Meteor, Meteorit, Meteoroid, Komet dan Asteroid?

Meteor, Meteorit, Meteoroid, Komet dan Asteroid?

Angkasa lepas, mungkin hanya jika dilihat dengan mata kasar hanya akan kelihatan jasad dan objek yang mempunyai jisim yang besar seperti planet,bulan dan Matahari yang merupakan sebuah bintang dan pusat kepada Sistem Solar.

Tetapi, tahukah anda di sebalik kewujudan jasad-jasad tersebut di angkasa, terdapat juga jasad dan objek lain yang terampai-ampai di ruang angkasa?

Ya, di sebalik planet yang mengelilingi Matahari, terdapat beberapa jasad dan objek yang lain yang mengelilingi dan terampai di Sistem Solar dan ruang angkasa lepas secara keseluruhannya.

Antaranya, objek seperti meteroid, asteroid dan komet. Oh, jangan risau ia tiada kena mengena dengan sistem operasi “Android” dan ‘Hemoroid”.

Jadi apakah yang menjadi perbezaan objek-objek ini?

Asteroid

Asteroid secara amnya merupakan tinggalan saat pembentukan planet-planet yang terdapat di Sistem Suria. Objek ini mempunyai saiz yang lebih kecil berbanding planet tetapi bersaiz lebih besar berbanding meteoroid.

Kebanyakan asteroid boleh ditemui di kawasan yang dipanggil sebagai ‘Lingkaran Asteroid’ yang terdapat di antara planet Marikh dan Musytari.

Tetapi terdapat juga asteroid yang terampai mengelilingi Matahari di kawasan yang lebih dekat dengan Bumi.

Malah, asteroid seperti Ceres dikelaskan sebagai planet kerdil kerana mempunyai banyak persamaan daripada segi fizikal sebuah planet.

Ceres juga merupakan objek yang terbesar yang terletak di dalam Lingakaran Asteroid.

Komet

Seterusnya, antara jasad kerdil yang mengelilingi Matahari ialah komet.

Berbeza dengan asteroid, komet merupakan jasad yang terdiri daripada ais, gas beku, batu-batuan dan habuk.

Keunikan yang membezakan komet dan asteroid adalah asteroid mempunyai orbit yang agak serupa seperti planet yang mengelilingi Matahari. 

Sebaliknya bagi kebanyakan komet pula, ia mempunyai orbit eliptikal yang panjang di mana orbit ini akan membawa mereka pada sebahagian waktunya berada sangat hampir dengan Matahari dan kemudian jauh melepasi daripada Matahari atau Sistem Solar.

Komet terbahagi kepada dua; yang memerlukan tempoh yang pendek untuk melengkapkan orbitnya mengelilingi Matahari (kurang daripada 200 tahun) dan yang memerlukan tempoh yang lebih panjang (lebih 200 tahun).

Ketika komet mula menghampiri Matahari satu fenomena akan berlaku akibat perlepasan gas (outgassing) oleh atmosfera nipis yang terdapat di sekeliling komet.

Oleh itu, perlepasan gas ini telah mewujudkan apa yang dipanggil ‘koma’ atau ekor yang terbentuk akibat fotolisis molekul air yang terdapat pada komet.

Antara komet yang terkenal ialah Komet Halley yang memerlukan sekitar 75-76 tahun untuk melengkapkan orbitnya.

Meteoroid, Meteor, dan Meteorit

Meteroid pula merupakan serpihan daripada jasad-jasad di angkasa seperti asteroid, komet dan planet.

Kesatuan Astronomi Antarabangsa (IAU) mendefinisikan meteoroid sebagai “objek pepejal yang bergerak di ruang angkasa antara planet dengan saiz yang lebih kecil berbanding asteroid dan lebih besar berbanding atom”.

Kebiasaannya sesuatu objek itu dikelaskan sebagai meteoroid apabila saiznya di antara satu meter hingga ke saiz sebesar butiran pasir.

Objek yang mempunyai saiz lebih kecil akan dikelaskan sebagai micrometeoroid atau pun habuk angkasa.

Boleh dikatakan kebanyakan meteoroid yang terdapat di dalam Sistem Suria berasal daripada Lingkaran Asteroid dan sebahagiannya berasal daripada partikel dan serpihan komet.

Kewujudan serpihan dan batuan yang terampai-ampai di angkasa ini terutamanya mikrometeoroid sebenarnya menimbulkan ancaman dan kesulitan terhadap angkasawan dan kapal angkasa di angkasa lepas.

Oleh sebab purata kelajuan objek ini mencecah sehingga 36,000 km/j sebarang impak yang dikenakan terhadap kapal angkasa dan juga sut angkasa yang dipakai oleh angkasawan memberikan kesan dan boleh membahayakan nyawa mereka.

Seterusnya, andai meteoroid ini memasuki ruang atmosfera, misalnya atmosfera Bumi, ia akan akan dipanggil meteor.

Dan, saat ia memasuki ruang atmosfera geseran bersama molekul udara yang terjadi di bahagian atas atmosfera akan menyebabkan meteor ini terbakar dan membentuk sesuatu yang sering dipanggil ‘tahi bintang’ atau ‘hujan meteor’.

Jutaan meteor memasuki atmosfera setiap hari, walaupun kebanyakannya akan hancur dan terbakar disebabkan geseran dengan molekul yang berada di atmosfera.

Akhir sekali, andai meteor itu berjaya melepasi lapisan atmosfera dan sampai ke permukaan Bumi, ia dipanggil sebagai meteorit.

Walau bagaimanapun, kejadian seperti ini jarang-jarang berlaku. Andainya ia berlaku kebiasaannya ia akan meninggalkan kawah seperti Barringer Crater di Arizona.

Hentaman meteorit yang dianggarkan berlaku kira-kira sekitar 50,000 tahun dahulu itu telah membentuk sebuah kawah yang mempunyai diameter kira-kira 1.2 kilometer dan berkedalaman lebih kurang 45 meter.

Selain itu, banyak laporan yang tidak dapat dipastikan kebenarannya berkenaan kejadian di mana sesebuah meteorit itu terhempas yang membunuh haiwan dan manusia.

Namun begitu, terdapat kejadian seperti ini yang dapat disahkan kebenarannya seperti yang berlaku pada 1954 apabila sebuah meteorit seberat 4 kilogram telah terhempas dan menembusi bumbung rumah Ann Hodges dan jatuh ke atas badan beliau.

Dan, ini merupakan satu-satunya kemalangan meteorit yang dapat dibuktikan kebenarannya.

Akhir kata, walaupun kewujudan objek-objek ini mempunyai ancaman tersendiri terhadap kemanusiaan, risikonya amat tipis jika hendak dibandingkan dengan kebodohan manusia yang menjadi punca kerosakan alam dan diri sendiri.

Amar Afiq adalah seorang peminat kugiran Queen dan pasukan bola sepak Arsenal. Beliau merupakan mantan mahasiswa jurusan Sains dan Bahasa Inggeris, namun lebih berminat memerhatikan keanehan manusia.

Foto: Treehugger

Share this Post: