Merong Mahawangsa dan Melayu Yang Lagi Satu?

Merong Mahawangsa dan Melayu Yang Lagi Satu?

Merong Mahawangsa dan Sejarah Melayu

Siapa yang pernah menonton filem ‘Hikayat Merong Mahawangsa’ yang diterbitkan oleh KRU Studios? Di dalam Bahasa Inggeris tajuk filem tersebut diterjemahkan sebagai ‘The Malay Chronicles: Bloodlines’.

Oleh kerana ia menggunakan perkataan babad atau hikayat (chronicles) Melayu, jadi bagi saya ia sangat menarik untuk dibincangkan. Kalian perasan atau tidak, kenapa nama raja-raja Kedah dahulu kala kedengaran seperti nama-nama Siam? Ia berbeza dengan nama raja-raja Melayu awal dari susur galur Bukit Siguntang yang kedengaran lebih Sanskrit - ke-India-an.

Bandingkan varian istilah seperti Merong, Mahapudisat, Phra Ong dan sebagainya berbanding nama Sang Sapurba (Sri Trimurti Tri Buana), Krishna Pandita, Sri Nila Utama dan sebagainya. Tidakkah ia kedengaran berbeza?

Jika diteliti, masyarakat Melayu di belahan selatan Semenanjung Melayu seperti Johor, Selangor, Perak, Pahang, Melaka (sehingga merangkumi Riau dan Kepulauan Riau) lebih berpegang kepada hikayat Sulalatus Salatin atau Sejarah Melayu (Malay Annals) untuk mentafsirkan asal-usul etnik. Namun ia berbeza dengan belahan utara Semenanjung Melayu yang seumpama lebih cenderung berpegang kepada Hikayat Merong Mahawangsa (Kedah Annals). 

Sebelum berbincang lebih lanjut, saya mohon kalian semua jangan terkeliru antara Semenanjung Melayu dan Semenanjung Malaysia. Semenanjung Malaysia adalah istilah politik-kenegaraan. Sementelahan Semenanjung Melayu pula adalah istilah geografi yang merujuk kepada etnografi. Semenanjung Melayu adalah kawasan dari Segenting Kra (Thailand) di utara sehinggalah ke Johor di selatan.

Sebelum ini juga saya pernah mendengar pihak yang yang berkata bahawa Pattani (Patani), Satun (Setul), Songkhla (Singgora), Narathiwat (Menara) sepatutnya menjadi sebahagian daripada Malaysia kerana ia adalah negeri-negeri Melayu. Namun Perjanjian Anglo-Siamese 1909 di Bangkok telah memisahkan wilayah-wilayah tersebut daripada Tanah Melayu. Apakah ini benar? Kita cuba kupas, kemudian masing-masing buat keputusan.

Hikayat Lama Dengan Kronologi Fakta Sejarah

Berbeza daripada karya Sejarah Melayu yang menceritakan tentang asal usul raja-raja Melayu yang muncul di Bukit Siguntang, Hikayat Merong Mahawangsa pula menceritakan bahawa leluhur raja Kedah berasal dari Rom. Namun terdapat persamaan pada kedua-dua kisah tersebut yakni mereka dinasabkan kepada Dhul-Qarnayn (ada yang menyamakannya dengan Iskandar Agung ataupun Alexander The Great, diperdebatkan).

Sememangnya hikayat-hikayat tersebut tidak dapat dijadikan sebagai rujukan utama (primer) sejarah, namun ia boleh dijadikan sumber sandaran kedua atau sampingan (sekunder). Sekurang-kurangnya kita boleh melakukan rujuk silang diantara hikayat-hikayat tersebut dengan fakta-fakta sejarah dan menyusun suai semula peristiwa yang dicatatkan secara kronologi. 

Tulisan ini bukan tulisan sejarah. Kaedah yang saya lakukan pun mungkin tidak menurut disiplin sejarah yang tepat. Cuma saya mahu kita semua lebih memahami perselisihan di antara dua karya terbesar masyarakat Melayu yang telah saya katakan tadi.

Selain Hikayat Merong Mahawangsa, sebenarnya terdapat satu lagi tulisan terkenal iaitu Al-Tarikh Salasilah Negeri Kedah yang dikatakan lebih menepati disiplin historiografi moden. Namun ada beberapa sebab mengapa saya tidak mahu membincangkan karya tersebut. Bukan kerana saya menolak atau tidak bersetuju, cuma dalam konteks penulisan ini lebih tepat untuk kita membincangkan Hikayat Merong Mahawangsa.

Raja-raja Zaman Awal Kedah

Walaupun Hikayat Merong Mahawangsa ini dikatakan terlalu banyak khayalan dan mitos sehingga tidak menepati disiplin penulisan sejarah, namun saya tertarik dengan nama-nama raja yang dinukilkan di dalamnya. Dan ini akan terus kita perbincangkan secara lebih lanjut.

Hikayat Merong Mahawangsa ini tidak diketahui secara tepat bahawa siapakah penulisnya. Tahun ia dihasilkan pun tidak pasti, namun ada kajian mengatakan bahawa hikayat ini ditulis sekitar abad ke 16 iaitu kurang lebih 500 tahun lalu. Di dalamnya tercatat nama-nama enam raja Kedah yang pertama yang kedengaran seperti ke-Siam-an iaitu Merong Mahawangsa, Merong Mahapudisat, Seri Mahawangsa, Seri Maha Inderawangsa, Ong Maha Perita Deria, Phra Ong Mahapudisat dan Phra Ong Mahawangsa (kemudian memeluk Islam dan menggunakan nama Muzalfal atau Mudzaffar Shah.

Merong Mahapudisat dan Seri Mahawangsa ialah anak sulung dan anak kedua kepada Merong Mahawangsa. Seri Maha Inderawangsa ialah anak kepada Seri Mahawangsa dan begitulah seterusnya ia diturunkan dari bapa kepada anak secara monarki seperti yang dicatat diatas.

Selain itu ia turut mencatat nama anak-anak Merong Mahawangsa yang lain seperti Ganji Sarjuna yang mengasaskan Gangga Negara (kini di sekitar Beruas, Perak) dan Raja Puteri yang menjadi pertama Patani. Abang sulung mereka iaitu Merong Mahapudisat pula selain merajai Kedah/Langkasuka, dia juga dikatakan adalah raja pertama Siam. Oleh itu Merong Mahawangsa dan keturunannya melahirkan empat buah kerajaan iaitu Kedah/Langkasuka, Siam, Patani dan Gangga Negara.

Kalau merujuk kepada Al-Tarikh Salasilah Negeri Kedah pula ia menyatakan bahawa raja pertama Kedah ialah Durbar Raja I. Yang pertama memeluk Islam pula ialah Durbar Raja II (raja ke 13 lalu menukar kepada Mudzaffar Shah). Bagi saya nama Durbar ini agak pelik kerana ia adalah nama yang diambil daripada Empayar Moghul (atau Mughal) di India dan datang daripada perkataan Parsi. Sememangnya di dalam Al-Tarikh Salasilah menyatakan bahawa Raja pertama Kedah berasal dari Parsi.

Terdapat dapatan yang mengatakan dua hikayat tersebut sangat terpengaruh dengan hikayat-hikayat Parsi, India (malah Mon (kini di Burma atau Myanmar) dan Khmer (kini di Kemboja) – ini lambang kekayaan dan keinklusifan penulisan Melayu lama – namun bagi saya, nama raja-raja yang dinukilkan di dalam Hikayat Merong Mahawangsa lebih menepati persekitaran Kedah pada zaman silam. 

Sebenarnya juga ini juga menunjukkan pengaruh perdagangan Kedah semasa itu yang menjadi tumpuan para pedagang dari Parsi, India, Mon dan Khmer. Di Kedah Tua, kesemua budaya tersebut diadunkan dan tercermin di dalam bentuk karya sastera.

Kedah Tua ke Srivijaya

Untuk pengetahuan kita semua, peradaban awal dikatakan muncul di Kedah Tua sekitar abad awal masihi dan mencapai kecemerlangan sekitar abad keenam masihi. Namun penempatan awal di sekitar Sungai Merbok telahpun didiami semenjak abad-abad sebelum masihi lagi. 

Yang menariknya, tarikh kemunculan peradaban Kedah Tua ini selari dengan pendapat yang mengatakan bahawa Hikayat Merong Mahawangsa menceritakan tentang peristiwa yang berlaku 16 abad sebelum ianya ditulis. Jika Hikayat Merong Mahawangsa ditulis pada abad ke 16, maka 16 abad sebelumnya sudah pasti memaksudkan abad awal masihi. Tetapi garis masa ini sudah tentulah menafikan mitoa bahawa pemerintahan Merong Mahawangsa sezaman dengan pemerintahan Nabi Sulaiman.

Kedah Tua muncul jauh lebih awal daripada Empayar Srivijaya. Namun Kedah dicatatkan pernah dinaungi oleh Srivijaya yang berpusat di sekitar Palembang sehinggalah kejatuhan empayar tersebut sehinggalah sekitar tahun 1025 masihi. Malah Srivijaya pernah menguasai kawasan sehingga Segenting Kra.

Dunia Melayu ketika ini banyak ditandai dengan kawasan kekuasaan Srivijaya dari bumi Sumatera sehinggalah Semenanjung Melayu. Ini kerana Srivijaya sebenarnya adalah Melayu. 

Walaupun istilah Melayu cuma bangkit setelah kejatuhan Srivijaya yang menandakan permulaan Kerajaan Melayu di Dharmasraya. Orang Sunda dan Jawa telah menamakan orang Sumatera sebagai Melayu yakni sebelum kebangkitan kerajaan Melayu di Dharmasraya lagi. Di dalam manuskrip Sunda iaitu ‘Carita Parahyangan’ ada tercatat istilah Melayu bagi yang memaksudkan orang Sumatera.

Secara spesifik, lebih seribu tahun lalu Melayu Cuma diistilahkan kepada kawasan dan penduduk yang menduduki sekitar Jambi sahaja.

Srivijaya Bermula Di Semenanjung Melayu?

Namun begitu ada satu pendapat menarik tentang Srivijaya. Walau umumnya sejarawan bersetuju bahawa Srivijaya berpusat dan bermula di sekitar Palembang (Sumatera), tetapi ada seorang sarjana Jepun bernama Takashi Suzuki mengatakan bahawa Srivijaya bermula dan berpusat di Chaiya (kini terletak di provinsi Surat Thani, Thailand), Semenanjung Melayu. Katanya Palembang cumalah naungan kepada Srivijaya. 

Pendapat Takashi Suzuki ini berdasarkan laporan Yijing (juga disebut sebagai I-Ching atau I-Tsing) iaitu seorang sami Buddha dari China era Dinasti Tang yang menyatakan secara geografi Shi-li-fo-shi (Srivijaya) terletak di timur Pulau Nicobar dan ini bersesuaian dengan lokasi Chaiya berbanding lokasi Palembang. Palembang pula terang-terang berada jauh di arah selatan Pulau Nicobar.

Pendapat Takashi Suzuki digemakan juga oleh seorang komentator, penulis dan pengkaji sejarah Srivijaya dan Asia Tenggara iaitu Chand Chirayu Rajani. Menurutnya Srivijaya memang berpusat di Chaiya. Bahkan nama Chaiya itu sendiri adalah singkatan daripada perkataan Srivijaya. 

Ini dikuatkan dengan artifak-artifak zaman Srivijaya yang dijumpai amat terpengaruh dan menyerupai kesenian budaya Dvaravati yang berpusat sekitar Kerajaan Lavo (kini di dataran tengah negara Thailand). Secara logiknya lokasi Chaiya adalah lebih berhampiran dengan Kerajaan Lavo berbanding Palembang. 

Dalam catatan sejarah, Srivijaya juga pernah melakukan ekspedisi ke Kerajaan Lavo. Jika kita membuat rujuk silang pendapat Takashi Suzuki dan Chand Chirayu Rajani ini dengan Hikayat Merong Mahawangsa, ianya amat menarik. 

Anak pertama Merong Mahawangsa iaitu Merong Mahapudisat dikatakan adalah Raja Siam yang pertama. Siam bukanlah nama yang merujuk kepada etnik atau kaum, tetapi merujuk kepada lokasi dan geografi. Perkara ini dapat kita ketahui jika membaca tentang polemik nama Thailand dan Siam.

Jadi mungkin wajar diadakan kajian tentang hubungan Kedah Tua dan Srivijaya. Apa hubungan keturunan Merong Mahawangsa khususnya Merong Mahapudisat dengan Dapunta Hyang Sri Jayanasa iaitu Raja Srivijaya yang pertama. 

Siam dan Srivijaya

Mungkinkah Siam yang dimaksudkan dalam Hikayat Merong Mahawangsa sebenarnya ialah Chaiya? Sebabnya Hikayat Merong Mahawangsa tidak pernah mencatatkan apa-apa tentang Srivijaya walaupun kawasan Kedah sehingga ke Segenting Kra pernah dikuasai oleh Srivijaya. Sebaliknya ia mencatatkan nama Siam. Mungkinkah ini kerana ia menisbahkan Chaiya (Srivijaya) sebagai Siam?

Ia juga bersesuaian dengan penceritaan Hikayat Merong Mahawangsa bahawa Kerajaan Kedah, Gangga Negara dan Patani tunduk patuh kepada Siam kerana ia diperintah oleh Merong Mahapudisat iaitu anak sulung Merong Mahawangsa. Manakala Gangga Negara, Kedah dan Patani diperintah oleh anak-anak Merong Mahawangsa yang lain.

Ini juga lebih selari dengan catatan serangan Empayar Chola ke atas Srivijaya sekitar tahun 1025 masihi (kejatuhan Empayar Srivijaya) yang menyatakan Kedah (Kadaram) adalah pusat pentadbiran Srivijaya. Ia tecatat di dalam Inskripsi Tajore. Secara logik, lokasi Kedah lebih berdekatan dengan Chaiya berbanding Palembang.

Kalau garis masa antara dapatan sejarah dan Hikayat Merong Mahawangsa dirujuk silang sekali lagi, sejarah Gangga Negara juga dikatakan bermula pada abad awal masihi, lewat sedikit berbanding kewujudan Kedah Tua. Ini juga selari dengan pendapat bahawa anak Merong Mahawangsa yakni Ganji Sarjuna-lah yang mengasaskan Gangga Negara.

Kemungkinan bahawa Siam yang dimaksudkan oleh Hikayat Merong Mahawangsa ialah Srivijaya juga tergambar dalam kisah pembunuhan Temagi (atau Sang Aji) di dalam Sejarah Melayu. Parameswara (ataupun Sang Nila Utama, diperdebatkan) dikatakan telah membunuh Temagi, wakil pemerintah Siam di Singapura sedangkan tidak pernah tercatat di dalam mana-mana sumber sejarah bahawa Siam pernah menguasai Singapura, melainkan Srivijaya – dan ini adalah lebih tepat jika Chaiya ialah Srivijaya yang sebenar.

Ayutthaya dan Siam

Beberapa ratus tahun selepas kejatuhan Srivijaya, kawasan Langkasuka (dari Segenting Kra sehinggalah Kedah dan Patani [termasuklah Kelantan dan Terengganu]) kemudiannya telah dinaungi oleh Kerajaan Ayutthaya. Ayutthaya di dalam rekod sejarah dikenali sebagai Siam. Tetapi jika Hikayat Merong Mahawangsa dijadikan sandaran, nama Siam ini telah wujud jauh lebih lama seperti yang diperbincangkan tadi.

Siam adalah satu nama yang agak misteri walaupun istilahnya popular. Walaupun Ayutthaya dikatakan sebagai Kerajaan Siam, namun dapatan sejarah menunjukkan bahawa rakyat Ayutthaya ketika itu lebih merujuk diri mereka sendiri sebagai Orang Tai (kata akar bagi Thai dan Thailand). Sementelahan Ayutthaya telah bergabung dengan kerajaan pendahulunya yakni Sukhothai.

Istilah Siam dikatakan datang daripada perkataan Sanskrit iaitu Syama yang bermaksud gelap atau coklat (brown) bagi menggambarkan warna kulit masyarakat di tempat tersebut. Perkataan Siam mula dikesan dalam catatan inskripsi Khmer Tua sekitar abad ketujuh, jauh sebelum wujud Kerajaan Ayyuthaya. Secara lebih spesifik, istilah Siam digunakan bagi menggambarkan Kerajaan Lavo. 

Ia juga sesuai dengan pengkisahan Hikayat Merong Mahawangsa. Namun begitu seperti yang diperbincangkan tadi, Chaiya (Srivijaya) juga mungkin turut dikenali sebagai Siam. Kerajaan Lavo sebenarnya dikatakan tunduk kepada Empayar Khmer dan empayar tersebut menguasai kawasan sehingga ke Segenting Kra dan bersempadan dengan Srivijaya.  

Oleh itu saya secara peribadi menganggap bahawa istilah Siam adalah satu istilah yang umum dan tidak merujuk kepada masyarakat Tai (Thai). Namun oleh kerana Ayutthaya kemudiannya menguasai kawasan yang dahulunya dikuasai oleh Lavo (sekitar Bangkok sekarang ini), Sukhothai (utara dan timur laut Thailand sekarang ini) sehinggalah ke Kedah, maka mungkin kerana itu ia dikenali sebagai Siam.

Dapat juga difahami disini bahawa Siam adalah satu empayar atau kerajaan yang bersifat agak majmuk dan tidak dikuasai oleh sesuatu etnik tertentu sahaja. Malah masyarakat dan Semenanjung Melayu yang terletak daripada Segenting Kra sehingga Kedah, Kelantan dan Terengganu juga boleh dikategorikan sebagai sebahagian daripada Siam. Namun ketuanan itu (pada masa tersebut) tetap kepada Ayutthaya yang pusat pemerintahannya kini terletak sedikit ke utara Kota Bangkok.

Ayyuthaya mula bangkit sekitar abad ke 14 dan berakhir pada abad ke 17. Ini sezaman dengan era Tun Perak di Melaka dan Ayutthaya-lah kerajaan yang dimaksudkan di dalam Sejarah Melayu atau Sulalatus Salatin sebagai Benua Siam yang telah menyerang Melaka.

Kejatuhan Ayutthaya, Kebangkitan Rattanakosin dan Ketibaan British

Setelah kejatuhan Ayutthaya, Siam diwarisi oleh Kerajaan Thonburi (kurang lebih 15 tahun sahaja) dan seterusnya Kerajaan Rattanakosin. Harus difahami bahawa sebelum wujud konsep negara bangsa, telah wujud terlebih dahulu konsep negara kota dan negara empayar. Asia Tenggara zaman silam juga mempunyai konsep dan sistem kenegaraannya yang tersendiri, dinamakan sebagai Mandala.

Mandala seumpama konsep kenegaraan campuran antara negara empayar dan negara kota. Jika era Ayutthaya dijadikan contoh, Ayutthaya merupakan negara ‘pelindung’ dan kedudukan mereka dihormati oleh negara-negara yang dilindungi (konsep tributary states). Negeri-negeri lindungan Ayutthaya seperti Kedah, Ligor, Patani dan sebagainya mempunyai kuasa autonomi dan kedaulatan yang tersendiri serta status pemerintahnya dikekalkan. Secara entity politik, kesemua negeri-negeri tersebut adalah Siam.

Apabila Kerajaan Ayutthaya tumbang, maka negeri-negeri Melayu seperti Kedah dan Patani pun bebas. Namun apabila Rattanakosin berkuasa, Kedah kembali menghormati mereka. Negeri Siam yang tidak menghormati kedudukan Rattanakosin akan diserang seperti yang terjadi kepada Patani. 

Sewaktu Kedah bebas setelah kejatuhan Ayutthaya, British telah datang dan membuat persetujuan dengan Sultan agar menyerahkan Pulau Pinang. Timbal balasnya adalah supaya British menolong Kedah bagi menghadapi serangan Rattanakosin. 

Walaupun Kedah sebelumnya menghormati dan membantu Rattanakosin semasa menghadapi serangan Burma keatas Phuket sekitar tahun 1809 – 1812 dan mematuhi arahan agar menyerang negeri Perak pada 1818, tetapi beberapa tahun kemudiannya Kedah dikatakan cuba mengadakan hubungan dengan Burma dan mengkhianati Rattanakosin.

Sebab itu Kedah diserang negeri-negeri Siam yang lain iaitu Rattanakosin dan Nakhon Si Thammarat (Nagara Sri Dharmaraja, sebelumnya dikenali sebagai Ligor – tatkala itu ia juga adalah negeri Melayu yang patuh kepada Rattanakosin) pada 1821 dalam perang yang dikenali sebagai ‘Musuh Bisik’. British tidak membantu Kedah seperti yang dipersetujui. Akibatnya status Kedah berubah daripada negeri ‘tributary’ (dilindungi) oleh Rattanakosin kepada negeri jajahan. Kedah yang sebelumnya turut menguasai wilayah Trang, dan Setul telahpun dipecah-pecahkan. 

Untuk terus menduduki Pulau Pinang pula, British menjadikannya salah satu syarat di dalam persetujuan dengan Rattanakosin yang telah menjajah Kedah di dalam Perjanjian Burney 1826. Kemudiannya melalui Perjanjian Anglo-Siamese 1909, British dan Rattanakosin (Siam) bersetuju menetapkan sempadan Negeri-Negeri Melayu dengan Siam (seperti mana sempadan yang wujud pada hari ini). 

British memasukkan Perlis, Kedah, Kelantan, Hulu Perak dan Terengganu ke dalam Negeri-Negeri Melayu (naungan British – kini Malaysia). Manakala Patani (Pattani), Setul (Satun), Singgora (Songkhla), Merdelong atau Bedelung (Phattalung), Narathiwat (Menara) Terang (Trang) sehinggalah sempadan Semenanjung Melayu di Segenting Kra di bawah penguasaan Siam (kini Thailand). 

Saya tahu pasti ramai yang terbuku di dalam hati menyatakan bahawa perjanjian tersebut tidak adil kerana tidak melibatkan Raja-Raja Melayu bagi negeri yang terbabit, malah ada yang menuduh bahawa British tidak mendedahkan sisi sejarah yang sebenar dan sebagainya. Perdebatan itu terlalu panjang dan ia bukanlah hasrat di dalam perbincangan kita kali ini.

Namun boleh dikatakan terbukti bahawa Kedah dan negeri-negeri Melayu sehingga ke Segenting Kra seumpama menghormati kedudukan Siam seperti ‘abang besar’ seperti mana yang tercatat di dalam Hikayat Merong Mahawangsa. Setelah jatuh Srivijaya (Chaiya) mereka menghormati Ayutthaya, kemudian menghormati Rattanakosin pula. 

Kesimpulan 

Persoalannya di sini apakah masyarakat Kedah, Perlis, Kelantan dan Terengganu adalah Melayu ataupun Siam? Ya sudah pastilah mereka adalah Melayu, manakala Siam pula sebenarnya cenderung kepada konsep kenegaraan. Siam boleh diandaikan sebagai negara empayar berkonsepkan konfederasi dan negeri terkuat akan menjadi penanung. Siam adalah sebuah negara majmuk yang rakyatnya terdiri daripada masyarakat Tai, Melayu malah Mon, Khmer dan juga Lao

Ini sudah tentu berbeza dengan keadaan Thailand sekarang. Setelah konsep kenegaraan moden Siam/Thailand tertubuh selepas 1909, mereka lebih berpegang kepada konsep negara kesatuan dan melancarkan dasar Thesapiban bagi proses Tai-nisasi dan mengasimilasikan etnik-etnik lain di Thailand dengan etnik Tai yang merupakan kelompok majoriti.

Jika Melayu di sebelah selatan Semenanjung (Perak, Pahang, Selangor, Negeri Sembilan, Melaka dan Johor) banyak dipengaruhi dan bercampur dengan masyarakat daripada Jawa, Minangkabau, Bugis, Aceh dan sebagainya, Melayu di sebelah Utara Semenanjung Melayu banyak percampuran dengan Tai, Mon (orang-orang Burma sekarang Myanmar) Khmer (Kemboja) dan Cham (sekarang di kawasan Selatan Vietnam). Begitulah uniknya Melayu.

Dapat juga difahami bahawa Hikayat Merong Mahawangsa adalah satu kisah yang digambarkan jauh mendahului Sejarah Melayu. Zaman Merong Mahawangsa jauh mendahahului zaman tiga beradik raja-raja Melayu yang muncul di Bukit Siguntang.

Bagi saya secara peribadi, Sejarah Melayu atau Sulalatus Salatin menggambarkan isyarat kebangkitan Kerajaan Melayu di sekitar Palembang (setelah jatuhnya Srivijaya), Dharmasraya sehingga Melaka dan zaman bangkitnya Islam di Nusantara. Namun Hikayat Merong Mahawangsa menggambarkan permulaan orang-orang Melayu sebelum mereka dikenali sebagai Melayu. 

Malah tidak keterlaluan rasanya jika saya mengatakan bahawa Hikayat Merong Mahawangsa sebenarnya menceritakan asal usul kerajaan Srivijaya tetapi dinisbahkan kepada Siam kerana ia bermula di Chaiya. Ia juga menceritakan zaman Melayu ketika permulaan era Hindu-Buddha-Animisme sehinggalah kepada transisi Melayu mula memeluk agama Islam.

Walaupun Hikayat Merong Mahawangsa mengandungi terlalu banyak mitos, namun tetap ada pengajaran dan isyarat yang boleh kita dapat. Oh ya, sebelum terlupa. Sebenarnya istilah atau nama Merong, Phra Ong, Wangsa dan sebagainya adalah istilah Siam yang akar katanya juga boleh didapati daripada perkataan Sanskrit-Khmer. Ini tidak menghairankan kerana Melayu di sebelah selatan pun dahulunya ramai yang namanya kedengaran seperti Jawa dan sebagainya.

I rest my case.

Rizuan Abdul Hamid berasal dari Ipoh dan telah lama berhijrah mencari rezeki dan pengetahuan di Lembah Klang. Beliau adalah homo sapiens yang cuba menjadi insan.

Foto: Fythullah Hamzah / Kromosom

Share this Post: