Baru-baru ini platform e-dagang Shopee telah memperkenalkan skim S-Pay Later. Skim ini bukan produk baharu Shopee, malah telah diperkenalkan di beberapa negara lain seperti di Indonesia, Thailand dan Taiwan.
Skim ini menerima sambutan yang hangat dari pembeli dari negara lain kerana dalam musim PKP, apabila semua duduk di rumah, ramai yang membeli-belah secara atas talian.
Tidak dinafikan banyak syarikat e-dagang telah mencatatkan keuntungan yang berlipat kali ganda susulan PKP yang dilaksanakan pada awal tahun lepas, termasuklah Shopee. Langkah yang diambil oleh Shopee untuk memperkenalkan S-Pay Later di Malaysia amatlah tepat pada masanya, tambahan iklim di mana kini ramai sedang beli-belah online, oleh sebab PKP 2.0 .
Terbuka kepada rakyat Malaysia yang berumur 18 tahun dan ke atas dengan MyKad yang sah, skim S-Pay Later ini mempunyai 4 cara pembayaran. Antaranya, Beli Sekarang Bayar Kemudian dan bayaran secara ansuran dari 2 bulan sehingga 6 bulan. Menurut Shopee juga, pembayaran secara ansuran tidak akan dikenakan faedah, tetapi mereka mengenakan “yuran pemprosesan” sebanyak 1.25% setiap bulan. Jika pengguna membayar secara ansuran selama 6 bulan, itu sudah menjadi 7.5%.
Di samping itu terdapat juga denda jika bayaran dijelaskan lewat pada waktunya. Caj yang akan dikenakan kepada pengguna adalah sebanyak 1.5% untuk setiap kali lewat pembayaran. Pihak Shopee belum menerangkan sama ada caj ini akan digabungkan ke dalam jumlah perlu dibayar atau tidak. Jumlah caj dan bayaran tambahan ini sudah seumpama membayar faedah atau interest.
Sebagai contoh, jika Azmin membeli barang di Shopee menggunakan S-Pay Later pada bulan Januari, dia perlu membayar jumlah keseluruhan antara 1 sehingga 10 Februari untuk mengelak daripada dikenakan “yuran pemprosesan”. Jika Azmin memilih untuk membayar secara ansuran 2 bulan, dia perlu membayar ansuran bulanan pada antara 1-10 Februari dan 1-10 Mac pula.
Cara ini dikenakan pada tempoh bayaran ansuran yang lain juga. Untuk melaingsaikan pembayaran S-Pay Later, Azmin boleh berbuat demikian dengan membayarnya di platform Shopee sendiri, perbankan atas talian atau secara tunai di mana-mana kedai 7-Eleven di seluruh Malaysia.
Berbanding dengan kad kredit di mana pengguna hanya perlu membayar caj penggunaan sekali setahun andai pengguna membuat bayaran secara disiplin pada setiap akhir bulan, yang mana mereka tidak akan dikenakan faedah terhadap pembelian mereka - S-Pay Later mengkehendaki pengguna untuk membayar “yuran pemprosesan” sebanyak 1.25% setiap bulan, tidak kira lambat atau cepat.
S-Pay Later pada masa ini hanya terbuka untuk pembelian bawah RM3,000 sahaja. Walaupun syaratnya mudah, skim ini hanya diberikan oleh Shopee kepada pengguna yang sudah lama menggunakan Shopee dan tidak mempunyai masalah dalam pembayaran atau kredit sebelum ini.
Had perbelanjaan RM3,000 ini akan berbeza untuk setiap orang, bergantung kepada pihak Shopee untuk membenarkan jumlah ansuran yang diberikan kepada pengguna dan pembeli. Mungkin Shopee akan mengutamakan mereka yang mampu untuk menjelaskan pembayaran secara hutang ini berbanding dengan pelajar baru lepasan SPM.
Mengikut pesanan orang dahulu, tidak bagus untuk kita berhutang. Tambahan bila kita membeli barang kehendak dengan hutang berbanding dengan barang keperluan seperti televisyen atau smartphone.
S-Pay Later ini tidak sepatutnya digalakkan untuk mereka yang belum bekerja atau yang mempunyai banyak tanggungan, walaupun amat mudah untuk menggunakannya.
Sebagai contoh, kita dapat lihat bahawa penggunaan kad kredit atau pinjaman bank tidak diberikan sewenang-wenangnya secara sengaja. Ini kerana pihak bank akan memastikan peminjam dapat membayar ansuran bulanan. Rugilah kalau bank-bank memberi pinjaman secara mudah kepada mereka yang tidak mampu. Shopee juga mengambil risiko yang besar dengan memberikan skim ini secara mudah kepada orang ramai tanpa menyemak latar belakang mereka juga.
Shopee telah memperkenalkan S-Pay Later kepada pelanggan mereka di Taiwan. Bukanlah suatu kejutan bahawa ramai pengguna skim ini terdiri daripada anak-anak muda yang tidak bekerja atau yang menerima gaji yang rendah. Sehinggakan ansuran bulanan yang perlu dibayar menyerupai jumlah gaji yang mereka terima setiap bulan, atau lebih!
Taiwan telah menyedari masalah ini dan risau akan timbulnya krisis kredit pada orang ramai pada usia muda. Krisis kredit merupakan situasi dimana banyak pinjaman berlebihan dibuat tetapi tidak dapat dilangsaikan. Taiwan kini menjalani kempen kesedaran terhadap pembelian secara kredit kepada orang ramai. Harap-harap Malaysia tidak perlu jadi seperti Taiwan.
Apabila diperkenalkan dengan pinjaman kredit yang mudah seperti S-Pay Later pada usia muda, orang ramai akan terbiasa untuk bergantung lagi padanya di usia lanjut kelak. Ini kerana, pada usia muda mereka sudah dapat merasai “nikmat” pembelian secara hutang dan kehidupan yang selesa, mereka akan “ketagih” dalam membeli barang-barang kehendak secara ansuran.
Hari ini juga kita dapat lihat banyak kedai yang memberikan pilihan untuk kita membeli smartphone, laptop dan barang berjenama secara ansuran. Ramai antara golongan pembeli semestinya terdiri daripada anak-anak muda yang baru mula bekerja dengan nafsu perlu menunjuk atau ingin hidup selesa tatkala hutang bertimbun.
Mungkin kita tak dapat rasa keburukan membeli secara kredit hari ini, tetapi esok lusa apabila kita hendak membuat pembelian yang terpaksa menggunakan pinjaman bank seperti rumah atau kereta, ada kebarangkalian untuk tersangkut. Lagi-lagi jika pernah lambat bayar ansuran bulanan pembelian di Shopee.
Bayangkan situasi 10 tahun yang akan datang, Khalid hendak membuat pinjaman bank bagi membeli rumah pertamanya tetapi permohonan beliau ditolak kerana beliau pernah terlambat bayar ansuran bulanan pembelian PS5 yang bernilai RM2,500 10 tahun yang lepas di Shopee.
Ingin diingatkan bahawa pembelian secara kredit hanya berbaloi jika hendak membeli aset keperluan penting seperti rumah atau kereta. Elakkan pembelian kredit terutamanya apabila terdapat faedah yang tinggi. Percayalah kalau kita elak membeli secara kredit hari ini, pada masa akan datang lebih senang permohonan pinjaman bank akan diluluskan.
Kesimpulannya, skim S-Pay Later ini lebih baik untuk dielakkan walaupun ianya mudah untuk diperolehi. Membeli barang secara kredit, secara amnya patut dikurangkan atau dielakkan untuk menjaga profil kredit sendiri. Ingatlah peribahasa ini, berakit-rakit ke hulu, berenang-renang ketepian. Bersusah-susah dahulu, bersenang-senang kemudian.
Azi Amir adalah seorang pelajar kolej yang meminati bidang ekonomi dan sering mengejar jawapan kepada banyak persoalan yang wujud di sekeliling beliau.
Foto: Amanz
Waadat, Daulat, dan Keramat Rakyat
Di dalam konsep monarki Melayu, Raja itu pemegang dan pewaris Kedaulatan. Raja akan mangkat tetapi tidak bagi Daulat. ‘The Sovereign never dies’.