Kepercayaan terhadap pantang larang yang sifatnya karut-marut dan penuh tahyul amat terkenal dalam kalangan masyarakat Melayu sejak dari zaman dahulu. Pantang-larang ini lazimnya diturunkan pula kepada anak cucu masing-masing sebagai panduan hidup, atau sekurang-kurangnya resam yang perlu diteladani tanpa perlu banyak difahami.
Kepercayaan sebegini tidak tertulis sebagai undang-undang atau adat, sebaliknya pedoman hidup yang disampaikan melalui mulut. Menjadi kebiasaan untuk pesan yang dibawa dari mulut ke mulut, semestinya akan ada tokok tambah supaya kedengaran lebih menarik atau lebih menggerunkan.
Menarik untuk diperhatikan adalah masyarakat zaman sekarang yang sudah lebih beberapa dekad hidup dalam arus kemodenan, masih tanpa sedar mengamalkan sedikit sebanyak pantang larang yang bersifat karut-marut ini dalam kalangan keluarga sendiri. Mungkin tanpa sedar, atau sudah terbina dan terbiasa sendiri dari kecil.
Tidak dinafikan, masyarakat Melayu pada zaman dahulu mereka-reka pantang larang karut ini bertujuan untuk mendidik. Setiap pantang larang ini dipesan dan diajar agar anak-anak mempunyai rasa takut dan tidak melakukan perkara-perkara yang dianggap tidak elok atau tidak manis dipandang. Selepas beberapa generasi, tujuan asal ini sudah disalah anggap oleh masyarakat Melayu yang terkemudian. Pantang larang karut ini mula diyakini dan diamalkan tanpa diketahui punca sebenar.
Kadangkala, ia membimbangkan apabila kita ketahui ada sesetengah masyarakat yang mungkin kurang ilmu agama, atau jahil; terkeliru dalam mempercayai perkara karut, dan menelan bulat-bulat tahyul-tahyul yang dikutip oleh mereka. Sebab itu tidak hairan untuk kita tengok bagaimana pantang larang yang karut lagi marut ini akhirnya akan sentiasa dipertikaikan hari ini.
Mari kita lihat antara lima kepercayaan dan pantang larang karut yang terkenal dalam kalangan masyarakat Melayu yang mungkin bagi sesetengah kita, masih terngiang-ngiang di cuping telinga hingga ke hari ini. Lihat dan perhatikan juga sama ada terdapat orang di sekeliling kita sendiri yang masih mempercayainya.
Jangan Menyanyi di Dalam Dapur, Nanti Dapat Pasangan Tua
Orang tua selalunya akan memarahi terutama sekali anak gadis mereka sekiranya anak gadis tersebut menyanyi di dalam dapur. Jika menyanyi di dalam dapur, suatu hari nanti mereka akan mendapat suami tua.
Kalau difikirkan logiknya, kemungkinan paling besar yang menyebabkan orang tua berkata demikian adalah kerana ketika berada di dalam dapur, seseorang itu tidak boleh leka atau hilang tumpuan terutamanya ketika memasak. Orang yang terlampau asyik mendendangkan lagu akan mulai hanyut dan alpa, sehingga boleh menyebabkan berlakunya kecelakaan kecil mahupun besar, atau sekurang-kurangnya ikan yang digoreng jadi hangus.
Anak muda memang kebiasaannya sukar untuk menerima nasihat yang telus dari orang tua. Apa lagi kalau memasak itu kerana dipaksa. Mungkin disebabkan ini, orang tua zaman dahulu mencipta pantang larang karut sebegini agar anak gadis mereka takut dijodohkan dengan lelaki tua.
Lucunya, lain pula anak muda zaman sekarang. Tidak ada salah pun jika memilih lelaki yang berusia. Lihat sahaja penyanyi-penyanyi terkenal kita, tetap bahagia dan kaya kahwin lelaki berumur. Tak rugi mereka gemar menyanyi di dapur dahulu.
Berkeliaran Waktu Maghrib akan Ditegur atau Disembunyikan oleh Hantu
Zaman dahulu bukan macam zaman sekarang. Mungkin sekarang kita agak kurang faham apa perlunya dicipta karut-marut yang sebegini ekstrim hanya untuk memastikan anak-anak tidak berkeliaran di luar pada waktu Maghrib. Tapi jika kita cuba dalami – anak-anak dahulu pun bukan seperti hari ini.
Bermain di luar terutama waktu petang selepas bersekolah di pagi hari adalah perkara biasa. Mereka tiada gajet serba canggih yang boleh membuatkan semua duduk diam di rumah. Sungai, parit, hutan belukar, kebun getah, sawah padi, adalah tempat permainan biasa bagi anak-anak orang dahulu. Dan harus ingat, dahulu tiada lampu jalan seperti sekarang. Jika terlepas waktu senja, anak-anak tadi boleh tersesat dalam gelap di tempat mereka bermain, lebih teruk lagi jika mengalami kecelakaan lain seperti diserang haiwan liar atau berbisa, ataupun hanyut dan lemas di sungai.
Tambahan lagi, seeloknya, anak-anak berada di rumah sebelum senja dalam keadaan bersih sambil menunggu waktu Maghrib untuk didirikan secara berjemaah dan sejurus selepas itu makan malam bersama keluarga. Ini adalah tertib berkeluarga orang dulu-dulu.
Potong Kuku Waktu Malam akan Pendek Umur
Pada zaman dulu, kemudahan elektrik tidak ada seperti sekarang. Memang jadi kebiasaan, dengan sumber yang terhad, siang hari kebanyakan rumah akan mengharapkan sinaran mentari manakala hanya pada waktu malam sahaja mereka akan mula menyalakan lilin ataupun pelita bagi menerangi seluruh rumah mereka.
Bagi mengelakkan daripada berlakunya sebarang kecelakaan, mereka mencipta alasan bahawa memotong kuku pada waktu malam akan menyebabkan pendek umur. Disebabkan anak itu takut akan kependekkan umur, mereka tidak akan memotong kuku pada waktu malam.
Begitu juga dengan tujuan agar tidak dibazirkan sumber cahaya yang terhad kepada perkara yang tidak patut seperti memotong kuku. Memotong kuku dalam gelap perlu dilakukan betul-betul mengadap sumber cahaya seperti lilin atau pelita dalam rumah yang dikongsi oleh seisi rumah. Biasanya, apabila ada orang menghampiri pelita atau lilin tersebut, sudut lain di dalam rumah akan gelap. Jadi, hanya kerana seorang ingin memotong kuku, orang lain pula terpaksa bergelap.
Katak Pemanggil Hujan
Pernah dengar bukan, nenek-nenek di kampung sampai ke hari ini masih lagi mengungkapkan ayat tersebut di mana apabila katak berbunyi bermakna ia memanggil hujan turun. Hakikatnya katak amat tertarik pada perubahan cuaca tambah-tambah lagi pengurangan suhu dan cuaca sejuk dimana katak akan mengeluarkan bunyi untuk menarik perhatian katak lain untuk melakukan persenyawaan.
Jadi bukanlah hujan yang sedang dipanggil oleh katak, sebaliknya pasangan untuk diajak bercinta.
Meniarap sambil Menyabung Kaki akan Menyebabkan Kematian Ibu
Kepercayaan karut yang ini agak ekstrim untuk dijadikan pantang larang.
Orang tua zaman dahulu gemar menegur anak mereka yang sedang meniarap kerana keadaan dan posisi duduk itu sebenarnya agak tidak sopan. Untuk memastikan teguran itu sentiasa diingati, diciptakan kepercayaan yang jelas mengarut – jangan meniarap sabung kaki, nanti mati ibu sendiri.
Anak mana yang tidak takut kematian ibu? Kepercayaan karut yang disulami unsur ugutan sebegini pasti meninggalkan kesan yang agak mendalam kepada anak-anak. Maka tabiat meniarap menyabung kaki tersebut dapatlah dielakkan akibat takut kehilangan ibu sendiri. Sejujurnya, penulis pernah mendengar sendiri seorang ibu moden menegur anak mereka dengan menggunakan ugutan yang sama.
Jika kita fahami, kebanyakan pantang larang yang biasa kita dengari ini hampir semuanya dilandaskan pada ugutan - menimbulkan rasa takut dan mungkin juga trauma. Dalam erti kata lain, memanipulasi emosi dan psikologi anak-anak untuk membentuk sebuah kebiasaan atau tabiat dalam diri.
Jadi tidak hairanlah pantang larang yang membawa kepada kepercayaan karut seperti di atas masih wujud dan kadangkala diamalkan sehingga ke hari ini. Ia amat sukar untuk dihapuskan daripada minda dan pemikiran masyarakat Melayu kerana sudah sebati dipupuk dalam diri mereka sejak kecil. Tanpa disedari, mungkin kepercayaan-kepercayaan di atas masih anda amalkan sehingga ke hari ini?
Nursyazana Khidir Neoh adalah seorang graduan bidang perhutanan dari Universiti Malaysia Sabah. Kini bertugas sebagai Pembantu Pentadbiran di Penang Institute. Beliau juga aktif menulis artikel untuk terbitan Penang Monthly
Foto ihsan LINE Today
Waadat, Daulat, dan Keramat Rakyat
Di dalam konsep monarki Melayu, Raja itu pemegang dan pewaris Kedaulatan. Raja akan mangkat tetapi tidak bagi Daulat. ‘The Sovereign never dies’.