Orde Baru dan 'Nanti Kita Cerita Tentang Hari Ini'

Orde Baru dan 'Nanti Kita Cerita Tentang Hari Ini'

Kalian sudah lama kehilangan aku – Aurora, NKCTHI

Filem “Nanti Kita Cerita Tentang Hari Ini” (NKCTHI) telah menjadi filem pembuka tirai untuk tahun 2020 di Indonesia. Beberapa bulan kemudian, kerana wabak COVID-19, filem ini hanya dapat ditonton di Malaysia melalui Netflix dan Astro.

Filem arahan Angga Dwimas Sasongko ini sebenarnya merupakan adaptasi daripada buku Marchella FP. Judul buku ini juga adalah Nanti Kita Cerita Tentang Hari Ini. Walau bagaimanapun, buku Marchella FP tersebut bukanlah novel. Sebaliknya, kumpulan kata-kata yang menarik tentang kehidupan.

Mesej mengenai kepentingan komunikasi sangat kuat dalam filem NKCTHI. Filem ini dilihat dekat dengan kehidupan seharian dan hubungan seorang anak (anak sulung, anak tengah dan anak bongsu) dengan orang tua mereka. Jadi, tidak hairanlah jika filem NKCTHI diangkat sebagai filem keluarga. Boleh dikatakan juga bahawa penonton akan dapat mengaitkan filem ini dengan kisah mereka sendiri.

Filem NKCTHI menceritakan tentang perasaan dan sudut pandangan Narendra (bapa), Ajeng (ibu) dan anak-anak mereka, iaitu Angkasa (abang), Aurora (anak tengah) dan Awan (adik). Daripada luar, mereka tampak seperti keluarga yang bahagia. Hakikatnya, semua watak ini mempunyai pengalaman yang mendalam tentang kekecewaan dan kehilangan.

Lakonan mantap oleh para pelakonnya membuatkan penonton-penonton juga seakan-akan merasai penderitaan batin. Secara umum, filem ini mampu memprovokasi emosi penonton sama ada perasaan sedih, marah atau kosong.

Filem NKTCHI dianggap sebagai filem keluarga semata-mata. Namun, mungkin terdapat pesanan tersirat dalam filem ini. Bagaimana jika ‘tagline’ NKCTHI “Setiap keluarga punya rahasia” diganti dengan “Setiap Negara punya rahasia”? Dari sudut pandangan lain, boleh diinterpretasikan bahawa filem ini dibina berdasarkan konteks politik di Indonesia.

Harus diingat fakta bahawa Angga Dwimas Sasongko adalah graduan sains politik daripada Universitas Indonesia. Salah satu filemnya, “Surat Dari Praha” juga mempunyai unsur-unsur politik. Entah sengaja atau tidak, latar masa filem NKCTHI bermula pada tahun 1998 apabila Angkasa dan Aurora menunggu kelahiran adik mereka.

Usaha Narendra untuk menyembunyikan tragedi kematian anaknya yang juga adalah kembar Awan, mengingatkan kepada Orde Baru di Indonesia.

Pemerintah sehingga ke hari ini melakukan banyak propaganda dan pelencongan fakta termasuklah melalui buku teks sekolah dan filem propaganda “Penumpasan Pengkhianatan G30S/PKI” untuk menutup sejarah sebenar. Selama 32 tahun era Soeharto, filem ini ditayangkan di televisyen dan juga menjadi tontonan wajib bagi pelajar-pelajar sekolah pada setiap 30 September.

Pemerintah tidak jujur dalam menceritakan tentang apa yang sebenarnya berlaku pada tahun 1965 dan sesudah itu. Ramai orang dibunuh dan hilang tidak ditemui. Pelanggaran hak-hak asasi manusia banyak sekali terjadi. Bahkan, pemerintah melakukan pelbagai taktik untuk memberikan kesan bahawa Partai Komunis Indonesia (PKI) dan komunisme adalah momok yang sangat berbahaya kepada rakyat. Bahkan, walaupun PKI kini sudah tidak ada di Indonesia, kebanyakan isu dan wacana politik yang bertentangan dengan pemerintah, lazimnya dituding sebagai ideologi PKI.

Pemerintah cuba mempamerkan bahawa Indonesia tidak mempunyai masalah dan merupakan sebuah negara yang sedang baik-baik sahaja. Malah, rekonsiliasi, permohonan maaf kepada semua mangsa dan pelurusan fakta tidak pernah dilakukan dengan serius oleh pemerintah-pemerintah Indonesia. Banyak kes pelanggaran hak-hak asasi manusia di Indonesia tidak mendapat keadilan.

Lihat sahaja kes Penembakan Misterius (Petrus) (1982-1985), Peristiwa Talangsari di Lampung (1989), penculikan aktivis (1997-1998), Kerusuhan Mei (1998), Peristiwa Trisakti (1998), Tragedi Semanggi I (1998) dan Tragedi Semanggi II (1999). Trauma ini ditutup-tutup oleh pemerintah sebagaimana Narendra menutup trauma kematian anaknya. Apakah pemerintah Indonesia nanti akan cerita tentang hari ini kepada rakyatnya?

Sharifah Nursyahidah merupakan pensyarah sains politik di Universiti Kebangsaan Malaysia yang meminati penyelidikan dalam politik budaya dan gerakan buruh. Telah menulis beberapa buku dan artikel antaranya "Punk, Penentangan dan Politik Transnasionalisme” dan “Raver dan Hipster: Ekspresi Sub-Budaya Remaja di Kuala Lumpur”.

 Foto ihsan The Jakarta Post

Share this Post: