Negara dan Negeri

Negara dan Negeri

Mukadimah

Baru-baru ini agak hingar tentang isu ‘wilayah’ Sabah dan Sarawak. Tetapi saya tidak mahu membincangkan isu ini. Saya cuma mahu membincangkan dengan kalian jenis-jenis sistem kenegaraan dan hubungannya dengan divisyen pentadbiran peringkat atas atau peringkat tertinggi di beberapa buah negara. 

Memang ada banyak jenis sistem pentadbiran di dunia. Kalau nak dibincangkan semua tak mungkin rasanya, kena buka kelas kenegaraan. Tetapi dalam kesempatan yang terhad ini, kita cubalah bincang serba sedikit.

Rata-ratanya di dunia ada dua sistem kenegaraan – negara persekutuan (federation) dan negara kesatuan (unitary state), tetapi ada juga yang seumpama hibrid atau campuran antara dua sistem tersebut.

Negara Persekutuan dan Negeri - Malaysia

Kalau negara persekutuan seperti negara kita-lah, Malaysia. Selain itu Amerika Syarikat juga menggunakan sistem persekutuan. Ada banyak lagi negara yang menggunakan sistem ini, nanti kita bincang lagi. Alasan saya sebut Malaysia dan Amerika Syarikat ialah untuk membincangkan perbezaan sistem persekutuan diantara kedua-dua negara.

Umumnya sistem persekutuan mempersekutukan (baca: menggabungkan) beberapa negara untuk menjadi negara tunggal. Sebab itu jika di Indonesia adakala negeri yang menganggotai sesebuah persekutuan dipanggil sebagai ‘negara bagian’ (negara bahagian). 

Jadi kalau di Malaysia, semua negeri-negeri asalnya ialah negara. Jikalau ada perdebatan tentang perkara ini, kita tetap harus mengakui setiap negeri mempunyai ciri-ciri kedaulatan yang tersendiri sebelum terbentuknya persekutuan. 

Sebab itu kalau di Perak sebelum dibina Istana Iskandariah, ada satu istana rasmi Sultan Perak dikenali sebagai Istana Negara (letaknya, di tapak Istana Iskandariah juga). Malah ada satu badan penasihat Sultan dalam beberapa perkara yang dinamakan sebagai Dewan Negara.

Negara Persekutuan – Amerika Syarikat

Tetapi perbezaan sistem persekutuan di Malaysia berbanding Amerika Syarikat ialah – bidang kuasa negeri-negeri di Amerika Syarikat lebih banyak berbanding Malaysia. Ini kerana ketika penubuhan Persekutuan Malaya (kemudiannya Malaysia), Tunku Abdul Rahman gusar jika sesetengah negeri menjadi terlalu kaya berbanding negeri lain. 

Oleh itu banyak kuasa diberikan kepada persekutuan agar kemajuan antara negeri yang kaya dan kurang kaya dapat diseimbangkan. Tetapi sama ada hasrat Tunku itu dapat direalisasikan atau tidak, itu sudah tentulah akan menjadi perdebatan yang berjela-jela panjang.

Pernah tak terfikir kenapa United States of America (U.S.) kita panggil sebagai Amerika Syarikat? Kenapa tidak Persekutuan Amerika ataupun Kesatuan (United) Amerika? Saya sendiri tidak betul-betul pasti. Tetapi saya pernah terbaca bahawa tafsiran ‘syarikat’ itu kerana terpengaruh dengan tafsiran nama negara Republik Indonesia Serikat (United States of Indonesia). Iya, Indonesia semasa awal kermerdekaannya pernah menjadi negara persekutuan.

Sekutu iaitu kata asal persekutuan di dalam bahawa Arab ialah syirk. Sebab itu syirik bermaksud mempersekutukan. Dari perkataan syirk inilah lahirnya istilah syarikat – kerana syarikat pada tafsiran awalnya haruslah mempunyai sekurang-kurangnya dua orang pemegang saham. 

Jadi sekutu atau syarikat dalam konteks negara ialah gabungan beberapa negara (baca: negeri) untuk membentuk entiti tunggal. Setiap negeri ini mempunyai ‘share’ (syer) di dalam negara tersebut.

Negara Kesatuan – Negara Dalam Negara dan Devolution

Tetapi kalian jangan pula bandingkan United States of America dengan United Kingdom (U.K.). Sebab U.K. sebenarnya bukan negara persekutuan. Sebaliknya ia adalah negara kesatuan. 

Walaupun U.K. dikatakan terdiri daripada gabungan empat buah negara (country), tetapi ia telah membentuk entiti politik tunggal (panjang sejarahnya). Scotland, Wales dan Ireland Utara kini masing-masing mempunyai kuasa politik yang tersendiri, namun kuasa itu dikurniakan daripada ‘kuasa pusat’ (baca: kerajaan dan parlimen). 

Kuasa tersebut diberikan atau diturunkan (devolution) kepada negara-negara berkenaan. Ini kerana kerajaan U.K. mengiktiraf kewujudan ‘kedaulatan asal’ negara-negara (countries) yang wujud tersebut.

Negara Kesatuan

Berbeza pula dengan Indonesia, negara jiran kita. Walaupun awalnya ia adalah sebuah negara persekutuan namun kemudiannya mereka memilih untuk menjadi negara kesatuan – kedaulatan asal negeri-negeri dahulu sudah tiada. 

Jika sempadan England, Scotland dan Wales tetap dan tidak berubah, tetapi sempadan provinsi (province) di Indonesia sentiasa sahaja berubah dan jumlah provinsi boleh bertambah. Ia boleh diubah seperti mengubah sempadan daerah sedangkan provinsi ialah divisyen pentadbiran peringkat atas – sama jika dibandingkan dengan pentadbiran sesebuah negeri.

Jika negara persekutuan boleh diupamakan sebagai syer atau bahagiannya dipegang oleh negeri-negeri, tetapi negara kesatuan ialah entiti yang cenderung mutlak.

Quasi-federal

Kalau kita tengok India pula mereka mengamalkan sistem quasi-federal, iaitu satu sistem seperti separa persekutuan. Negeri-negeri di India mempunyai kuasa legislatif dan kedaulatan yang tersendiri seperti boleh menggubal undang-undang tertentu. Namun sempadan-sempadan ini boleh diubah dan negeri-negeri yang baru boleh dibentuk oleh kuasa pusat.

Ini tentunya berbeza dengan Malaysia kerana sempadan negeri tidak akan boleh diubah walaupun seinci melainkan kes untuk pengambilan tanah bagi Wilayah Persekutuan, itupun memerlukan kelulusan dewan undangan negeri dan memerlukan perkenan raja negeri tersebut (bagi negeri beraja).

Quasi-Federal – Negara Konstituen 

Dalam kes The Kingdom of Netherlands pula, quasi-federal mereka lebih unik. Ia menggabungkan empat buah negara konstituen (constituent country) iaitu Belanda (Netherlands), Aruba, Curacao dan Sint Maarten. 

Negara konstituen mempunyai kuasa yang lebih luas dan cenderung berfungsi sebagai sebuah negara berbanding negeri (negara bagian). Dalam konteks quasi-federal The Kingdom of Netherlands, konsep kuasa persekutuannya sedikit longgar dan kuasa negara konstituen lebih menyerlah – ia jauh berbeza daripada sistem di India.

Mungkin kedengaran mirip seperti United Kingdom, tetapi ia berbeza. Ini kerana keempat-empat negara konstituen di dalam The Kingdom of Netherlands, negara-negara tersebut mempunyai sistem pentadbiran yang tersendiri, legislatif yang tersendiri malah kedaulatan yang tersendiri. 

Tetapi The Kingdom of Netherlands berkuasa dalam hal pertahanan (ketenteraan) dan hubungan luar negeri (baca: luar negara). Namun begitu, kita tahu bahawa Belanda (Netherlands) mempunyai pengaruh yang besar di dalam sistem kenegaraan ini.

Maka itulah serba sedikit tentang sistem kenegaraan yang wujud. Mungkin ada yang kedengaran pelik tetapi begitulah adanya. 

Kalau dalam sukan bola sepak misalnya, negara-negara (countries) dalam United Kingdom dan negara-negara konstituen anggota The Kingdom of Netherlands diwakili oleh negara masing-masing. Tetapi di dalam Sukan Olimpik pula, U.K. diwakili oleh satu entiti manakala The Kingdom of Netherlands tetap diwakili oleh negara konstituen masing-masing.

Negara Berdaulat (Sovereign State)

Walaupun negeri (atau negara bagian), negara (country) dan negara konstituen (constituent country) mempunyai kuasa yang tertentu dan pada tahap yang tertentu juga, namun kedaulatan mutlak dipegang oleh negara berdaulat. Misalnya dalam konteks Malaysia (negara persekutuan), U.K (negara kesatuan – devolution) dan The Kingdom of Netherlands (quasi-federal – negara konstituen), negara berdaulat tetap berkuasa di dalam urusan luar negeri dan pertahanan. Negara berdaulat tetap mewakili kedaulatan di Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) dan sebagainya.

Namun sedikit kekeliruan berlaku di dalam Bahasa Melayu kerana konsep negara yang kita kenali tidak membezakan antara country dan (sovereign) state. Tetapi bukanlah Bahasa Melayu ini miskin, kalau mahu sebenarnya kitab oleh menggunakan varian perkataan nusa atau watan bagi memaksudkan country. Itupun kalau kita mahulah.

Country sebenarnya lebih bermaksud suatu sempadan kawasan yang lebih mirip kepada tanah air, watan ataupun nusa. Tetapi state lebih merujuk kepada satu kawasan yang yang mempunyai ciri-ciri pentadbiran atau politik dengan kuasa-kuasa yang tertentu, dan ia lebih memiripi maksud negara.

Kanton dan Oblast

Saya rasa kita telah banyak membincangkan tentang maksud negeri. Tetapi di Switzerland dan Russia yang juga turut menggunakan sistem persekutuan, mereka menamakan divisyen pentadbiran peringkat atas sebagai kanton (canton) dan oblast

Kanton ini fungsinya sama seperti negeri atau state. Tetapi oblast ini ialah nama divisyen pentadbiran yang selalunya digunakan oleh negara-negara bekas Kesatuan Soviet. Jika di Russia oblast membawa fungsi seperti negeri, tetapi di Ukraine iaitu sebuah negara kesatuan ia tidak mempunyai kedaulatan tertentu seperti sebuah negeri.

Provinsi (Province)

Walaupun divisyen pentadbiran peringkat atas di Indonesia dan Thailand dikenali sebagai provinsi (di dalam Bahasa Thai dikenali sebagai changwat), tetapi istilah tersebut (provinsi) sebenarnya turut digunakan oleh Kanada yang merupakan sebuah negara persekutuan.

Di Kanada, provinsi membawa kuasa seperti sebuah negeri. Negara Kanada terdiri daripada sepuluh buah provinsi dan tiga buah wilayah (territory).

Wilayah: Antara Territory dan Region

Tiga wilayah di Kanada tersebut tidak mempunyai kuasa untuk menggubal undang-undang sendiri. Situasi ini juga terjadi pada union territory di India. Untuk memahami perkara ini, kita boleh bandingkan konsep territory atau wilayah ini dengan Wilayah Persekutuan di Malaysia.

Di Indonesia ada satu kawasan yang tidak dinamakan sebagai provinsi, namun kedudukan atau tarafnya sama seperti provinsi. Ia adalah Special Region of Yogyakarta yang jika di dalam Bahasa Indonesia disebut sebagai Daerah Istimewa Yogyakarta. 

Region dalam Bahasa Melayu (di Malaysia) bolehlah juga diterjemah sebagai wilayah kerana jika ditafsirkan dengan istilah rantau, maksudnya terlalu berbeza. Tetapi di Indonesia ia diterjemah kepada daerah yang kalau di Malaysia cenderung bererti dan bertaraf district. Saya tidak tahu mengapa Indonesia mentafsirkannya sebagai daerah, apakah mungkin kerana saiz kawasannya yang tidak begitu besar?

Wilayah Autonomi

Special Region of Yogyakarta pada tahap tertentu mempunyai autonomi yang tersendiri sama seperti Provinsi Acheh, namun pada perincian yang berbeza. Walaupun erti devolution dikatakan boleh mengatasi erti kuasa autonomi, namun autonomi dikatakan adalah kuasa asli sesuatu kawasan dan ia berbeza dengan devolution yang cenderung bermakna kuasa yang dikurnia. 

Di Sepanyol, divisyen pentadbiran peringkat atas dikenali sebagai komuniti bertautonomi (autonomous communities). Sepanyol ialah sebuah negara kesatuan, walau dengan autonomi tertentu yang telah diberikan kepada komuniti (baca: kawasan atau wilayah), namun suara-suara pemisah daripada Catalonia dan Basque masih kedengaran.

Pemisah Basque menganggap tanah air mereka sebagai sebuah negara (country) manakala Catalonia pula telah diperkenalkan semula sebagai ‘nationality’ berbanding autonomous community berdasarkan statut undang-undang yang telah memberikan mereka lebih autonomi.

Unincorporated Territory

Ada banyak jenis wilayah pentadbiran yang wujud di negara-negara lain sebenarnya. Jadi saya rasa ada baiknya kita bincangkan sedikit lagi. Di Amerika Syarikat misalnya selain daripada negeri (state), ada satu lagi wilayah yang digelar unicorporated territory. Memang kedengaran macam syarikat, mungkin sebab itu kita panggil mereka sebagai ‘Syarikat’.

Ada dua jenis wilayah iaitu incorporated territory dan unincorporated territory. Namun sekarang cuma tinggal satu wilayah sahaja yang bergelar incorporated territory iaitu Palmyra Atoll. Incorporated territory yang lainnya semua telah dianugerahkan status kenegerian (statehood). Inilah adalah satu lagi perbezaan bentuk persekutuan Malaysia dan Amerika Syarikat kerana status negeri di Malaysia wujud sejak sebelum terbentuknya persekutuan tetapi negeri di Amerika Syarikat terbentuk setelah dikurniakan oleh Kongres (seumpama parlimen).

Namun begitu masih wujud beberapa unincorporated territory di Amerika Syarikat, seperti Guam, Puerto Rico dan beberapa wilayah lain lagi. Puerto Rico misalnya, ia mempunyai pentadbiran sendiri (self-governing). Mereka boleh menyertai Sukan Olimpik tetapi diwakili oleh Amerika Syarikat di PBB. Rakyat di Puerto Rico pula tidak terlibat di dalam pemilihan Presiden Amerika Syarikat dan mereka tiada wakil di dalam Kongres Amerika Syarikat.

Crown Dependency

Di U.K. pula selain empat negara yang membentuknya dan telah kita bincangkan tadi, ada beberapa lagi wilayah lain seperti wilayah seberang laut British (British overseas territory). Perancis juga mempunyai wilayah seberang laut. Umumnya wilayah seberang laut ini seperti unincorporated territory di Amerika Syarikat juga. Mereka mempunyai pentadbiran sendiri tetapi diwakili oleh United Kingdom di peringkat antarabangsa dan dipertahankan (baca: pertahanan) oleh U.K.

Namun ada beberapa wilayah yang unik iaitu Crown Dependency, salah satunya ialah Isle of Man. Crown Dependency bukanlah sebahagian daripada U.K.. Tetapi U.K. mewakili Isle of Man di peringkat antarabangsa dan dipertahankan oleh mereka. Ini kerana Crown Dependency telah dipertanggungjawabkan kepada Raja/Ratu United Kingdom. Tetapi di Isle of Man – misalnya Ratu Elizabeth – baginda tidak digelar sebagai ratu (queen) sebaliknya dikenali sebagai Lord of Mann.

Penutup

Begitulah serba sedikit tentang perbezaan sistem kenegaraan – persekutuan dan kesatuan – serta divisyen pentadbiran peringkat atas atau tertinggi di dalam sesbuah negara. Ada yang dikenali sebagai negeri (negara bagian), kanton, oblast, provinsi, wilayah dan sebagainya.

Di Jepun pula divisyen pentadbiran peringkat atas dikenali sebagai prefecture (todofuken). Begitulah a dikenali secara berbeza-beza di setiap negara.

Namun pada tahap ini saya masih merasakan bahawa taraf negeri atau kanton di dalam sistem persekutuan lebih tinggi berbanding territory, region, devolution mahupun autonomi di dalam sistem negara kesatuan. Taraf negeri hanya boleh diatasi oleh negara konstituen.

Namun begitu negara konstituen berdiri dengan sendiri (self-governing) dan mereka tidak terlibat dalam urusan urusan dalaman negara konstituen yang lain. Malah parlimen mereka juga lain-lain. Mereka cuma bekerjasama di peringkat urusan luar negeri dan ketenteraan sahaja pada tahap kabinet. Tetapi itu ialah quasi-federal dan bukannya persekutuan.

Jika ada suatu negeri mahu dilayan secara lebih istimewa di dalam sesebuah persekutuan (maaf, saya sendiri tidak tahu mahu memaksudkannya bagaimana), mungkin status dan terma ‘negeri khas’ atau ‘negeri istimewa’ lebih sesuai buat mereka. Kita anggap mereka mempunyai syer yang sedikit lebih berbanding syer negeri-negeri lain. 

Mungkin dalam konteks Malaysia ianya tidak berperlembagaan, tetapi tidak mengapa kerana status ‘wilayah’ juga tidak memberi sebarang kesan signifikan dalam perlembagaan – ia cenderung bersifat politik dan intergovernmental yang bersifat pentadbiran sahaja. Lagipun, bukankah perlembagaan boleh dipinda? 

I rest my case.

Rizuan Abdul Hamid berasal dari Ipoh dan telah lama berhijrah mencari rezeki dan pengetahuan di Lembah Klang. Beliau adalah homo sapiens yang cuba menjadi insan.

Foto: Youtube Petronas

Share this Post: