Monumen-monumen Keajaiban Dunia

Monumen-monumen Keajaiban Dunia

Jika anda seorang cultural explorer, sudah pasti anda tidak akan lepaskan peluang melawat beberapa tempat keajaiban dunia.

Selain dapat belajar tentang budaya dan cara hidup sesebuah masyarakat itu, kita juga dapat membuka mata dan fikiran merenung kembali kegemilangan sesuatu kerajaan dahulu yang amat sukar dicapai pada kerajaan masa ini dengan monumen-monumen peninggalan sejarah lampau.

Peredaran masa dan zaman tidak dapat memadam catatan sejarah atau menghilangkan beberapa struktur dan bangunan yang telah diiktiraf sebagai keajaiban dunia oleh United Nation Educational Scientific and Cultural Organization (UNESCO).

Tembok Besar China

Antara pembinaan yang paling mengagumkan ialah Tembok Besar China di wilayah Beijing. Tembok ini telah dibina pada zaman pemerintahan Dinasti Qin, Dinasti Han, Dinasti Sui dan Dinasti Ming. Setiap dinasti telah membina sikit demi sedikit, meneruskan peninggalan pembinaan dinasti sebelumnya hingga siap sepenuhnya dengan jarak panjang 21,196 kilometer.

Tembok ini dibina untuk melindungi negara China daripada serangan musuh ketika itu seperti tentera Mongol, puak Turkik dan Manchuria.

Lebih satu juta orang telah mati semasa dikerah untuk terlibat dalam aktiviti pembinaan dan hampir 3.8 bilion bongkah batu-bata digunakan bagi membina keseluruhan tembok besar China ini.

Kini, tempat ini menjadi tempat tumpuan pelancong hingga melebihi 10 juta pelancong mengunjunginya setiap tahun. Masyarakat di seluruh dunia juga berpeluang untuk menyertai Great Wall Marathon yang dianjurkan setiap tahun oleh kerajaan negara China.

Piramid

Selain daripada Tembok Besar China, Piramid juga mendapat pengiktirafan sebagai bangunan yang ajaib telah dibina pada zaman purba.

Piramid ini bangunan geometri yang terdiri daripada satu tapak berpenjuru, di puncaknya segi tiga dan tapaknya berbentuk segi empat sama. Mengikut catatan sejarah Mesir kuno, piramid diperbuat daripada batu padu untuk membina makam pemerintah firaun.

Piramid yang paling terkenal ialah Piramid Besar Kufu yang mengadungi sebanyak 2 juta batu blok, setiap satunya seberat 1 tan manakala tapaknya pula seluas 5 hektar.

Sehingga kini, tiada teori boleh membuktikan masyarakat di benua Arab mampu menguruskan, ketulan-ketulan batu di tengah kawasan padang pasir. Maka teknologi, kebijaksanaan dan kepakaran masyarakat Arab dianggap suatu perkara yang amat luar biasa.

Taj Mahal

Taj Mahal juga dianggap sebagai tapak Warisan Dunia oleh UNIESCO. Bangunan ini dikatakan “permata seni Islam” yang dibina di Agra, India.

Monumen ini terdiri daripada bahagian makam, dewan, taman rekreasi, menara tinjau dan sebuah masjid dengan luas 17 hektar. Taj Mahal menjadi lambang percintaan Maharaja Shah Jahan yang membina sebuah makam untuk tempat peristirahatan terakhir isteri tercintanya, Mumtaz Mahal.

Makam merupakan bangunan utama di kompleks Taj Mahal yang berwarna putih, dipenuhi batu marmar dengan berbentuk simetris, pintu berbentuk lengkung dan mempunyai kubah besar di atasnya.

Pembinaannya menggabungkan seni bina daripada Parsi, Turki dan India yang berkonsepkan corak Islam. Shah Jahan telah memerintahkan Ustaz Ahmad menyiapkan bangunan ini dengan kerahan seramai 20,000 orang pekerja yang terdiri daripada tukang batu, tukang emas dan juru ukir.

Antara nama kontraktor yang terlibat menyiapkan Taj Mahal ialah Ustaz Isa, Ismail Khan, Qazim Khan, Chiranjilal dan ramai lagi.

Bandar Petra

Terdapat satu lagi monumen keajaiban dunia di wilayah Timur Tengah. Hal sedemikian merujuk kepada sebuah bangunan yang telah dihasilkan menggunakan potongan batu dan ukiran pepasir di negara Jordan iaitu Bandar Petra.

Bandar ini diberi nama Kota Mawar, diilhamkan daripada warna batu bangunan tersebut. Sejak 1985, monumen ini telah diiktiraf oleh UNESCO sebagai sebuah tapak warisan dunia. Keunikan bangunan ini juga telah mendorong bangunan ini dijadikan lokasi penggambaran filem hollywood iaitu Indiana Jones dan Last Crusade.

Negara Jordan menerima pelancong asing melebihi 5 juta orang setiap tahun yang pergi melawati kawasan tersebut. Pada awalnya, kota ini dianggap “Lost City” kerana telah hilang selama 5 abad sebelum ditemui kembali pada tahun 1912 oleh ahli-ahli arkeologi.

Kawasan ini dibina sebagai penempatan komuniti Nabate, suku kaum orang berbangsa Arab yang terkenal dengan rempah ratus.

Machu Picchu

Machu Picchu juga dikenali sebagai Kota Incha merupakan satu kota di atas pergunungan pada ketinggian sekitar 2,350 meter dari permukaan laut di negara Peru.

Terdapat beberapa bangunan yang didirikan di kota ini seperti tapak teres, kuil, plaza dan dataran perhimpunan.

Kota ini merupakan simbol kerajaan Inka dan dipercayai telah dibina sejak kurun ke-15 tetapi telah ditinggalkan seratus tahun kemudian selepas penjajah Sepanyol berjaya menakluki kerajaan Inka.

Patung Christ the Redeemer

Berdiri sambil lengannya menyebar merupakan sebuah patung Kristus Penebus yang terletak di Brazil.

Patung ini telah dibina di atas puncak gunung Corcovado pada ketinggian 700 meter. Patung yang melambangkan salib Kristian ini telah dibina pada tahun 1931 yang mempunyai ketinggian 98 kaki (30 meter).

Setelah hampir sembilan tahun proses pembinaan bangunan Art Deco ini, Christ the Redeemer menjadi monumen ikonik di Brazil yang boleh dilihat dari seluruh pelosok bandar Rio de Janeiro.

Colosseum

Jika berkunjung ke Itali, terdapat beberapa monumen-monumen bersejarah yang boleh dilawati.

Salah satunya ialah Colosseum atau Amphitheatrum Flavium yang terletak di bandar Rom.

Berdasarkan Mitologi Klasik, bangunan yang terbuka separa bulat, berpentas dan tempat duduk penonton ini digunakan untuk pertandingan gladiatorial dan tontonan umum seperti pameran, hukuman mati, pemerangan, pertempuran dan pertunjukan drama. Terdapat juga beberapa bilik rehat di dalamnya.

Menara Condong Itali

Menara yang diberi nama Menara Condong Pisa adalah suatu mercun tanda yang popular di negara Itali.

Kronologinya, menara ini menjadi condong dek kerana faktor alam semula jadi iaitu struktur muka bumi yang lembut dan tanah yang lembap. Pembinaan menara ini melalui beberapa fasa sejak zaman kuno sehinggalah zaman moden kini.

Selama beratus-ratus tahun menara ini dibiarkan dan tidak digunakan demi keselamatan tetapi pada tahun 2011 Menara Condong Pisa dibuka semula selepas kerajaan melakukan beberapa usaha menstabilkan bangunan ini.

Candi Borobudur, Indonesia & Candi Angkor Watt, Kemboja

Candi merupakan kuil atau rumah ibadat bagi agama Buddha. Antara candi yang terkenal di Asia Tenggara ialah candi Borobudur yang terletak di Indonesia dan candi Angkor Watt di Kemboja.

Candi Borobudur telah dibina sejak tahun 750 masihi manakala candi Angkor Watt pula dibina pada pertengahan abad ke-12.

Kedua-dua candi ini diiktiraf sebagai Warisan Budaya Dunia kerana keunikan dari segi pembinaan, lokasi, hasil peninggalan dan sebagainya.

Selain itu, pembinaan candi ini dipengaruhi oleh kepercayaan agama Hindu dan Buddha sebelum kedatangan Islam ke Asia Tenggara.

Taman tergantung Babylon

Sebuah kota lama pada zaman kuno Mesopotamia yang terletak berhampiran dengan Sungai Euphrates di negara Iraq Selatan.

Ada teori mengatakan bahawa pemerintah Nebuchadnezzar II dari dinasti Chaldean membina dan membangunkan tempat ini kepada isterinya Amyitis yang rindu akan kampung halaman.

Kebun-kebun ini mempunyai ciri khas untuk dikunjungi oleh keluarga kerajaan tetapi penduduk kota tidak dilarang untuk melihatnya dari jarak jauh. Disebabkan oleh peperangan moden antara Amerika Syarikat dan Iraq, hampir keseluruhan kawasan ini telah musnah.

Monumen-monumen bersejarah ini sangat menakjubkan sama ada dari struktur binaan, batu, bahan binaan, jumlah kontraktor mahupun tempoh pembinaan.

Generasi akan datang harus menjadikannya sebagai iktibar dan idea untuk menjayakan sesebuah empayar.

Bangsa Malaysia juga mampu membina sebuah monumen bersejarah yang diiktiraf oleh dunia pada masa akan datang sekiranya kita bersatu dan saling bertukar pendapat.

Anis Najihah merupakan seorang pelajar, pembaca dan penulis komik kartun

Foto kredit: Ilumunasi

Share this Post: