PASUKAN FUTSAL MALAYSIA DI KEJOHANAN  FUTSAL AFF 2022

PASUKAN FUTSAL MALAYSIA DI KEJOHANAN FUTSAL AFF 2022

Piala AFF Futsal Championship 2022 baru sahaja menutup tirainya baru-baru ini. Sebanyak sembilan buah negara Asia Tenggara telah berentap sejak 2 April lalu. Kejohanan yang berlangsung di negara jiran, Thailand menyaksikan tuan rumah berjaya merangkul kejohanan tersebut buat kali ke-16 sejak pertandingan itu dipertandingkan pada tahun 2001 dengan menumpaskan pasukan Indonesia hasil penentuan sepakan penalti 5-3.

Untuk rekod kejohanan AFF Futsal Championship, pasukan negara Thailand merupakan pasukan yang telah banyak menjuarainya sebanyak 15 kali iaitu pada tahun 2001, 2003, 2005, 2006, 2007, 2008, 2009, 2012, 2013, 2014, 2015, 2016, 2017, 2018 dan 2019. Hanya pasukan daripada negara Indonesia sahaja pernah ditabalkan juara pada tahun 2010 selepas mengalahkan pasukan Malaysia pada peringkat akhir dengan jaringan 5-0 di Chi Minh City, Vietnam. Selepas lima kali kecundang di pentas akhir, pasukan Malaysia masih lagi tercari-cari rentak untuk mempamerkan aksi cemerlang.

Skuad Futsal negara yang dilatih oleh pengurus Chiew Chun Yong telah menyenaraikan seramai 16 pemain yang akan beraksi di Indoor Stadium Huamark, Bangkok Thailand. Pasukan kebangsaan telah merekrut seramai enam orang pemain daripada pasukan Selangor FC, lima orang pemain Pahang Rangers, masing-masing dua orang pemain pasukan Pulau Pinang dan Negeri Sembilan serta seorang pemain muda dari Kuantan Rangers. Antara pemain yang menjadi taruhan skuad kebangsaan ialah pemain terbaik Liga Futsal Perdana Kebangsaan (MPFL) 2022 iaitu Abu Haniffa yang kini menyarung jersi pasukan Pahang Rangers dan penjaring terbanyak Ekmal Shahrin yang mewakili Selangor FC.

Bermula dengan aksi yang kurang memberangsangkan

Edisi kali ini agak mendebarkan kerana skuad kebangsaan diundi dalam satu kumpulan dengan jagoan Asia Tenggara seperti Thailand dan Indonesia. Pada perlawanan pembukaan kejohanan tersebut, skuad negara bermula dengan pencapaian yang kurang memberangsangkan apabila terpaksa berhempas pulas menang tipis ke atas pasukan Kemboja dengan jaringan 7-6. Selang beberapa hari kemudian, pasukan Malaysia mudah diratah musuh tradisi iaitu pasukan Indonesia 5-1. Kekalahan ini tidak menjejaskan rentak dan semangat pemain-pemain negara untuk mengharungi dua baki perlawanan di peringkat kumpulan. Pemain negara kembali mendapat aura selepas berjaya membelasah pasukan Brunei dengan jaringan 10-0 . Namun, semuanya berakhir apabila Malaysia akur dengan kehebatan permainan pasukan Thailand. Kekalahan 4-2 kepada negara Gajah Putih itu bermakna skuad negara tidak layak untuk mara ke pusingan separuh akhir.

Jika ditonton dan dinilai aksi skuad negara pada kejohanan AFF Futsal Championship 2022, penulis agak terkejut dan kecewa dengan persembahan anak didik Chiew Chun Yong. Ketika menentang Kemboja pada perlawanan pertama, kesemua gol yang dihasilkan pihak lawan adalah menerusi counter attack. Secara tidak langsung, ini menunjukkan betapa rapuhnya benteng pertahanan ketika diasak lawan. Tiada apa yang istimewa semasa perlawanan kedua berlangsung setelah dengan mudahnya pemain-pemain skuad negara tidak mampu memberi saingan kepada skuad Indonesia yang lebih kreatif dan bertenaga. Dari aspek sistem futsal, gaya permainan futsal pasukan Malaysia tidak setanding negara Indonesia dan Thailand malah kita jauh ketinggalan kepada dua negara contoh sukan ini.

Sukan digilai ramai

Sukan futsal amat diminati ramai rakyat di Malaysia daripada pelbagai lapisan umur. Terdapat banyak gelanggang futsal yang dibina oleh agensi kerajaan dan persendirian di setiap negeri kerana ramai berpendapat bahawa sukan futsal sudah mula mendapat tempat dihati masyarakat dan banyak tournament diadakan dalam mencungkil bakat muda. Pihak kerajaan juga tidak ketinggalan untuk menyediakan gelanggang futsal di setiap daerah untuk kegunaan orang awam. Lebih dua dekad sukan ini menjadi popular di Malaysia tetapi pasukan Malaysia masih belum berjaya menjadi sebuah pasukan elit di rantau Asia Tenggara. Sebaliknya, pasukan negara jiran seperti Thailand dan Indonesia semakin ke hadapan dari segi latihan, gaya permainan, ketahanan atau melahirkan bakat muda.

Di mana silapnya?

Pihak kerajaan sudah berusaha sebaiknya menguruskan pasukan kebangsaan. Kebajikan pemain dan pasukan sentiasa dijaga rapi tanpa sebarang isu berbangkit seperti isu elaun, kelengkapan sukan mahupun keperluan lain. Dari aspek kejurulatihan, Malaysia pernah mendapatkan khidmat jurulatih asing daripada negara Belanda (1996), Brazil (2003) dan Sepanyol pada tahun 2014. Namun begitu, tiada peningkatan ketara dalam sistem permainan dan pembangunan pemain. Rakyat Malaysia khususnya peminat sukan futsal di negara ini berharap pasukan kebangsaan yang kini dilatih oleh pengurus tempatan iaitu Chiew Chun Yong akan maju dan berkembang dari masa ke masa. Berdasarkan rekod semasa, pasukan kebangsaan pernah meraih kemenangan terbesar pada tahun 2013 ke atas pasukan Bhutan dengan jaringan 16-0 di Incheon, Korea Selatan manakala semasa di bawah kendalian jurulatih Bahwandi Hiralal, pasukan Malaysia pernah mengalami kekalahan memalukan 0-17 kepada pasukan Iran.

Terus menggilap bakat-bakat baharu

Pemain-pemain Malaysia perlu bekerja keras untuk mengharungi setiap perlawanan dengan permainan yang cemerlang. Pihak kerajaan juga harus mencari ilham baharu yang sesuai dengan peredaran zaman sukan ini. Penulis percaya bahawa terdapat ramai pemain muda di luar sana yang berbakat yang masih belum digilap bakatnya. Barisan kejurulatihan harus cakna dan ghairah mencari bakat muda dalam sukan ini dari setiap pelusuk daerah, kampung dan juga sekolah-sekolah. Penulis berharap agar sukan futsal ini terus berkembang maju dan suatu hari nanti pasukan futsal Malaysia bakal digeruni pihak lawan.

Mohd Syazlan Aliff peminat tegar bola sepak yang bernafas dalam lagu You’ll Never Walk Alone.

Foto: Berita Harian

Share this Post: