Narsistik, semuanya tentang Dia

Narsistik, semuanya tentang Dia

Narsistik atau Narcissistic Personality Disorder (NPD) adalah sejenis gangguan personaliti yakni penghidapnya menganggap diri mereka paling baik, paling hebat, terlalu penting, perlu mendapat perhatian dan mereka mahu sentiasa dikagumi.

Narsistik adalah satu keadaan mental yang mengatakan dialah yang paling baik di antara semua orang dan sentiasa meletakkan diri sendiri di atas.

Namun di sebalik rasa yakin diri yang tinggi ini, penghidap penyakit narsistik ini sangat mudah melatah apabila dikritik. Ya, mereka tidak boleh mendengar kritikan yang dilemparkan untuk diri mereka walaupun hanya kritikan yang kecil.

Mereka akan sedaya-upaya menunjukkan kepada orang lain bahawa mereka ialah orang yang paling arif tentang sesuatu perkara, paling tahu mengenai sesuatu, paling awal mengetahui sesuatu berbanding orang lain serta mempunyai semua benda yang lebih baik daripada orang lain.

Personaliti penghidap narsistik

  • Percaya bahawa diri mereka paling baik.
  • Percaya diri mereka bertaraf tinggi dan hanya bergaul dengan kelompok yang setaraf sahaja.
  • Merendah-rendahkan atau menghina orang yang dianggap rendah dari taraf dirinya.
  • Ingin menjadi ketua, mengharap semua orang akan setuju dengan keputusan atau rancangan yang dibuat olehnya.
  • Kurang empati. Tidak faham akan keperluan atau perasaan orang lain.
  • Suka menyalahkan orang lain atas kesilapan diri sendiri atau tidak akan mengaku salah sendiri.
  • Mengharapkan pujian, meraih kekaguman dan inginkan perhatian lebih.
  • Mudah melenting jika dikritik.
  • Cemburu dengan orang lain yang kelihatan lebih baik daripadanya.
  • Bertegas untuk mendapatkan yang terbaik daripada segala-galanya seperti rumah yang lebih besar daripada orang lain dan sebagainya.

Orang yang mempunyai personaliti yang sihat biasanya merendah diri manakala penghidap narsistik kebiasaannya sombong, mementingkan diri sendiri, suka mendesak dan meminta-minta.

Mereka boleh mengambil kesempatan terhadap orang lain untuk mendapat apa-apa yang mereka mahu.

Penghidap penyakit ini sebenarnya mengalami kesukaran dalam mengawal emosi. Jika mereka marah, mereka akan berlebih-lebihan dalam marah sehingga membawa ke tahap memukul.

Selain itu, penghidap narsistik juga susah untuk menyesuaikan diri dengan keadaan, rasa tertekan jika tidak mencapai perkara yang disasarkan dan sering berasa tidak selamat dan malu.

Menurut kajian, personaliti wanita yang menghidap narsistik lebih cenderung kepada rasa tidak selamat dan cemburu dengan wanita lain serta menganggap wanita lain sebagai ancaman.

Bagi lelaki yang menghidap narsistik pula, mereka lebih cenderung mempamerkan sikap tegas dan menunjukkan kuasa sama ada dari segi kekuatan mahupun dari segi kedudukan.

Sikap-sikap negatif ini mendorong mereka untuk membina masalah dalam kerja dan perhubungan dengan orang sekeliling seperti jiran tetangga, ahli keluarga mahupun rakan sekerja.

Sebagai contoh, jika hubungan mereka dengan pasangan mempunyai masalah, segala kesalahan hanya akan diletak di atas bahu pasangan sahaja. Tidak mungkin mereka akan mengungkapkan kata-kata yang mengakui kesalahan sendiri apatah lagi meminta maaf. Terlalu ego.

Punca narsistik

Punca terjadinya gangguan personaliti narsistik ini agak kabur. Namun tiga faktor utama yang boleh dikaitkan dengan gangguan personaliti ini adalah persekitaran, genetik dan neurobiologi.

Persekitaran bermaksud bagaimana seseorang dibesarkan oleh ibu bapanya memainkan peranan dalam memupuk personaliti narsistik ini. Terlalu memuji atau terlalu mengkritik anak boleh menyebabkan anak membesar dan memiliki karakter-karakter narsistik.

Anak-anak yang dibesarkan dengan harapan yang tidak realistik daripada ibu bapa, memerhati dan mempelajari tingkah laku manipulatif daripada ibu bapa serta sering dibanding-bandingkan dengan adik-beradik yang lain juga merupakan faktor yang menyumbang seseorang untuk memiliki gangguan personaliti narsistik ini.

Namun, personaliti narsistik biasanya didiagnosis pada umur 18 tahun dan ke atas. Jika kanak-kanak di bawah umur tersebut menunjukkan karakter narsistik, ia adalah sifat sementara dan tipikal mengikut perkembangan umur mereka.

Dari segi genetik pula, narsistik mungkin ciri yang diwarisi daripada ibu atau bapa.

Individu yang mengalami gangguan personaliti narsistik didapati mempunyai isi padu jirim kelabu yang lebih sedikit di insula anterior kiri, bahagian otak yang berkaitan dengan empati, peraturan emosi, belas kasihan dan fungsi kognitif.

Jika anda mempunyai ahli keluarga atau kenalan rapat dengan gangguan personaliti narsistik, ketahuilah mereka sendiri sebenarnya tidak tahu bahawa mereka mengalami gangguan personaliti.

Elakkan bertengkar dengan mereka kerana itu hanya akan memburukkan lagi keadaan. Jika anda tidak bersetuju dengan mereka, katakan tidak bersetuju dan berlalu pergi. Tidak perlu buang masa mengharapkan mereka memahami anda kerana mereka tidak akan cuba untuk faham.

Jika gangguan personaliti ini memberi kesan buruk sehingga menjejaskan hubungan baik penghidapnya dengan ahli keluarga atau teman, bantuan pakar sangat diperlukan.

Kebiasaannya, psikoterapi, juga dipanggil talk theraphy, boleh membantu dengan berusaha untuk meningkatkan empati dan memperbaiki tingkah laku dengan orang sekeliling.

Syarmila Ishak merupakan anak Kedah yang mahu rantau seluruh dunia dan minat membaca novel tentang kehidupan atau apa-apa sahaja bacaan yang memberi inspirasi.

Rujukan:

https://www.mayoclinic.org/diseases-conditions/narcissistic-personality-disorder/symptoms-causes

https://www.psycom.net/personality-disorders/narcissistic/

Kredit foto: healthjade.com

Share this Post: