Seramai 5.8 juta pengundi baharu menjelang PRU akan datanglah yang bakal menentukan siapa yang akan menjadi kerajaan; itupun jika mereka terpujuk untuk keluar mengundi nanti. Sejumlah 3.8 juta daripada jumlah tersebut adalah golongan muda berusia 18 tahun yang mewakili 34% daripada jumlah keseluruhan pengundi. Dalam erti kata lain, 3 daripada 10 pengundi adalah pengundi baru.
Adakah orang muda akan mengundi pemimpin muda?
Dalam sistem demokrasi, semua kumpulan dalam masyarakat perlu diwakili secara adil. Para pengundi percaya bahawa wakil yang berkongsi latar belakang sosiodemografi yang sama dengan mereka akan membawa suara, isu, dan keperluan mereka. Namun begitu, menjelang PRU15, adakah cukup untuk memikat hati para pengundi muda dengan senarai agihan kerusi kepada calon-calon muda selepas tamat negosiasi?
Bukankah sebenarnya inti utama yang perlu diperjuangkan sekarang adalah isu-isu yang menjadi kegusaran para pengundi muda? Jika atau sekiranya ada kerusi untuk calon-calon muda, tetapi peratus turun mengundi rendah, maka tidak ada gunanya.
Dalam pilihan raya kali ini, yang muda adalah raja. Muda di sini merujuk kepada para pengundi, bukan sesetengah ahli politik muda yang berasakan mereka muda dan mereka adalah segala-galanya.
Pekerjaan dan Jaminan Pendapatan
Menerusi dapatan daripada kaji selidik “National Youth Survey 2021” yang dijalankan oleh Merdeka Center, kegusaran utama para pemuda adalah berkaitan dengan pekerjaan dan jaminan pendapatan. Pada tahun 2020, sejumlah 1.87 juta pekerja berpendidikan tinggi di Malaysia tidak mendapat pekerjaan yang setara dengan kemahiran mereka.
Tahun 2021 menyaksikan jumlah itu meningkat kepada 1.9 juta. Menggunakan indikator Guna Tenaga Tidak Penuh berkaitan Kemahiran, 1.9 juta pekerja berpendidikan tinggi di Malaysia kini bekerja di bawah kategori pekerja separuh mahir dan berkemahiran rendah.
Hal ini terkait rapat dengan jumlah pendapatan yang bakal diterima. Walaupun telah berlakunya kenaikan gaji minimum, keadaan ekonomi yang mencabar dengan kenaikan harga barangan dan meningkatnya kos sara hidup, masih tidak mampu memenuhi pendapatan bermaruah yang diimpikan.
Jika graduan dan siswazah pun terpaksa menghadapi situasi sebegini, bagaimana pula dengan pemuda-pemudi yang tidak mendapat pendidikan tertiari?
Anak muda dan politik
Dapatan daripada kaji selidik “National Youth Survey 2021” yang melibatkan 2,520 responden berumur 18 hingga 35 tahun juga menunjukkan bahawa hampir dua pertiga responden tidak berminat dalam politik. Politik terlihat rumit, dan ahli politik dilihat secara negatif. 78% daripada belia berasa bahawa politik dan kerajaan adalah sesuatu yang sukar dan mereka tidak faham apa yang sebenarnya sedang berlaku.
Kepercayaan terhadap pemimpin dan ahli politik?
66 peratus belia percaya bahawa para pemimpin dan ahli politik “tidak peduli apa yang orang seperti saya fikir.”
Hanya 30% daripada responden menunjukkan minat untuk terlibat dalam politik; jika anda melihat ciri-cirinya, tentu sekali yang menunjukkan minat terhadap politik adalah daripada kumpulan yang mempunyai privilege: peratus tertinggi belia lelaki - Melayu - dengan segmen pendapatan yang lebih tinggi.
Pemimpin muda ke lapangan merencanakan masa depan
Menjadi muda bermakna menggunakan kesempatan tenaga dan idealisme untuk turun ke lapangan, merencana masa hadapan. Memenangi kepercayaan golongan muda bukan hanya dengan meletakkan perkataan MUDA pada t-shirt mahupun dengan datang sebagai kumpulan sayap muda. Memenangi kepercayaan adalah proses berterusan. Berdikit-dikit, lama-lama menjadi bukit.
Gerak kerja terancang perlu dimulakan dengan program intervensi fokus meningkatkan mobiliti sosial dan meningkatkan kepedulian dalam politik. Teras utama dalam mencapai matlamat ini adalah melalui pendidikan.
Selain itu, pendidikan politik perlu dilaksanakan di peringkat akar umbi dengan harapan generasi muda menemui alasan dan kesedaran untuk mengambil bahagian dalam politik negara. Memimpin anak muda sehingga menemui kesedaran inilah yang mengambil masa dan memerlukan usaha penuh sabar daripada pemimpin muda.
Namun, percayalah, kesedaran dan kepedulian yang berakar daripada kesedaran yang tumbuh dari dalam diri mempunyai nilai yang tidak tergugatkan.
Semestakata; setiap malam mendengar suara semesta.
Foto kredit: IDEAS
Waadat, Daulat, dan Keramat Rakyat
Di dalam konsep monarki Melayu, Raja itu pemegang dan pewaris Kedaulatan. Raja akan mangkat tetapi tidak bagi Daulat. ‘The Sovereign never dies’.