Myanmar: Kudeta Yang Tertangguh

Myanmar: Kudeta Yang Tertangguh

Dalam hiruk pikuk dunia bergulat dengan pandemik Covid-19 yang masih belum surut, politik global tidak menunjukkan sebarang tanda untuk bertenang. Selepas kita dikejutkan dengan beberapa peristiwa termasuklah tunjuk rasa mega di Bangkok, rusuhan Capitol Hill, dan tidak kurang pengisytiharan darurat yang menggantung Parlimen Malaysia, Myanmar – negara dengan nama jolokan Bumi Emas turut kembali bergolak.

Selepas lebih kurang sedekad bertarik tali dengan demokrasi sejak 2011, kuasa politik terbesar Myanmar – Tatmadaw, institusi ketenteraan yang lazim dipanggil dan dikenali sebagai junta akhirnya melancarkan rampasan kuasa atau kudeta ke atas kerajaan pusat National League for Democracy (NLD) pimpinan Aung San Suu Kyi – beberapa jam sebelum parlimen bersidang di Nay Pyi Taw buat kali pertama sejak pilihan raya umum November 2020 yang lalu.

Kudeta Yang Tertangguh

Untuk pemerhati yang kurang biasa dengan dinamik politik Myanmar, kudeta ini akan dianggap sebagai sebuah peristiwa yang menggemparkan dan tidak terjangka. Bagi yang biasa dengan politik Myanmar, dan tentu sekali rakyatnya sendiri – kudeta yang berlaku tanggal Isnin 1 Februari tempoh hari hampir sudah dijangka sejak lama. Selepas NLD berjaya memenangi pilihan raya umum 2015 dahulu, ramai sceptic yang masih percaya bahawa demokrasi buat rakyat biasa di Myanmar tidak akan berpanjangan. Boleh dikatakan, kudeta yang berlaku tempoh hari hanyalah sebuah kudeta yang tertangguh sejak 2015.

Di Yangon, selepas talian komunikasi, media sosial, televisyen, dan radio diputuskan, panik dan celaru mula timbul namun tidak sampai ke tahap huru-hara dan tidak terkawal. Melalui siaran Myawaddy TV yang dikawal oleh junta, rakyat dimaklumkan tentang rampasan kuasa yang baru mengambil tempat. Pemimpin-pemimpin politik dari NLD dan tentu sekali pemimpin utamanya Aung San Suu Kyi, diikuti beberapa lagi pemimpin pro-demokrasi dari badan-badan masyarakat sivil telah ditahan seawal pagi lagi. Pemerintahan junta kali ini diumumkan akan berlangsung selama setahun – sebelum parlimen dan demokrasi dihidupkan semula. Panglima Tatmadaw, Jeneral Min Aung Hlaing yang mengepelai kudeta dijangka bakal menjadi ketua negara dalam tempoh ini selepas Naib Presiden Myint Swe menyerahkan kuasa eksekutif kepadanya.

Rakyat di kota Yangon resah, keliru, dan marah, namun digambarkan sebagai belum mula bertindak balas. Paling tidak pun, ramai berpusu-pusu untuk membeli bekalan kecemasan di pasar raya atau mengeluarkan wang tunai di mesin-mesin ATM. Tiada kelibat atau riak protes di jalanan dan sebagainya. Ketika ditahan, Suu Kyi melalui salah seorang pemimpin tinggi NLD, U Win Thein sempat menitipkan pesan agar penyokong dan rakyat membantah kudeta tersebut, namun tidak memulakan sebarang aksi yang boleh bertukar ganas. Di luar negara bagaimana pun, beberapa kumpulan rakyat Myanmar yang terkesan telah memulakan aksi protes di kedutaan negara mereka.

Jalan Panjang Demokrasi Myanmar

Mengimbau kembali jalan panjang Myanmar ke arah demokrasi – tidak keterlaluan untuk kita simpulkan bahawa sejarah Myanmar ini adalah sejarah ketenteraan, rampasan kuasa dan kudeta, pertembungan antara militer, dan penindasan kelas yang ketara. Ruang demokrasi yang dinikmati rakyatnya dalam dekad sekarang tidak sampai dengan mudah. Banyak nyawa telah terkorban dan ramai tubuh telah dipenjara.

Ruangan ini tidak mungkin sempat untuk mengulas sejarah panjang politik Myanmar. Ringkasnya, selepas berdekad lama diperintah secara kuku besi oleh junta selepas peristiwa pembunuhan Bogyeok Aung Saan yang menandakan pengkhianatan terbesar dalam pasukan tentera Myanmar serta melatari perjuangan kemerdekaan mereka, rakyat Myanmar akhirnya hidup dengan dikelaskan kepada dua darjat– rakyat biasa dan tentera.

Pertembungan kelas di Myanmar agak unik berbanding negara lain, namun bukanlah satu-satunya di dunia. Sebagai sebuah negara militer, rakyat biasa yang bukan tergolong dalam rangkaian kompleks ketenteraan dihimpit kehidupan yang sukar dan miskin. Kualiti hidup yang dinikmati oleh golongan tentera dan ahli keluarga mereka jauh berbeza dengan rakyat biasa di luar pagar kem-kem tentera.

Tidak hairan, antara resam atau norma yang sudah ditelan oleh rata-rata golongan rakyat biasa ini adalah samada mencari rezeki di negara lain untuk menampung kehidupan keluarga, atau menyertai tentera. Anak-anak gadis yang lebih konservatif terutama di luar bandar pula ada yang diasuh untuk berjodoh dengan tentera agar dapat keluar dari kesempitan hidup. Penjawat awam seperti guru, petugas kesihatan, polis awam pula terikat untuk tunduk dengan kompleks ketenteraan yang lebih berkuasa.

Kuku Besi Yang Makin Tumpul

Kuasa tentera di Myanmar biar amat dominan, bukanlah begitu berkemampuan atau ampuh untuk terus bertahan dengan pemerintahan kuku besi seperti dahulu. Sejak 80-an, ketika penentangan oleh rakyat biasa dan mahasiswa terhadap sistem pemerintahan ini mula memuncak, terutama selepas kepulangan Aung San Suu Kyi memimpin gerakan rakyat, junta mulai kehilangan pengaruh dan turut mula ditekan kuasa-kuasa dunia. Tekanan terutama dari segi ekonomi secara berterusan inilah yang akhirnya membuka ruang demokrasi, terutama melalui pindaan pada 2008 yang menandakan permulaan kepada pemerintahan lebih demokratik di Myanmar.

Sistem parlimen mulai diperkenalkan dengan pemimpin-pemimpin parti politik termasuk NLD mula dibenarkan untuk bergerak dalam politik arus perdana, menuju ke pilihan raya umum. Junta juga tidak lagi memerintah, sebaliknya melalui parti politik proksi mereka, USDP dengan presiden pertamanya U Thein Sein.

U Thein Sein dan Reformasi

U Thein Sein adalah seorang yang dianggap sebagai mempunyai kebijaksanaan dalam memerintah, biarpun lahir dari perut birokrasi tentera. Beliau sendiri adalah salah seorang bekas panglima dan pernah menjadi Perdana Menteri sebelum meninggalkan tentera untuk menyertai politik sebagai orang awam. Dari pengalaman itu, beliau memulakan langkah-langkah besar termasuk mengembalikan pilihan raya, dan membebaskan Aung San Suu Kyi dengan tujuan meraih semula keyakinan dunia luar terutama sekali bagi tujuan memulihkan aliran ekonomi ke negaranya.

Begitupun, langkah perubahan yang dibawa Thein Sein ini tidak sepenuhnya memberi kuasa kepada orang awam untuk mengawal pentadbiran negara. Pindaan perlembagaan pada 2008 tetap memperuntukkan 25% kerusi tetap milik tentera di dalam kedua-dua dewan rakyat dan dewan negara. Dalam erti kata lain, tiada perlembagaan yang boleh dipinda walaupun kerajaan bertukar tangan memandangkan tentera mempunyai kuasa veto yang tidak boleh digugat. Inilah garis sempadan yang mengurung demokrasi Myanmar.

Militarisme Myanmar

Dengan keterhadan sedemikian, secara teknikalnya, junta masih lagi cukup berkuasa. Jika pun bukan kerana ketetapan perlembagaan tersebut, secara praktikalnya pula, junta Tatmadaw adalah institusi yang sukar digugat apabila mengambil kira pula kompleksiti pertembungan politik militan Myanmar.

Myanmar adalah negara yang sangat berpecah. Hampir kesemua 12 etnik yang mendiami negara tersebut mempunyai kumpulan militan dan gerila masing-masing yang amat berpengaruh dan masih menguasai politik tempatan negeri masing-masing. Kewujudan Tatmadaw sebagai ‘kuasa tentera pusat’ sedikit sebanyak mengendurkan pengaruh militan dan gerila yang wujud berselerakan ini - menjadi common enemy untuk diacungkan senjata.

Keputusan pilihan raya pada 2015 yang hampir secara total menumbangkan junta tidak bererti militarisme telah kalah dan dapat dihapuskan di Myanmar. Kekalahan USDP pada 2015, dan seterusnya pada 2020 dengan lebih besar ke tangan NLD hanya menambah luka dan dendam kepada junta. Kemenangan hampir 80% NLD dalam pilihan raya umum November 2020 yang lepas menjadi titik didih buat junta, dan akhirnya meledak dengan kudeta Isnin lalu.

Ringkasnya, kekalahan lebih teruk USDP dalam pilihan raya umum 2020 tidak diterima bukan sahaja oleh parti tersebut, sebaliknya juga oleh junta. Junta telah mendakwa berlaku penipuan dalam pilihan raya dan Suruhanjaya Pilihan Raya telah gagal dan enggan untuk menyelesaikan masalah ini. Rentetan dari situ, hanya seminggu lalu junta mengeluarkan kenyataan bahawa mereka akan mengambil tindakan sendiri untuk ‘mempertahankan demokrasi’ – dan ternyata mereka tidak bergurau.

Kenapa Sekarang?

Kenapa pula junta perlu menunggu sekian lama untuk merampas kuasa? Antara pandangan yang boleh difikirkan adalah tekanan kuasa asing yang semakin mengendur, selain pengaruh NLD dan Aung San Suu Kyi yang makin terhakis di luar negara rentetan beberapa langkah dan dasar sepanjang pemerintahan terutama berkaitan isu Rohingya. Biar pun NLD makin popular di kertas undi, junta yang sudah terbiasa memerintah tanpa mempedulikan tekanan domestik selama berdekad; menilai keadaan sekarang sebagai paling sesuai – di saat tekanan dan sokongan asing tidak sebesar dahulu.

Pandangan lain pula melihat kepada tahap populariti NLD yang bakal menggugat penguasaan junta dalam jangka masa panjang. Biar pun perlembagaan 2008 hampir pasti menjamin penguasaan berterusan junta, tiada jaminan bahawa ia dapat dipertahankan jika diteruskan lebih lama. Maka, merampas kuasa memberi peluang buat junta untuk melakar semula terutama sekali pindaan perlembagaan yang membolehkan mereka untuk lebih berkuasa.

Pada saat ini, junta telah pun siap membentuk kabinet dan bakal menggantikan pemimpin-pemimpin pusat dan negeri serta merta. Ada pemimpin asal yang ditahan penjara, ada yang bakal melalui tahanan rumah. Bantahan oleh rakyat biasa di media sosial semakin rancak. Desas-desus juga mengatakan penjawat awam seperti guru dan petugas-petugas kesihatan turut bakal memboikot dengan tidak memberi kerjasama buat pemerintahan baharu - namun Yangon masih lagi kekal berdiam dan kaku. Mungkin enam tahun berjinak dengan demokrasi masih belum mampu merawat trauma dari masa lampau. - ALTERNATIF

Foto: AFP / Getty Images

Share this Post: