Sejujurnya saya suka tonton drama arahan Shahrulezad Mohameddin. Unik, ada kualiti dan ada perkara yang boleh dipelajari, misalnya macam drama Nur 2 dulu. Siapa yang sedang ikut drama terbaru beliau di TV3, Takdir Yang Tertulis namanya?
Rasa marah, menyirap dan macam-macam lagi bukan? Kalau saya, saya kasihan pada anak kecil yang namanya Mika dalam drama tersebut. Rupa-rupanya, Mika ini bukan anak kepada Juweta mahupun Azlan. Tetapi, anak kepada Ruhila dan lelaki lain. Azlan hanyalah ‘Pak Sanggup’.
Jadi, layakkah Juweta untuk dapatkan hak jagaan buat Mika jika berlaku perceraian dengan Azlan? Dan adakah ‘Pak Sanggup’ ini boleh dianggap sebagai bapa kepada anak tersebut?
Ada isu mengenai hak jagaan anak tidak sah taraf dalam drama ini. Menarik. Izinkan saya kongsi sedikit.
Apa Maksud Anak Tidak Sah Taraf?
Jika diteliti Seksyen 111 Enakmen Undang-undang Keluarga Islam Kedah 2008, anak yang sah tarafnya adalah:
i. Anak yang dilahirkan oleh seorang perempuan yang berkahwin secara sah dengan seorang lelaki.
ii. Anak tersebut pula dilahirkan lebih daripada enam bulan Qamariah dari tarikh perkahwinannya (tarikh persetubuhan pertama selepas nikah), atau
iii. Anak tersebut lahir dalam masa empat tahun Qamariah selepas perkahwinannya dibubarkan sama ada suami mati atau cerai. Wanita itu pula tidak berkahwin semula selepas cerai hidup atau mati tersebut.
Jadi, andai kata anak tersebut dilahirkan mengikut syarat di atas, anak itu adalah anak sah taraf dan boleh dinasabkan kepada bapanya atau berbin/binti kepada lelaki tersebut. Jika tidak cukup syarat di atas, maka anak tersebut adalah anak tiak sah taraf.
Kalau Si Bapa Tidak Mengaku?
Jika, seorang bapa tidak mengaku itu anaknya, dengan maksud dia ingin mengatakan bahawa anak itu tidak sah taraf kerana isterinya bersetubuh dengan orang lain, maka si bapa tersebut perlu buat Permohonan Cerai Li’an dan angkat sumpah li’an ikut hukum syarak di hadapan Hakim Syarie.
Bila sudah disabit cerai secara Li’an tersebut, hakim akan memisahkan suami isteri itu selama-lamanya. Dan selepas itu, anak tersebut boleh dianggap anak tidak sah taraf.
Apa Keadaan Lain Yang Boleh Dianggap Anak Tidak Sah Taraf?
i. Anak lahir kerana ibu dirogol - jika ibu tersebut dirogol, maka anak yang dilahirkan tersebut akan dikira sebagai anak tidak sah taraf.
ii. Pasangan yang tidak membuat pengesahan nikah - jika pasangan ini bernikah di Siam contohnya, tetapi tidak pernah membuat pengesahan nikah di Malaysia, apabila anak tersebut dilahirkan, maka anak tersebut boleh dianggap sebagai anak tidak sah taraf sehinggalah ibu bapanya mendapat pengesahan nikah dan membuat permohonan pengesahan nasab di Mahkamah Syariah.
iii. Sumbang mahram - anak yang terlahir hasil persetubuhan haram lelaki dan wanita yang mempunyai pertalian persaudaraan atau sesama mahram.
Siapa Yang Layak Jaga Anak Tidak Sah Taraf?
Dalam Seksyen 86, Enakmen Keluarga Islam, anak tidak sah taraf adalah hak sepenuhnya kepada IBU dan saudara mara IBU sahaja. Perkara ini selaras dengan hukum syarak dalam Islam.
Ini bermakna, bapa biologikal atau lelaki yang bersetubuh dan menganggap dirinya sebagai bapa sekalipun, TIDAK LAYAK untuk mendapat apatah lagi membuat tuntutan Hak Jagaan Anak Tidak Sah Taraf di Mahkamah Syariah.
Kalau Pak Sanggup Macam Mana?
Jika sekiranya wanita tersebut memang diketahui sedang mengandungkan anak sebelum berkahwin dan kemudian lelaki tersebut tetap bernikah dengan wanita itu, maka dia dianggap sebagai Pak Sanggup.
Ada pandangan syarak menyatakan, tidak boleh berkahwin dengan wanita yang sedang hamil anak luar nikah. Dan ada pandangan yang membenarkan untuknya bernikah, tetapi haram untuk suami tersebut bersetubuh dengan wanita tersebut sehinggalah anak tersebut dilahirkan.
Majlis Fatwa Kebangsaan pernah memutuskan pada 1971 bahawa perempuan yang hamil anak luar nikah HARUS dinikahi tetapi anaknya TIDAK BOLEH dinasabkan kepada lelaki atau Pak Sanggup tersebut.
Kesimpulan
Tuntasnya, sekiranya Mika ini memang pasti dia bukan dinasabkan kepada Azlan, maka pastinya dia adalah anak tidak sah taraf. Oleh demikian, di sisi Islam dan hukum syarak, hak jagaan sepenuhnya adalah kepada Ruhila.
Memang satu sudut kita akan kata kasihan kepada Mika yang rindukan Juweta. Namun, hakikat yang tak dapat dielakkan adalah Azlan dan Juweta tidak ada hak apa-apa terhadap Mika. Cuma, jika Ruhila sebagai ibu faham dan ingin elakkan kebajikan Mika terjejas, maka dia boleh serahkan kepada Juweta sebagai anak angkat yang sah.
Insha Allah, jagaan anak ini yang penting adalah faham tentang kebajikan anak. Anak itu tidak bersalah. Kasihankan anak kecil yang masih perlukan kasih sayang dan bimbingan orang dewasa. Jangan seksa dan hina mereka walau mereka adalah anak tidak sah taraf kerana hakikatnya mereka juga sama seperti kita, datang dari Allah SWT juga.
Fahmi Ramli adalah seorang peguam Syarie yang bertapak di Kedah, Pulau Pinang, Perlis dan Perak. Seorang yang aktif dalam penulisan berkaitan perundangan Syariah dan merupakan Timbalan Setiausaha PGSM Kedah. Penulisannya ditanda dengan tanda pagar #syarieavengers
Foto: TV3
Waadat, Daulat, dan Keramat Rakyat
Di dalam konsep monarki Melayu, Raja itu pemegang dan pewaris Kedaulatan. Raja akan mangkat tetapi tidak bagi Daulat. ‘The Sovereign never dies’.