin menyerupai pekerjaan tertua dunia; merujuk kepada pelacuran. Ayat ini diulang sebut oleh ramai orang sehingga mula dianggap sebagai kebenaran, bahawa politik adalah pekerjaan kedua tertua di dunia, dan benar bahawa pelacur dan ahli politik hampir tidak ada beza.

Mungkin yang terpacul dari mulut Ronald Reagan tersebut datang dari ketidakpuasan hatinya dengan persekitaran politik sekeliling. Mungkin juga beliau cuba menggambarkan betapa ahli politik tidak jauh bezanya dengan pelacur; di mana ada wang, di situ ada maruah yang boleh digadai. Apa pun niat Reagan, sekali imbas semua akan memahami bahawa apa yang disebut Reagan itu amat keras dan meruntuhkan nilai institusi politik sendiri. Membandingkan politik dengan pelacuran adalah penghinaan yang amat mengesankan.  

Atau juga, boleh jadi kita yang terperangkap dalam bingkaian buruk tentang pelacuran. Siapa tahu kalau sebenarnya Ronald Reagan tidak pun bermaksud untuk mencerca, sebaliknya hanya memuji ahli politik dengan membandingkan mereka dengan pelacur.

Rudyard Kipling sendiri tidak terlepas dari membuat perbandingan, bagaimana Lalun menjadi hina hanya di Barat, kerana pelacuran dipandang sebagai kerja kotor, dan selalunya atas sebab penyakit yang disebarkan dan keadaan hidup mereka; sedang pelacur atau wanita pelayan dalam budaya Timur biarpun tidaklah dipandang mulia dan tinggi, tidak juga sampai dimarjinalkan. Wanita pelayan ada tempatnya dalam budaya Timur dahulu kala. Begitulah juga Lalun.  

Pelacur, seperti dalam lagu Kupu-kupu Malam dendangan biduanda Indonesia Titiek Puspa, adalah golongan yang sentiasa disalah erti. Pelacur adalah insan-insan yang hanya menyambung hayat dengan upah yang kecil, tanpa diskriminasi hanya ingin memberi kebahagian buat semua yang bertandang, sehingga sanggup berkorban segala yang ada pada diri mereka, dan sentiasa menyembunyikan sengsara sendiri di balik senyuman. Nah, bukan begitu sifatnya juga ahli politik?

Terserah kepada hati masing-masing bagaimana untuk menilai baik buruk pelacur atau ahli politik. Apa pun cara kita menafsir kenyataan Reagan tersebut, dan jika benar pelacuran dan diikuti politik sememangnya adalah pekerjaan tertua di atas muka bumi ini, ada satu kebenaran dan perbandingan yang tidak boleh digugat antara keduanya, iaitu pelacur dan ahli politik, apabila semakin tua umur dan fizikalnya, hanya akan semakin susut nilainya; semakin tidak laku dan hanya akan didekati apabila terdesak dan tidak ada pilihan lain.

M. Andra adalah seorang peminat tulisan-tulisan pojok dan sering keliru antara keberanian dengan kebodohan.  

Foto hiasan ihsan Walters Art Museum

Share this Post: