Azizah, Engkau Laksana Bulan
Dahulu arwah datuk saya pernah bercerita tentang zaman kegemilangan lagu-lagu (Tan Sri Datuk Amar Dr.) P. Ramlee. Kata datuk, sewaktu mudanya dahulu sekitar 1950an – 1960an kadang-kadang orang akan bertandang ke rumah-rumah jiran yang memiliki radio apabila lagu P. Ramlee berkumandang. Maklumlah, ketika itu radio adalah barangan mewah yang tidak semua orang mampu miliki.
Tidak macam sekarang lagu-lagu popular boleh didengari dengan mudah. Lagu-lagu P. Ramlee sebenarnya sangat popular sekitar nusantara. Dahulu perbezaan budaya antara Malaya (kini Malaysia) dan Indonesia masih belum meruncing dan sempadan politik tidak menjadi batu pemisah kedua-dua negara ini termasuklah di dalam industri seni dan hiburan.
Sebab itu dahulu ramai anak-anak seni dari Sumatera berhijrah ke Singapura atau Malaya. Perbezaan budaya dan sosial cuma meruncing setelah Indonesia melakukan konfrontasi terhadap penubuhan Malaysia. Begitulah politik ini seperti api – adakala sangat berguna, adakala sangat bahaya, adakala dalam sekam ia membara.
Lagu-lagu irama Melayu dendangan P. Ramlee tersangat popular seluruh nusantara. Bertahun-tahun lamanya lagu-lagu P.Ramlee dikatakan bertakhta, tetapi sayangnya tatkala itu tiada carta, tiada anugerah juara, tiada anugerah bintang popular – jika tidak mungkin P.Ramlee menggondol semuanya.
Saya minat lagu-lagu P. Ramlee, saya pasti kalian juga sama. Namun kata orang dalam banyak-banyak lagu, antara yang paling popular ialah Azizah dan Engkau Laksana Bulan. Datuk saya pun kata begitu.
Lagu-lagu P.Ramlee yang lain terkenal juga, tetapi Azizah dan Engkau Laksana Bulan memang meletup terutamanya selepas filem Penarek Becha ditayangkan pada tahun 1955. Kedua-dua lagu tersebut ada di dalam filem Penarek Becha.
Kalau filem-filem P. Ramlee tidak jemu ditonton, lagu-lagu dendangannya juga tidak jemu didengari. Namun Azizah ini misteri dan lagu Engkau Laksana Bulan pula kontroversi.
Azizah menjadi misteri – sama misteri macam Sephia Sheila on 7 – kerana ramai yang tertanya apakah watak Azizah ini sebenarnya wujud atau tidak? Perkara ini juga pernah diulas oleh Jamil Sulong iaitu seorang pelakon, pengarah dan penulis lirik terkenal yang banyak berkerjasama dengan P. Ramlee. Namun ada satu laporan berita pada tahun 1983 membongkarkan bahawa Azizah adalah kisah benar yang telah digubah menjadi lagu oleh P. Ramlee.
Lagu Azizah sebenarnya dicipta P. Ramlee semenjak tahun 1945. Namun ia betul-betul popular pada tahun 1955 seperti yang diperbincangkan tadi. Tetapi di dalam filem Penarek Becha, Jamil Sulong telah mengolah semula lagu tersebut. Iramanya menjadi lebih perlahan dan liriknya juga berbeza.
Bagi saya lagu asal gubahan P. Ramlee lebih ceria seperti cinta yang sedang berbunga-bunga, tetapi olahan semula menjadikan lagu tersebut lebih perlahan seumpama berduka. Lirik asalnya juga kedengaran lebih mudah difahami serta indah didengari, lirik versi olahan pula seumpama lebih ‘deep’ – makan dalam bak kata orang sekarang. Tetapi saya meminati kedua-dua versi.
Saya tahu saya bukan (Datuk) Ramli M. S., (Datuk) Mokhzani Ismail atau Azmeer untuk membuat komentar tentang lagu dan nyanyian, tetapi saya cuma menyampaikan pendapat dari isi hati saya sebagai seorang pendengar.
Tentang kontroversi lagu Engkau Laksana Bulan pula, saya tidak mahu bercerita panjang kerana saya tidak dapat mencari sumber kukuh mengenai kisah tersebut. Namun jika kita mendengar lagu tersebut yang dinyanyikan semula oleh (Datuk) Sheila Majid, ada satu baris lirik yang ditinggalkan iaitu “kau cabutlah nyawaku”.
Namun begitu pada tahun 2018, 149 lagu-lagu P. Ramlee telah diisytiharkan sebagai Warisan Kebangsaan termasuklah lagu Azizah dan Engkau Laksana Bulan.
Seroja bak Fatwa Pujangga
Pernah juga satu ketika saya mendengar lagu Seroja nyanyian (Datuk) Jamal Abdillah, malah saya turut sama menyanyikannya. Kemudian arwah datuk bertanya “siapa penyanyi asal lagu itu?” – dah tentulah dengan penuh keyakinan saya jawab Jamal Abdillah, memang dahulu ‘mati-mati’ saya ingat itu lagu dia. Tetapi datuk saya mengatakan lagu itu asalnya dinyanyikan oleh S. Effendi, terpinga-pinga juga saya mendengar nama itu kerana kali pertama mendengarnya.
Dari itu saya tahu bahawa datuk saya bukan sahaja meminati P. Ramlee, tetapi dia juga meminati S. Effendi. Pada mulanya saya tertanya juga siapa S. Effendi ini? Tetapi jika dihayati lagu Seroja, liriknya sangat bermakna seperti pesanan pujangga dan iramanya malar segar malah bugar. Pasti dia bukan calang-calang orangnya.
Nah dugaaan saya benar. Menurut cerita, setelah bertahun-tahun bertakhta akhirnya Azizah dan Engkau Laksana Bulan yang lama bertakhta kini ada saingannya. Lagu-lagu nyanyian S. Effendi seperti Bahtera Laju dan Fatwa Pujangga sangat diminati ramai dan menjadi hit di Indonesia dan Malaya.
Malah lagu-lagu nyanyian S. Effendi yang lain juga telah mengalihkan perhatian peminat lagu irama Melayu Indonesia setelah bertahun-tahun lamanya terarah kepada P. Ramlee. Rakyat Malaya juga terikut-ikut sama meskipun populariti P. Ramlee tetap kekal utuh.
Bahkan pernah diadakan pertandingan mencari bakat persis S. Effendi dan ianya dimenangi oleh Ahmad Jais yang kemudiannya menjadi penyanyi terkenal di Malaya (kemudiannya Malaysia). Begitulah S. Effendi digilai sewaktu itu.
Malah misteri pada lagu Fatwa Pujangga juga telah menambah rasa. Misteri seperti lagu Azizah juga. Dikatakan lagu tersebut sebenarnya ialah jawapan S. Effendi kepada seorang peminat tidak dikenali yang telah mengutuskan surat kepadanya.
Namun ada juga kisah yang mengatakan sebenarnya adik S. Effendi sendiri yang mengutuskan surat itu. Oleh kerana tiada alamat pengirim dan tidak tahu adiknya entah berada di mana, maka jawablah S. Effendi akan surat itu dalam bentuk lagu agar adiknya tahu bahawa surat itu telah diterima. Saya yakin pasti ramai diantara kita yang meminati atau suka mendengar lagu Seroja dan Fatwa Pujangga, saya juga begitu.
Sebenarnya memang tidak dapat dinafikan bahawa P. Ramlee dan S. Effendi adalah ikon lagu-lagu irama Melayu dengan mahakarya dendangan mereka. Namun selepas perselisihan politik yang agak meruncing seperti peristiwa konfrontasi dan sebagai, dunia seni antara Malaysia dan Indonesia seakan-akan membawa haluan masing-masing – walaupun masih attached, tetapi tidak seakrab sebelumnya.
Muzik Melayu
Terlanjur kita berbincang tentang ikon irama Melayu, ada baiknya saya rasa kita bincangkan juga tentang irama Melayu. Apa itu irama Melayu ya?
Untuk mengenal apa tu irama Melayu, kita harus kenal sejarah muzik etnik Melayu. Kerana irama Melayu itu agak sukar ditafsirkan kerana ia bukanlah genre muzik yang khusus. Irama Melayu bukanlah semata-mata tentang irama atau lagu Melayu Asli.
Muzik di dalam masyarakat Melayu asalnya mempunyai beberapa fungsi seperti hiburan, kedaulatan serta kebesaran Raja, ritual dan sosial. Muzik menjadi hiburan bagi Raja serta kerabat dan para bangsawan terutamanya dalam sambutan-sambutan tertentu seperti hari keputeraan Raja. Muzik seperti nobat pula dianggap sebagai kebesaran dan kedaulatan seseorang Raja.
Muzik juga mempunyai peranan ritual seperti di gelanggang silat. Pada zaman dahulu, mahu buka panggung pun ada ritualnya. Ia juga mempunyai peranan sosial misalnya menjadi tonggak pada sesuatu persembahan seperti tarian dabus yang menarik ramai rakyat untuk melihatnya.
Masyarakat Melayu juga sudah tentunya kaya dengan lagu-lagu rakyat. Ia adalah asal-usul irama dan muzik dalam alam Melayu. Ia memberikan kesan serta inspirasi terhadap muzik klasik Melayu.
Diantara lagu-lagu rakyat yang terkenal ialah seperti Rasa Sayang, Ala Canggung, Anak Ondeng, Can Mali Can, Geylang Si Paku Geylang, Ikan Kekek, Puteri Santubong, dan Ulek Mayang. Selain itu masih banyak lagi lagu-lagu rakyat di alam Melayu yang tidak sempat saya senaraikan.
Asas sejarah lagu rakyat ini selalunya sukar untuk diketahui. Ia juga tercipta secara bersahaja tanpa teori muzik yang khusus, tanpa gubahan muzik yang sukar – tidak perlu susah payah catat ‘chord tauge’ bak kata orang. Inilah lagu ‘folk’ Melayu. Kini lagu rakyat dan muzik klasik Melayu dikenali sebagai lagu dan muzik tradisional Melayu.
Irama Melayu
Muzik Melayu tidak kaku, ia berkembang dan fleksibel. Seiring dengan kedudukan alam Melayu yang dahulunya menjadi tumpuan para pedangang, muzik Melayu juga banyak menyerap pengaruh muzik dan irama dari masyarakat lain seperti Arab, Parsi, India, China dan Barat. Pengaruh muzik lain ini mempengaruhi muzik Melayu dari segi alat muzik, melodi (irama) dan seni kata.
Kemudian lahirlah rentak atau genre seperti irama Melayu Asli, Ghazal, Inang, Joget, Dondang Sayang, Zapin, Keroncong, Masri dan sebagainya. Daripada alatan muzik tradisional seperti cak lempong, angklung, seruling, rebab, kini timbul pula gambus, biola, akordion, rebana dan sebagainya.
Bagi saya ini adalah batu tanda penting buat seni lagu Melayu yang mana alatan muzik Melayu sudah berganti tetapi iramanya masih ada dan kekal walaupun sudah sedikit berbeza menjadi tonggak seni persembahan. Inilah maksud irama Melayu. Inilah sinkretik di dalam muzik Melayu yang menyelaraskan irama dan muzik Melayu dengan pengaruh daripada irama dan muzik masyarakat lain sehingga ia berjaya membentuk identiti muzik Melayu yang baru.
Irama Melayu banyak diperkembangkan oleh orkes (atau orkest, daripada perkataan orchestra) Melayu. Asal-usul orkes Melayu ini diakatakan bermula sekitar iaitu sekitar tahun 1890an.
Ia berasal daripada kumpulan orkestra yang mengiringi persembahan bangsawan atau stambul iaitu sejenis persembahan teater tradisional yang menggabungkan muzik, drama dan tarian. Orkestra bangsawan ini mempersembahkan repertoir muzik (segala bentuk irama, nyanyian, alatan muzik yang merangkumi seluruh persembahan) campuran antara Melayu, Cina, India, Arab dan Eropah.
Persembahan bangsawan ini dikatakan berasal dari masyarakat Parsi yang yang berhijrah ke India. Persembahan tersebut lalu dibawa ke Pulau Pinang – mungkin kerana Pulau Pinang semasa zaman kolonial menjadi pusat perdagangan dan penghijrahan.
Persembahan bangsawan ini kemudiannya berkembang ke seluruh Malaya dan Singapura. Oleh kerana sempadan politik-negara antara Indonesia dan Malaya (mahupun Malaysia) pun belum wujud, bangsawan Melayu ini mudah berkembang dan dibawa sehingga Batavia (Betawi, kini Jakarta) dan Surabaya di Jawa serta Deli dan Riau di Sumatera.
Namun lama-kelamaan, orkestra Melayu ini berdiri dengan sendiri tanpa bergantung lagi kepada persembahan bangsawan. Pengaruh mereka yang sebelumnya sudah kukuh di sekitar Nusantara melalui persembahan bangsawan membuatkan mereka mudah diterima oleh masyarakat.
Tatkala zaman orkes Melayu menjadi tren semasa tahun 1950an hingga 1960an, mereka mula banyak terpengaruh dengan lagu-lagu dari filem Melayu terutamanya lagu-lagu P. Ramlee. Lagu-lagu dari filem Melayu juga sebenarnya adalah lagu-lagu irama Melayu juga seperti yang dimainkan oleh kumpulan-kumpulan orkes Melayu.
Cuma bezanya ialah – walaupun irama Melayu itu dipengaruhi oleh alat-alat muzik, lirik dan teknik nyanyiannya dari Arab, India, Barat, China, Parsi – irama Melayu di dalam filem Melayu mula menampilkan karakteristik, ekspresi serta susunan gubahan lagunya yang mula dipengaruhi dan didominasi teknik Barat walaupun kemelayuannya tidak 100% hilang. Alatan muziknya diperkembangkan lagi sesuai dengan perkembangan zaman dan teknologi.
Sewaktu itu ia bolehlah dikatakan sebagai muzik atau irama pop Melayu. Inilah genre atau gaya muzik Melayu era P. Ramlee dan S. Effendi. Kemelayuannya masih boleh didengari pada teknik nyanyian dan lirik. Teknik nyanyiannya mempunyai lenggok dan cengkok yang tersendiri. Malah diksinya (penggunaan kata) juga tersendiri dan kedengaran kemelayuan.
Liriknya masih kedengaran sangat kemelayuan, ada yang susunan seperti pantun kerana setiap rangkap diakhiri dengan huruf sama. Misalnya lirik lagu Engkau Laksana Bulan –
Engkau laksana bulan, Tinggi di atas kayangan, hatiku dah kau tawan, hidupku tak keruan…
Lirik-lirik lagu irama Melayu juga kaya dengan kiasan (perbandingan), personafikasi (menggunakan persamaan perkara-perkara lain dengan manusia), hiperbola (digambarkan dengan cara yang melampau) dan metafora (perbandingan dengan unsur alam).
Hibrid dan Fusion dalam Irama Melayu
Di sini saya juga mahu menyentuh berkenaan irama dangdut. Dangdut ini bukannya irama ‘pure’ tradisional. Dangdut ini asalnya daripada irama orkestra Melayu daripada persembahan teater bangsawan juga yang di bawa ke Surabaya dan Batavia. Lalu ia digubah dan mengalami evolusi sehingga menjadi irama dangdut pada hari ini. Ia merupakan irama Melayu hibrid.
Kalau kalian merasa keliru untuk menghubungkan dangdut pada hari ini dengan irama Melayu, saya cadangkan kalian untuk mendengar lagu-lagu Rhoma Irama. Sehingga kemudian kalian pasti faham perselisihan serta perbezaan antara Rhoma Irama dan Inul Daratista.
Sehingga kini irama Melayu masih kekal walaupun bersaing dengan irama pop yang lain. Malah masih wujud banyak kumpulan orkes Melayu yang mendedangkan irama Melayu dan meng-irama Melayu-kan lagu-lagu pop yang lainnya. Malah elemen atau alatan muzik muzik Melayu tradisional juga adakala cuba ditampilkan secara unik dalam gubahan lagu kendati kadang-kadang ia sekadar bunyian daripada synthesizer.
Dalam pengertian yang luas, sebenarnya irama Melayu tidak pernah terhenti. Jika dahulu muzik Melayu melalui zaman sinkretik, sekarang irama Melayu ia telah mengalami fusion. Fusion irama Melayu ini sebenarnya telah lama berlaku seperti gabungan antara keroncong dan rumba.
Pada era pertengahan era 1960an irama Melayu telah mengalami fusion dengan rock and roll serta surf rock yang melahirkan irama genre Pop Yeh-Yeh. Daripada orkes Melayu kini timbul pula kugiran (kumpulan gitar rancak).
Pop Yeh-Yeh sebenarnya lahir dari pengaruh kumpulan muzik British iaitu The Beatles terhadap seni muzik Melayu, namun nyanyiannya tetap mengekal unsur-unsur irama Melayu. Nama Pop Yeh-Yeh itu sendiri dikatakan lahir daripada lirik lagu The Beatles bertajuk She Loves You yang menyebut yeah, yeah, yeah.
Jika kita mendengar lagu-lagu seperti Suzana, Mas Mona, Tak Mengapa dan sebagainya, lenggok nyanyian Melayu itu masih ada. Begitulah irama Melayu tetap kekal menjadi roh dalam lagu-lagu pop moden di Malaysia terutamanya.
Tapi kadang-kadang terfikir juga, jika terlalu fleksibel, terlalu fusion dan sinkretik sifatnya, maka apakah muzik dan irama Melayu ini tiada identiti yang kekal? Atau muzik dan irama Melayu itu sememangnya sangat fleksibel bagi menghadapi dunia seni muzik yang memang sangat cepat berubah.
I rest my case.
Rizuan Abdul Hamid berasal dari Ipoh dan telah lama berhijrah mencari rezeki dan pengetahuan di Lembah Klang. Beliau adalah homo sapiens yang cuba menjadi insan.
Foto: Facebook Nostalgia Filem Melayu / Uncredited
Waadat, Daulat, dan Keramat Rakyat
Di dalam konsep monarki Melayu, Raja itu pemegang dan pewaris Kedaulatan. Raja akan mangkat tetapi tidak bagi Daulat. ‘The Sovereign never dies’.